Laman Utama

Senin, 20 September 2010

Siri 1 - Muqaddimah Hikam al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor.

Siri: 1- Muqaddimah Hikam al-Marhum Fadhil Noor.
Alhamdulillah! Syukur kehadrat Allah swt kerana telah menggerakkan serta mempermudahkan bagi kami di Penerbitan Sanaabel, untuk menerbitkan juga tulisan ini walaupun belum lengkap dalam ertikata sebenarnya. Iaitu himpunan mutiara-mutiara hikmah al-Marhum ataupun tindakan-tindakan praktikal al-Marhum yang telah pun meninggalkan kesan yang besar dan mendalam kepada ummat Islam serta perjuangan ummah khususnya di tanahair kita, Malaysia.

Sebenarnya usaha-usaha menulis serta mengumpulkan bahan-bahan maklumat berkaitan, telah bermula seawal Jamadil Awwal 1429 @ Mei 2008 lagi, ketika kami bermastautin di Pongsu Seribu SPU. Malangnya atas segala kekurangan dan kelemahan yang ada, kami tidak mampu mengenengah atau mengemukakan kepada khalayak pembaca, mengikut seperti perancangan awal serta hajat kami menjadikan sebuah buku untuk dijualkan di pasaran.

Kelemahan dan kedhaifan ini, kami tidak mahu ianya menjadi penghalang atau tembok besar yang memisahkan ‘mutiara-mutiara hikmah’ al-Marhum dari sampai kepada khalayak ummah. Untuk seterusnya sama-sama diperbincangkan bagi kebaikan ummah keseluruhannya insyaAllah.

Kami tidak terkilan untuk menurut jejak langkah Hang Nadim P.Mutiara dengan Kibesedo Politiknya yang telah mewaqafkan hasil tulisan beliau kepada khalayak ummah. Bagi kami lebih baik ianya tersebar walau apa cara sekalipun dengan harapan (insyaAllah) akan ada yang membacanya walaupun segelintir daripada ianya ‘terbenam’ bertahun-tahun tanpa memberi manfaatnya langsung.

Sekian, dari;
Ibnu Ramadhan & Ummu el-Husna.

Hikam
AL - MARHUM
DATO’ HAJI FADZIL MOHD NOOR
Oleh;
Ummu el Husna & Ibnu Ramadhan

قل الحق ولو كان مرا
Katakanlah kebenaran walaupun ianya pahit


MUQADDIMAH
(Al-Fatihah!) – Pembuka segala bicara, dihadiahkan kepada Rasul Junjungan saw, kaum keluarga Baginda, para sahabat dan seterusnya para pejuang Islam yang telah mendahului kita menemui Kekasihnya.

23 Jun 2002 adalah suatu tarikh yang amat tragis bagi ahli dan penyokong gerakan Islam tanahair apabila mujahid ulung mereka al-Marhum Dato’ Hj Fadzil Mohd Noor telah dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.

Di saat kepimpinannya masih diperlukan, kebijaksanaannya sentiasa dinanti-nantikan…. dalam merungkai permasalahan yang timbul, namun takdir dan kehendak Ilahi tetap mengatasi segala-galanya.

Siapa yang tidak kenal al-Marhum, seorang tokoh pejuang terbilang gerakan Islam yang tersohor di Malaysia dan Nusantara zaman ini. Beliau juga merupakan seorang ulama’ dan pemimpin yang sukar dicari ganti, kemunculannya bak sebutir bintang bergemerlapan di tengah kegelapan malam.

Kesederhanaan al-Marhum dalam kehidupan, amalan, keterampilan, pergaulan dan pemikiran patut dijadikan tauladan. Kesederhanaan inilah menjadikan al-Marhum mudah didekati oleh pelbagai lapisan masyarakat marhaen maupun bangsawan, orang muda tidak kekok bila bersama beliau, yang tua memang selalu beliau dampingi, orang kampong adalah sebahagian dari jiwa dan raga al-Marhum, sementelahan orang bandar dan berpelajaran sentiasa mengharapkan tunjuk ajar beliau walaupun kadang-kala tindakan beliau sukar difahami.

Kepetahannya berpidato berdalilkan nas-nas naqli dan aqli amat dikagumi. Keupayaan beliau mematikan hujjah-hujjah lawan berdasarkan ilmu mantiq cukup digeruni pihak musuh. Malah juga disegani oleh sahabat-sahabat seperjuangan.

Beliau sentiasa mengangkat isu-isu Islam dan permasalahan ummah ke pentas-pentas perbincangan dan tidak pernah lupa membawa agenda Islam ke sisi masyarakat ummah untuk dimartabatkan demi mencapai hasrat dan cita-cita membina kembali ‘Masyarakat Madani’sebuah masyarakat yang telah dibina dan dibentuk oleh Rasulullah saw di Madinah lebih 14 abad yang lalu..

Keistimewaan yang ada pada peribadi al-Marhum menjadikan ramai penganalisis dapat memperkatakan sesuatu tentangnya dan sememangnya al-Marhum mempunyai pengikut, penyokong dan peminat yang ramai serta setia …tak keterlaluan jika dikatakan bagaikan lautan! Terbukti semasa orang ramai berasak-asak terpaksa merelakan `perjalanan akhir seorang mujahid` enam tahun yang lalu.

Namun begitu pujian, sanjungan yang diterima tidak pernah menjadikan beliau tertipu dan terkeliru … beliau tetap seorang mujahid yang tahu hala tujunya lagi tawadhu’ .

Dengan tidak menafikan bahawa al-Marhum juga manusia biasa, tidak ma’sum dan tidak sunyi daripada kesilapan dan kesalahan ………. ( Semoga Allah swt mengampuni dan merahmati al-Marhum  dan digolongkan bersama-sama Anbiya’, Shuhada’ dan Solihin ).

Begitu juga tidak dinafikan segala ungkapan, tindakan hasil pemikiran beliau bukanlah suatu wahyu yang tidak boleh dipertikaikan, namun apa yang penting al-Marhum telah menyahut seruan Tuhannya supaya bersungguh-sungguh dalam menggunakan aqal yang Allah swt anugerahkan demi Islam. Beliau telah sedaya upaya menyelesaikan permasalahan ummah dengan keluasan ilmu dan kebijaksanaan yang beliau miliki… dan beliau telah melakukan ‘tajribah’, eksperimen, bersesuaian dengan etika, suasana dan keperluan ketika itu. Sekiranya benar ijtihad, beliau akan mendapat 2 pahala kerana berusaha untuk berijtihad dan benarnya ijtihad tersebut tetapi sekiranya beliau tersalah sekalipun beliau mendapat satu pahala hasil daripada ijtihad pemikiran yang dilakukannya.

Begitu juga dalam memimpin, al-Marhum sentiasa merancakkan dan menyemarakkan budaya berfikir dikalangan pengikutnya dan tidak menjadikan mereka  pengikut yang jumud dan beku. Justeru al-Marhum sendiri  adalah seorang pemimpin yang bersifat terbuka berupaya mendengar pandangan orang lain, menganalisa bagi mencari  keputusan yang terbaik.


I’ZZAHNYA SEORANG PEJUANG

Al-Marhum cukup yakin dengan kebenaran yang dibawanya, apa yang diperjuangkan oleh beliau adalah suatu tuntutan dan kewajipan bukanlah suatu hobi dan kerja sambilan atau kerja untuk cari makan. I’zzahnya pemimpin ulung ini apabila beliau menyedari sehebat manapun ‘tamadun kuffar’ atau ‘hadharah jahiliyyah’ yang manusia bangga-banggakan selama ini tak akan dapat menyamai dan menandingi ‘selekeh-lekeh’ atau selemah-lemah tamadun dan Hadharah Islam yang agung dan mulia itu.

Justeru itu al-Marhum tidak pernah terpengaruh dengan tawaran-tawaran dunia dan kemewahan yang bukan didapati melalui hak Islam untuk beliau nikmati apatah lagi untuk mengambil kesempatan ke atas Islam demi kepentingan peribadi, keluarga maupun untuk sebuah retorika atau sandiwara politik murahan.   

Pemergian al-Marhum ke rahmatullah bukanlah sekadar meninggalkan nostalgia indah untuk dikenangkan…. oleh ribuan malah jutaan pengikut atau peminat beliau. Yang penting perjuangan, cita-cita dan segala harapan al-Marhum perlu kita sambung dan teruskan sampai ke titik noktah kita masing-masing, Yang pergi telah pun menemui kedamaian abadi, yang hidup teruskan! teruskan! berjuang dan berbakti demi Islam dan ummahnya…bukan untuk kepentingan peribadi.        

Sesungguhnya tokoh besar yang kita bicarakan ini telah meninggalkan khazanah ilmu dan kebijaksanaan yang tidak ternilai untuk dipelajari dan diteliti. Begitu juga pengalaman beliau dalam mengharungi kehidupan… mengorbankan harta benda dan jiwa raga demi perjuangan menegakkan Islam hinggalah ke akhir hayat amat berharga sekali.

Manakala ketajaman pemikiran beliau dalam memahami permasalahan ummah serta kemanusiaan sejagat, menjadikan al- Marhum mampu memberikan jawapan dan pandangan yang bernas dan relevan melalui istinbat dan ijtihad jama’ie dari panduan al-Quran al-Karim  dan al-Hadis an-Nabawi. Buah fikiran beliau  sering menyamai pandangan pemimpin gerakan Islam di peringkat antarabangsa dalam isu-isu global ummat Islam dan kemanusiaan.

MEMBEDAH PEMIKIRAN AL-MARHUM          

Sebagai sebahagian daripada pengikut, peminat dan juga anak murid serta anak buah didikan al-Marhum, insyaAllah  kami cuba menilai dan mengutip butir-butir permata peninggalan beliau yang merupakan warisan bersama ummah untuk manfaat generasi kita seterusnya.

Hikam AL-MARHUM cuba mengkaji hikmah-hikmah pemikiran dan tindakan peninggalan al-Marhum yang merupakan khazanah tak ternilai harganya untuk dianalisa supaya kita semua dapat mengambil pengajaran dan peringatan daripada intipati mutiara berkenaan bagi kegunaan kita pula mendepani ruang serta perjuangan kini malah seterusnya.

Buku ini merangkumi idea, saranan ataupun pandangan beliau terhadap pelbagai permasalahan ummah. Kami cuba menggarapkannya  menjadi bentuk ungkapan-ungkapan hikmah yang kami petik samada daripada pidato, ucapan dasar, tulisan maupun reaksi serta tindakan beliau. `Hikam` tersebut kami jadikan sebagai bahan perbincangan dalam menganalisa perjuangan al-Marhum dari sudut pola pemikiran beliau ketika memimpin sebuah perjuangan.

Selanjutnya mutiara-mutiara hikmah tersebut insyaAllah akan dikemukakan dalam beberapa issu atau kategori yang berlainan serta akan dikupas berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Ini bagi memudahkan para pengkaji atau pembaca mengadaptasikan bentuk pemikiran tersebut untuk tujuan pembinaan atau mendirikan kembali perjuangan Islam pada masa kini.

Dengan kata lain sebuah Hadharah Islamiyyah yang akan menggantikan apa-apa jua `hadharah` yang ada sekarang, samada dari barat, timur, utara maupun selatan. Tidak terkecuali jika `hadharah palsu` tersebut berakar umbi dari alam Melayu itu sendiri. 

Kenapa kami begitu tertarik untuk mengenengahkan Hikam AL-MARHUM ini kepada khalayak pembaca sekelian ? Kerana….  kami merasakan bahawa, bagi ummah di alam Melayu ini ungkapan-ungkapan al-Marhum  mempunyai `sentuhan` nya yang tersendiri malah begitu dekat dengan diri, bahasa serta budaya mereka dan yang pentingnya ia bersesuaian dengan tuntutan Islam itu sendiri. Apa tidaknya, beliau merupakan seorang yang telah hidup dan berkorban memperjuangkan kepentingan-kepentingan ummah khususnya di alam Melayu ini sepanjang hayat beliau.

Begitu juga apabila kita meneliti pemikiran dan tindakan al- Marhum sebenarnya melangkaui dan melepasi segala kepentingan kelompok, bangsa, kenegerian, wadah, politik hatta diri dan kepentingan keluarganya sendiri…..semuanya demi ummah dan keagungan Islam.

Sesungguhnya al-Marhum telah membuktikan bahawa beliau telah menjual dirinya, harta, tenaga, pemikiran dan nyawanya dengan harga yang tidak ternilai berbanding dengan dunia dan segala isinya …hanyalah untuk memenuhi janji Allah, yang telah membeli daripada setiap orang mukmin itu diri dan harta mereka yang berjihad dijalanNya dengan harga sebuah syurga. Sepertimana yang telah difirman oleh Allah swt di dalam al- Quran yang mulia:
إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ
الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ
يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ....

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.  Mereka berjihad pada jalan Allah;…

(at Taubah : 111)

Ya! Alhamdulillah, al-Marhum telah mendahului kita dan telah menemui perhentian beliau dan telah menepati apa yang telah beliau janjikan kepada Allah swt.

Persoalannya, bagi kita yang tinggal tersisa.., mampukah kita meneruskan dan menyelusuri langkah-langkah yang telah beliau tinggalkan bagi membina kembali Hadharah Islam di bumi bertuah ini? Berjihad dengan harta dan jiwa raga dengan menggunakan aqal anugerah Allah, menilik suasana, membaca rentak massa berpandukan ilmu yang kita miliki bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah serta berteladan dan bersempadankan jejak-jejak pemikiran maupun tindakan yang ditinggalkan oleh al-Marhum…………

…..lalu kita pula mengotakan janji yang kita metrikan dengan Allah swt sehinggalah tibanya giliran kita menemuiNya. Amin ya Rabbal A’lamin.

Firman Allah swt :

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ
صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً

Di antara orang yang beriman itu ada dikalangan mereka yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menunaikan janjinya itu ( lalu gugur syahid). Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu gilirannya; dan mereka tidak mengubah ( apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(al-Ahzab : 23)

6, Jamadil Akhir 1429 \ 10, Jun 2008
Ibnu Ramadhan & Ummu el-Husna
Pongsu Seribu SPU.

Tidak ada komentar: