Laman Utama

Sabtu, 31 Juli 2010

Buletin al-Hadharah Bil 02-10

BULETIN الحضارة ~~*BIL: 02 / Rejab 1429
AL-HADHARAH
Alhamdulillah ! Kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT yang Maha Agung yang telah sudi memberikan kesempatan kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang fana ini. Selawat serta salam perjuangan kepada Penghulu segala Nabi dan Rasul iaitu Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat baginda seluruhnya.

Bertemu sekali lagi hendaknya, dalam rangka besar kita untuk mengujudkan kembali khaira ummah. Bila menyebut khaira ummah kita cuba membayangkan suatu keadaan ummah yang sihat dalam semua segi kehidupannya. Jika ada di antara mereka yang perlu dibantu atau diberikan perhatian oleh sesama saudara seagamanya maka saudara Muslim seluruhnya berlumba-lumba berbuat kebajikan dan kebaikan. `fastabiqul khairat…`

Suasana yang sihat atau hidup itu menunjukkan betapa harmoni dan benarnya agama yang dianuti mereka. Itulah Al-Islam yang dianuti serta dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berserta pengikutnya, Islam yang hidup sebagai nizamul-hayah dan dapat menghidupkan manusia dan kemanusiaan. Itulah ciri-ciri yang dengan sendirinya akan mengujudkan hadharah kecil disekeliling mereka. Gabungan atau kerjasama antara unit-unit hadharah kecil ini akan menjelmakan hadharah yang lebih besar dan sentiasa terjana untuk berkembang. Dalam masa yang sama melindungi dan menyelamatkan penganutnya dari ancaman luaran iaitu musuhnya.

Islam itu sendiri adalah agama fitrah yang mempunyai ciri-ciri keaslian yang tidak dapat dibuat-buat atau ditiru oleh sesiapa pun. Begitu jugalah dengan hadharah atau environment yang tumbuh setelah ditanamkan benihnya dengan ikhlas. `Habitatnya` yang tersendiri inilah, yang mesti disemai dan dihidupkan kembali oleh kita tak kira siapa kita, dari mana asal usul kita, apa status atau kedudukan kita. Kita sebenarnya sama dan adalah satu unit kecil dari jutaan malah billion ummat Muhammad di akhir zaman ini yang mengaku beriman! Bukan pengakuan kosong…yang tak bermakna.

Kenapa `pohon Islam` yang ada pada kita kini tidak tumbuh seperti sepatutnya, malah sebaliknya mewarisi sifat-sifat layu, lemah, tak bertenaga tak tahu hala tuju hidupnya, mudah mengikuti apa saja arus atau fahaman yang melanda? Sedangkan jumlah kita kini telah mencecah angka berbilion ummat di seluruh dunia.

1)Mungkinkah ramainya kita, tetapi tidak menanam pohon Islam yang asli lalu tumbuh pohon yang menghasilkan buahan yang lain?
2)Mungkin juga benihnya asli tetapi aspek-aspek penanaman serta pemeliharaan pohon menggunakan kaedah atau sistem yang lain yang bukan fitrahnya?
3)Atau mungkin juga benihnya asli, penjagaan mengikut sistem peradaban Islam tetapi ditanam atau ditempatkan di habitat yang bukan habitat bagi tumbesarannya?

Ketiga-tiga faktor ini kemungkinan besar akibat kealpaan dan kejahilan ummah selama ini yang menyebabkan kita selama bertahun-tahun tidak mampu `bangun` kembali sebagai ummat yang bermaruah, kita rata-ratanya dihina oleh pihak musuh hatta di tanahairnya sendiri.
Untuk kali ini saya suka nak berkongsi perbicaraan kita pada faktor ke3 dan ke2 kerana ianya berkaitan langsung dengan tugas bersama setiap dari kita sebagai ummat Islam. Ianya juga satu tugas atau tanggungjawab setiap individu-individu ummat secara kolektif.

Mengujudkan environment atau habitat yang sesuai untuk tumbesaran setiap pohon-pohon Islam termasuk kita mestilah berlaku secara amal jamae yang disusun oleh jamaah atau harakah yang bertanggungjawab terhadap ummat Islam dan benar-benar beriman dengan Islam sebagai Nizam atau Deenul-Hayah. Bukan sekadar hanya satu falsafah atau dasar yang kaku, beku malah `mati`.

Jika harakah atau jamaah yang tidak bertanggungjawab terhadap ummat Islam mana mungkin ia akan memikul amanah ini, ataupun ia akan mekesampingkannya atau mungkin ia hanya akan sekadar berbuat sesuatu untuk melepaskan batuk ditangga sahaja. Sebenarnya tidaklah ianya itu layak disebut sebagai `jamaah dan harakah` Islam pada sisi kita ummat Islam, tapi apa boleh buat kita hidup di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan kepura-puraan.

Sebab itu antara keutamaan ummat di akhir zaman ini ialah mengikut pesanan Saidina Ali RA `Kenalilah olehmu akan kebenaran itu terlebih dahulu, barulah kamu akan mengenali orang-orang yang benar.`

Kepentingan untuk mengujudkan persekitaran yang sihat untuk didikan kita dan anak-anak mesti dilakukan sejak anak kita lahir lagi sampailah keperingkat seterusnya. Apa logiknya jika benih durian atau rambutan yang disemai dan kita tanam akan tetapi diletakkan pada habitat paya bakau.

Mengikut ilmu pertanian orang kampung pun boleh mentertawakan usaha sia-sia ini, tak perlu kepada hujah ilmu yang memiliki diploma, ijazah, sarjana dalam ilmu-ilmu yang lebih khusus.
Tetapi mengapa sarjana-sarjana Islam, para ilmuannya dan tidak ketinggalan ulama`-ulama` mereka boleh membiarkan anak-anak generasi mereka terus dididik oleh habitat `paya bakau` ,lombong tinggal`, `tanah terbiar`, hutan rimba dan lorong-lorong gelap kota raya.

Kenapa pihak kita begitu naïf akan persoalan sebegini, mungkin kerja buat ini tidak menjanjikan kemewahan atau akan meletakkan kita di zon `perang` dengan hawa nafsu sendiri bukan di zon selesa seperti yang diimpikan. Kepada mereka suka saya berpesan bahawa zon selesa yang kamu impi dan kejar itu sebenarnya hanyalah fatamorgana sahaja, sebab zon selesa yang sebenar bagi orang-orang yang benar iman mereka bukanlah di dunia yang fana ini, wahai teman-temanku!

Kenapa ramai dari kalangan kita yang masih redha menjadi petugas dan pembantu untuk membina hadharah musuhnya sendiri seperti berpakaian dengan budaya asing, bekerja dan mencari rezeki dalam suasana yang tak diredhai Allah, belajar dan mendidik untuk membina serta mengagungkan hadharah jahiliyyah?
Cukupkah semua persoalan-persoalan ini kita hanya memberi alasan atau bersandar kepada belum berjaya lagi menegakkan Negara Islam?

Sebelum tertegaknya hadharah yang bersifat watan itu, perlukah individu-individu ummah bertolongan membina hadharah jahiliyyah? Ataupun sebaiknya sedikit demi sedikit kita bersama-sama membina hadharah kecil-hadharah kecil bersama-sama dan insyaAllah akan tergabung nanti menjadi hadharah besar yang mungkin bersifat lebih daripada wataniyyah.
Tepuk dadamu tanyalah imanmu sendiri, wahai temanku yang bijaksana wallahu`alam.
-Ibnu Ramadhan-``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com

BULETIN الحضارة ~*BIL:03/Rejab 1429
AL-HADHARAH

ISLAM DAN UMMATNYA
Dengan lafaz Assalamualaikum wrh..wbth! Bertemu kembali saudaraku yang seagama denganku, yakni agama Islam. Pada keluaran kali ini, kita cuba membicarakan satu topik penting berkaitan `hidup matinya` agama dan kita.

Marilah kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana telah mengurniakan nikmat Islam dan Iman kepada kita. Salam kasih yang tak terhingga kepada Nabi Junjungan Muhammad SAW, kaum keluarga dan para sahabat baginda yang telah banyak berjasa kepada kita dengan menunjukkan jalan-jalan dan kaedah-kaedah bagaimana kita ummat akhir zaman ini seharusnya menuruti mereka.

Islam dan Iman merupakan nikmat yang paling besar, yang Allah SWT anugerahkan kepada seluruh ummat manusia sejak dari zaman dahulu lagi sampailah hari qiamat. Ummat-ummat terdahulu yang telah berjaya adalah kerana mereka beriman dan berpegang dengan nikmat Islam dan Iman tersebut. Khususnya ummat Nabi Muhammad semasa hayat baginda SAW dan zaman para sahabat selepas itu, telah membuktikan bahawa kesungguhan mereka berpegang, beramal dengan menghidupkan nikmat Islam dan Iman itu bersungguh-sungguh sehingga mereka menjadi ummat yang terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Allah SWT di atas mukabumi ini.

Sejarah ummat Islam tidak pernah membohongi kita, malangnya ummatnya sahaja yang selalu melupai sejarah warisannya sendiri. Jika keturunan kita, nenek-moyang kita dahulu telah pernah merasai nikmat tersebut, hasil dari keikhlasan serta kesungguhan mereka mencari keredhaan Allah SWT. Apakah kita zaman muktakhir ini mempunyai pilihan atau jalan lain yang lebih mudah lagi untuk sampai ke situ?

Saudaraku, saya percaya! nikmat Islam dan Iman itu masih lagi bersama-sama kita dan ianya berlegar serta beredar dikalangan kita ummat Islam seluruhnya, cuma keadaan kesihatannya yang berbagai-bagai, ada yang lemah, sederhana malah ada yang terr..lalu… parah!
Kita sendiri tidak menafikan kelemahan turut membarahi di seluruh jasad ini, apakan daya.. insyaAllah! dengan kekuatan iman yang masih bersisa ini dan semangat serta kesungguhan untuk memperbaiki diri dan saudara sesama muslim, kita akan teruskan!..Ya dengan penuh sedar insyaAllah kita akan teruskan perjuangan murni ini.

ISLAM ITU HIDUP
Saudaraku, Islam itu sendiri yang diturunkan oleh Allah sebagai ad-Deen sebenarnya tidak bermakna dan bererti langsung jika sekiranya kita simpan dalam khazanah-khazanah kitab ilmu, dewan-dewan kuliah, seminar-seminar peradaban, perayaan-perayaan atau alunan-alunan merdu para qari serta nyayian nasyid-nasyid sahaja. Islam itu sesuatu yang tidak dapat dilihat keindahan dan keasliannya, malah kewujudannya jika ia yakni Islam itu tidak mengambil ruang atau medium di dunia realiti ini. Ruang atau medium bagi `kewujudan dan kehidupan` Islam itu adalah dalam tubuh orang-orang mukmin yang bertakwa.

Apabila individu-individu mukmin bertakwa ini hidup, berjalan, bermuamalah, berdakwah, berjihad dan sebagainya akan terlihatlah bersama-samanya `wajah-wajah` Islam yang sebenar itu, bukan lagi wajah-wajah kepalsuan dan kepura-puraan. InsyaAllah dengan sendirinya penganut-penganut palsu itu akan tersisih ketepi dari pentas kehidupan dunia.

Saudaraku, kita sebagai ummat Islam tidak boleh mengharapkan orang asing yang tidak ada kena mengena dengan agama kita untuk menjadi ruang dan medium tersebut. Mereka dalam apa keadaan pun adalah medium bagi musuh kita. Secara prinsipnya mereka sentiasa berusaha untuk menawan medium kita dan menukarkannya kepada medium jahiliyyah. Begitulah juga sepatutnya, bagi kita juga sepatutnya sentiasa mengintai di mana ada peluang untuk menawan medium-medium mereka yang lemah ataupun yang kuat bagi menjadikannya saudara kita.

Secara jujur jika diperhatikan selama ini, segala kelemahan pihak kita bukanlah engkara musuh 100% tetapi ianya banyak disebabkan oleh saudara kita sendiri yang lemah, lalai atau jahil tidak mengenali siapa kawan yang sepatutnya kita berkawan dan siapa musuh yang sepatutnya kita berwaspada. Secara jujur juga, kekuatan dan kegerunan yang nampak ada pada pihak musuh itu bukanlah kerana usaha pihak mereka sangat, tetapi pihak kitalah ummat Islam yang memberikan baja, makanan, ruang dan sebagainya tanpa ummah sedari.

ISLAM AKAN MENURUT FITRAHNYA
Ummat dahulu memulakannya dengan ilmu serta keyakinan kepada Allah yang menurunkan agama mereka. Mereka tidak pernah berkira-kira dengan apa yang mereka boleh dapat atau habuan dunia dengan menuruti agama ini. Sebaliknya ramai dari kalangan kita menyatakan beriman tetapi seolah-olah janji syurga dan azab neraka tiada kaitan langsung semasa bermuamalah di atas dunia.

Terbukti sudah bahawa agama Islam yang dianuti dahulu dan agama itulah juga yang kita anutinya sekarang, tetap dengan fitrahnya sebagaimana asalnya. Mereka dahulu berjaya apabila berjaya menuruti jejak fitrahnya. Maka insyaAllah kita juga akan berjaya apabila kita berjaya menuruti jejak-jejak keaslian dan fitrahnya juga.

Mulai saat ini marilah kita berazam dan berusaha untuk membebaskan diri kita dan semua saudara muslim kita kejalan yang benar diredhai oleh Allah SWT. Tak perlu lagi kita mengharapkan kepada pihak lain untuk memberi ruang mereka kepada kita untuk hidup sebagai ummat Islam. Yakinlah! Bahawa kita yakni setiap dari kitalah yang perlu mencipta atau membuka ruang yang sihat kepada agama Islam ini untuk sesama kita.

Ingatlah pesanan ini wahai saudaraku, `individu muslim tanpa biah atau persekitaran yang soleh ibarat orang yang tak berpakaian atau kurang sempurna pakaiannya` Sedangkan kita tahu bahawa mana mungkin seorang yang beriman tidak menutup auratnya. `Ilmu tanpa beramal adalah sia-sia, beramal tanpa berilmu binasa`.

Sekadar itulah sahaja untuk kali ini wallahu`alam. - Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com

BULETIN الحضارة ~*BIL:04/Sha`ban1429
AL-HADHARAH

ISLAM MEMULIAKAN UMMATNYA
Alhamdulillah! Segala puji bagi Allah yang telah memberi kekuatan dan kesempatan kepada kita untuk bertemu sekali lagi dalam keluaran buletin kali ini, Selawat dan Salam tak dilupakan kepada Rasul junjungan SAW ahli keluarga dan para sahabat ridwanullah alaihim ajmain.

Maksud al-Hadith, Islam itu tinggi, tidak ada yang lebih tinggi darinya. Riwayat Bukhori.

Khalifah Umar al-Faruoq-maksudnya, Kita adalah satu ummat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, maka sebarang usaha untuk mencari kemuliaan dengan ajaran (sistem) yang lain daripada ajaran yang Allah kurniakan kemuliaan kepada kita, nescaya kita akan ditimpa kehinaan dari Allah.

Ya! Saudaraku Muslimin sekelian, itulah sebenarnya hakikat Agama yang Allah SWT anugerahinya kepada kita, betapa Agung, Mulia, Sempurna, Absolute dan Evergreen tidak ada sifat-sifat ini kepada ajaran-ajaran atau sistem-sistem lain di atas mukabumi Allah ini sejak dahulu sampai sekarang dan masa yang akan datang. Ini adalah keyakinan kita dan seharusnya saudaraku ingat! inilah sebenarnya Aqidah kita! Aqidah Islamiyyah, yang haq.

Terus terang saya katakan bahawa ummat Islam muktakhir ini hilang kemuliaan/ izzahnya dek kerana sebahagian besarnya telah hilang keyakinan mereka terhadap agamanya sendiri. Ya! benar, mereka telah lama tidak yakin dengan kehebatan ajaran Islam, sistem pendidikan Islam, sistem ekonomi Islam, undang-undang dan segala peraturanya telah lama dikurung di kandang orang salah.

Telah lama mereka berkiblatkan tamaddun barat, iaitu hadharah kebendaan, populariti, kemegahan malah kesombongan, sedangkan semuanya itu tidak ada kena mengena pun dengan hadharah Islam, agama mereka sendiri. Nilai-nilai agama telah pun menjadi asing biarpun di desa-desa atau di kampung-kampung.

1- Siapa yang tidak mahu menghidupkan kembali budaya hidup sehariannya supaya sesuai dengan Islam ? Tidakkah individu-individu ummat Islam itu sendiri ?
2- Siapa yang masih tak kisah anak-anaknya dididik oleh sistem lain dari sistem Islam seperti di sekolah sekular ? Tidakkah individu-individu ummat Islam itu sendiri ?
3- Siapa yang masih seronok menonton rancangan-rancangan tv, sedangkan mereka tahu rancangan itu terr…lalu banyak maksiat dari manfaatnya ? Tidakkah keluarga-keluarga ummat Islam ?
4- Siapa yang masih tak kisah membeli rumah, kenderaan dan peralatan sebagainya dengan pinjaman riba ? Tidakkah mereka itu ummat Islam ?
5- Mereka itu percayakah dengan sedikit solekan dan manipulasi sistem perbankkan itu halal jadinya ?
6- Siapa yang berkepit-kepit di celah jarinya dengan puntung-puntung rokok pelbagai jenama, yang pasti keuntungannya untuk membunuh ummat Islam sendiri ?
7- Siapa yang tak kisah anak-anak gadisnya maupun lelaki keluar berpeleseran tidak menutup aurat, yang penting cukup bulan ada bahagian RM untuk ibubapanya ?
8- Siapa yang mengambil kisah kerjaya anak-anaknya di perantauan dan di kota-kota besar ?
9- Siapa yang mengajar dan mendidik generasinya mengagungkan tokoh-tokoh jahil di Eropah tetapi melupai ilmuan Islam sendiri ?
10- Siapa yang terlebih dulu terpengaruh dengan skim-skim nak senang banyak kerja sikit, labu peram la, buluh betung la ?
11- Siapa yang menanamkan budaya, takut orang bukan Islam kata apa, bila kita ummat Islam nak laksanakan Islam dalam negeri ummat Islam ?
12- Siapa yang merasa malu untuk membudayakan dirinya dan keluarga tanggungan dengan budaya dan adab Islam ?
13- Siapa yang lebih mudah malah selesa mengikut contoh budaya-budaya barat dalam kehidupan sehariannya ?
14- Siapa yang memenuhi restoran-restoran makanan segera dan `junk food` yang tak berkhasiat malah memusnahkan minda ?

Sebenarnya banyak lagi aktiviti atau muamalah ummat yang menunjukkan bahawa Islam itu sebenarnya bukan sahaja dimusuhi oleh orang asing tetapi yang paling malang ialah apabila disisihkan oleh individu-individu ummatnya sendiri…….. Kenapa ? ?

Kerana generasi sebelum dari, sebelum ini atau sebelum itu lagi telah mula menganggap persoalan yang kita bincangkan ini tidak penting dan bukan perkara besar sangat yang perlu ummat jagai dan prihatin. Generasi tersebut dah memulai melonggarkan ikatan Islam mereka terhadap anak-anak mereka. Maka generasi anak-anak mereka pula akan mewarisi ikatan yang longgar tersebut dan akan melonggarkannya lagi, supaya sesuai pula dengan tarikan zaman mereka ketika itu. Ikatan yang semakin longgar dan semakin longgar inilah yang diwarisi oleh ummat Islam yang telah memungkinkan generasi-generasi seterusnya ada yang telah terburai terus ikatan mereka dari agamanya. (Nau`zubillah Minzalik)

Berlakulah seperti yang telah digambarkan oleh maksud Sabda Nabi SAW, bahawa Islam itu akan terungkai sedikit demi sedikit, shibren bi shibren dari ummatnya. Oleh itu saudaraku yang dikasihi kita menyedari bahawa semua itu tidak dapat kita kembalikan dengan usaha sekelip mata sahaja, setiap dari kita mestilah bangun dengan kekuatan sebenar kita iaitu kekuatan aqidah Islamiyyah untuk membina kembali segala yang dicitakan.

Biar hina,lemah atau sedhaif manapun permulaan kita, itu tidak menjadi masalah sebenarnya, yang penting kita dah ada usaha untuk bangun kembali di atas nama Islam membebaskan ummat Islam yang tertindas, mustad`afin, marhaen, fuqara` wal masaakin. Kita tidak rela dan redha lagi segala kesusahan dan keperitan ummat selama ini hanya menjadi bahan momokan berita, bahan memanipulasi sentimen ummat, bahan untuk meraih keuntungan politik pariah, ya! spesis politik pariah !

Kita dah jelek dengan pemimpin-pemimpin `penipu ummat` yang banyak bersandewara dan beretorika di jalanan sedangkan merekalah pengembang dan pembiak budaya jahiliyyah, budaya fanatik, budaya pak turut, budaya ibu ikut dan budaya pemuda penakut nak hidup susah bila beramal dengan ajaran Islam sebagai satu cara hidup, budaya hidup, amalan hidup dan kerjaya hidup.

`Khaibar ! Khaibar ! Ya Yahud ! Tentera Muhammad telah kembali ! Sekian - Dari -Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seb Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami http://sanaabel.blogspot.com/

BULETIN الحضارة ~*BIL:05/Sha`ban 1429
AL-HADHARAH

APA ERTINYA KITA MENGANUT ISLAM ?
Asyhadu alLailahaillallah, waasyhadu annamuhammadarasuluLlah ! Yang bermaksud- Aku sanggup menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan Allah, dan sesungguhnya aku juga sanggup menjadi saksi pula bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah.

Segala puji bagi Allah yang mengizinkan kita untuk bertemu sekali lagi melalui buletin ini, Selawat dan Salam tak dilupakan kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarganya seterusnya seluruh para sahabat Baginda yang dimuliakan.

Kalimah Thoyyibah di atas, adalah rangkaian kata-kata yang perlu dilafazkan oleh setiap individu sebagai bukti bahawa dia telah sanggup menjadi seorang Muslim atau orang Islam. Itulah `bar code` bagi setiap ahli ummah ataupun bagi setiap `produk` ummah samada ianya berupa manusia, barangan, perkhidmatan, kebudayaan, sistem, pertubuhan malah negara sekalipun, itulah bukti pengenalan yang akan dikenali serta diguna pakai dalam `mesin pengimbas` identiti ummah untuk seluruh ummat Islam sebenarnya.

Secara zahirnya tidaklah susah untuk menyebut atau belajar menyebut rangkaian kalimah itu. Lidah tidak bertulang ! burung tiung pun jika diajarkan menyebutnya selalu akan dapat menyebutnya dengan baik insyaAllah. Tape recorder atau alat rakaman yang semakin canggih, lagi mudah dan pantas melakukannya.

Makhluk atau benda yang tak ditaklifkan kepada mereka seruan agama ini kita letak sebelah dahulu. Cuma sengaja ditimbulkan tadi sekadar nak menampakkan dengan jelas bahawa lafaz kalimah thoyyibah itu akan bererti atau dikira sebagai bukti, apabila dilafazkan dalam keadaan sedar oleh mereka yang berakal yang hidup dengan jasad dan rohnya sekali.(Samada manusia ataupun jin)

Jika kita sedar, berakal waras, malah kita pula hidup dengan jasad serta roh, bolehkah kita mempermain-mainkan ikrar keimanan kita kepada Allah SWT ? Tentu tidak sama sekali saudaraku ! Tetapi mengapa realitinya di sekeliling kita tidak begitu, kalimah thoyyibah atau ikrar tersebut seolah-olah tidak bernilai langsung kepada individu-individu ummat tersebut. Mungkin mereka ini salah faham atau memang tak faham langsung akan makna kalimah keramat itu.

Mari kita cuba menyoroti akan maksud kalimah tersebut secara umumnya, mungkin bermanfaat untuk kebaikan kita bersama. Kalimah ini sebenarnya menjadi penting kerana ia telah mengangkat atau membezakan seseorang itu menjadi manusia sebenarnya yang telah dijadikan oleh Allah SWT dengan segala sifat-sifat kemanusiaannya. Sebaliknya tanpa ucapan kalimah ini akan menjatuhkan atau menjadikan seseorang itu serendah-rendah malah sehina-hina makhluk yang dijadikan oleh Allah.

Secara dasarnya semua manusia yang beriman atau tidak akan mengakui bahawa makan dan minum penting untuk kelangsungan hidup kita di atas mukabumi ini. Tetapi ada kalanya kita makan tak minum, atau sebaliknya. Ada ketikanya kita tidak makan dan minum langsung seperti berpuasa atau terputus bekalan, tetapi kita masih mampu untuk meneruskan hidup ini dengan izin Allah. Pengambilan terhadap makan dan minum ini hanya ketika-ketika yang diperlukan sahaja yang manusia itu akan mengambilnya samada dia beriman atau tidak.

Satu perkara penting lagi yang semua manusia samada beriman atau tidak, mesti mengambilnya sejak saat kelahirannya di bumi ini sampailah saat terakhir kehidupannya, tidak berhenti-henti terus menerus semasa jaga maupun ketika tidur lena iaitu pernafasan oksigen. Dengan sendirinya manusia itu akan membawa bekalan oksigen ini kemana-mana yang tidak terdapat bekalan oksigen ketika mereka berhajat untuk ke tempat tersebut, seperti dasar lautan atau ruang angkasa. Ya ! semua manusia tahu apa akibatnya jika kita ketiadaan bekalan oksigen tersebut, kita akan mati dengan izin Allah SWT.

Seperkara lagi yang terlebih penting dari dua perkara di atas yang perlu ummat manusia seluruhnya tahu ialah lafaz atau pengakuan akan kalimah thoyyibah yang disebut pada awal perbicaraan kita kali ini. Ia amat penting melebihi keperluan kita kepada perkara-perkara asas kehidupan kita. Ia satu lafaz yang mudah disebut tetapi membawa maksud dan pengertian yang cukup penting bagi seluruh kehidupan serta kejadian diri kita sendiri.

Apabila seseorang itu telah sedar malah redha mengakui akan keimanannya kepada Allah dan RasulNya dengan melafazkan kalimah tersebut maka dia telah mengakui akan hakikat kewujudan atau kejadian dirinya sendiri sebagai makhluk Allah yang dilahirkan untuk hidup di bumi sementara sampai waktu yang diizinkan Allah kepadanya. Dengan pengakuan tersebut dia sedar bahawa dirinya cuma sebagai hamba kepada Pencipta. Sebagai hamba dia akan taat dan menuruti segala ajaran Tuhannya yang disampaikan melalui RasulNya iaitu Muhammad SAW.

Sebab itu kalimah ini akan membezakan atau menjadi `bar code` kepada ummat Islam samada dia menjadi hamba Allah yang beriman atau menjadi `hamba` juga tetapi tidak beriman. Mereka yang jahil ini sebenarnya berusaha menyembunyikan atau memadamkan `bar code` yang ada pada semua makhluk ciptaan Allah SWT. Mereka terlindung atau tidak mendapat hidayah ataupun disesatkan oleh iblis laknatullah untuk melihat dan seterusnya menerima diri mereka sendiri sebagai hamba yang dijadikan Allah. Mereka sombong malah berlagak angkuh bahawa semua ini terjadi dengan sendirinya tiada yang Maha Pencipta. Inilah sebenarnya makhluk yang sehina-hinanya kerana mereka manusia yang lahir sebagai manusia tetapi menafi atau membunuh kemanusiaan yang ada dalam dirinya sendiri.

Saudaraku yang muslim ! Ada segolongan lagi yang lebih hina dari mereka yang tak beriman tadi, iaitu mereka yang berpura-pura beriman dengan melafazkannya dengan begitu baik sekali bersama-sama kita tetapi hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui bahawa mereka tidak mahu pun hidup di atas mukabumi ini sebagai hamba yang taat dengan ikhlas kepadaNya. Mereka lebih bijak mereka cipta alasan atau hujah-hujah yang mengelirukan kadang-kadang nampaknya begitu `syar`ie ` sekali bagi mengelabui ummat yang lemah akalnya.

Tetapi insyaAllah kita yakin dengan janji Allah bahawa segala lakonan dan tipu daya mereka semuanya itu akan dapat dikenali oleh orang yang benar-benar beriman kerana maksud al-quran ada menyebutkan `Sesungguhnya penolong kamu hanya Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman` dan `Sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang beriman sebagai penolong, merekalah yang akan mendapat kemenangan`- al-maidah 55-56. wallahu`alam. - Dari -Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia.Tel:016 4282156 email:p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kamihttp://sanaabel.blogspot.com/

BULETIN الحضارة ~*BIL:06/Sya`ban1429
AL-HADHARAH

KEPIMPINAN ULAMA`- SATU PENILAIAN..UMMAH
Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk hidup lagi sampai saat ini. Selawat serta salam perjuangan kepada Rasul al-Amin dan seluruh kaum keluarga Baginda. Seterusnya kepada para sahabat Nabi SAW yang umpama bintang-bintang, menghiasi perjalanan kita menuju keredhaanNya insyaAllah!

Samada kita sedar atau tidak saudaraku kita telah berada di penghujung bulan Sya`ban 1429, menuju ambang atau gerbang bulan barakah, Ramadhan al-Mubarak. Pada kali ini `al-Hadharah` cuba membicarakan persoalan yang agak lebih dari kebiasaan yang ummat Islam sering perkatakan apabila memasuki bulan penuh rahmat tersebut. Kebiasaannya topik atau persoalan yang kebanyakan ummat perbincangkan ialah peningkatan amalan atau muhasabah/koreksi diri ummat Islam secara individu. Kita seolah-olah tenggelam ! dalam kesyahduan Ramadhan memperkemaskan diri masing-masing dengan berlumba-lumba berbuat kebaikan serta kebajikan yang bersifat peribadi!

Apa salahnya jika perbicaraan kali ini cuba mengajak setiap dari kita berdiri atau berpijak atas platform yang sama, dengan kata lain atas kepentingan yang sama iaitu kepentingan `ummah Islam` itu sendiri. Mari kita jadikan kedatangan bulan puasa pada kali ini sebagai ruang yang sihat untuk mempertingkatkan kualiti perjuangan ummah secara keseluruhannya, khususnya yang berada di Malaysia.

Siapa saya sebenarnya tidak penting dalam tulisan risalah ini, yang penting saya nak menyampaikan luahan atau pun keluhan hati nurani ummah yang selama ini melihat ummat Islam hilang pertimbangan dalam kesibukan kelompok-kelompok tertentu ummah bermasyarakat. Kelompok-kelompok ummat Islam di Malaysia secara realitinya berpecah kepada beberapa puak atau parti atau pertubuhan malah tidak kurang juga yang mengambil sikap tidak mahu memihak pada ketika-ketika tertentu tetapi akan tetap memihak kepada golongan yang menguasai pada sesuatu tempat dan masa.

Sebagai ummat Islam secara yang paling mudah, mereka mengenali ulama` sebagai seseorang yang berilmu lebih dari orang kebanyakan dan hidup mereka para pimpinan ini lebih kepada mengajak orang ramai mengerjakan kebaikan sebagaimana diri ulama` itu sendiri sedang penuh hati-hati menjalani hidupnya menuju kebaikan dan insyaAllah keredhaan Allah SWT. Namun dalam negara ini yang boleh dilihat atau disebut para ulama` terdapat di tempat-tempat yang berlainan malah lebih mengejutkan apabila ianya sering kali bertentangan dan mencetuskan kontraversi !

Yang menjadi masalahnya apabila setiap dari mereka umpama stesen pemancar atau magnet yang hanya tahu memancarkan gelombang atau medan magnetnya sahaja tidak lebih dari itu. Individu-individu ummat menjadi bahan tarikan maupun pancaran gelombang untuk dikuasai. Saya tidak mahu menghakimi golongan mana yang betul dan salah, ataupun individu mana pendapatnya patut diterima oleh ummat Islam. Risalah ini hanya ingin mengajak setiap individu-individu ummah itu mempunyai kayu ukurnya sendiri dalam menilai kebenaran Islam. Ummah perlu melihat Islam melalui kaca mata kebenaran, bukan kaca mata kelompok, parti, emosi, fanatik, prejudis, kuasa, sentimen, provokasi dan sebagainya.


Ummah itu sendiri perlu sedar bahawa selain Allah dan Rasul, tidak ada pihak yang mempunyai `hak mutlak` kepimpinannya ke atas kita. Hak kepimpinan selepas Allah dan Rasul ke atas ummah samada ulama` atau sesiapa sahaja tertakluk sejauh mana ketaatan ulama` atau pemimpin itu kepada Allah SWT dan RasulNya. Jika hujah, pandangan atau perintah kepimpinan itu bertentangan dengan kehendak Allah dan Rasul dengan sendirinya boleh ummah campakannya ke tepi, kerana `la thoa`tal lilmakhluqi fi maksiati kholiq` maksudnya tidak ada ketaatan kepada mahkluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta.

Dalam ajaran Islam yang mulia sebenarnya tidak ada hak-hak eksklusif kepada mereka yang berada di atas atau pun kepimpinan-kepimpinan ummah sebagaimana yang berlaku sekarang. Kepimpinan ummah ialah mereka yang memegang amanah Allah dan Rasul untuk menjaga kebajikan ummah seluruhnya dalam membimbing mereka mencari keredhaan Allah sebagai hamba yang beriman. Ummah akan setia bersama kepimpinan mereka yang meletakan kepentingan Islam dan kebajikan serta maruah ummah mendahului kepentingan diri serta kelompoknya sendiri.

Jika seluruh ummah di bawah kepimpinannya bakal menerima kesusahan atau ujian keperitan, beliaulah yakni pemimpin itu menjadi orang pertama yang patut merasainya dan menanggungnya, begitu lah sebaliknya jika seluruh ummah di bawah jagaannya bakal menerima nikmat dan laba, maka pemimpin itulah orang yang terakhir akan mengambilnya atau memilikinya. Inilah kepimpinan Islam, inilah kaedah yang dipakai oleh Nabi SAW dan para sahabat serta khalifah khalifah Islam yang ulung, yang sepatutnya menjadi kayu ukur kepada kita kembali.

Keadilan Islam umpama air yang mengalir untuk memenuhi ruang, air akan memenuhi ruang yang paling bawah sekali dalam sistem hirerki ummah, lapisan masyarakat yang paling bawah, merekalah yang paling awal akan menerima nikmat atau pembelaan. Golongan bangsawan atau kepimpinan pula merekalah golongan yang paling awal akan di minta memberi pengorbanan serta catuan. persis seperti tebu semakin ke atas semakin tawar rasanya, semakin ke bawah semakin manis pula rasanya.

Setiap individu ummah harus menyedari hak-hak mereka di bawah kepimpinan ummah dan seharusnya pula berani dan tidak segan silu untuk menuntut supaya keadilan tersebut terlaksana dan dipakai. Apa yang berlaku selepas perlantikan Saidina Umar sebagai Khalifah boleh menjelaskan lagi perkara ini, apabila selesai ucapan sulung Saidina Umar kepada ummah ketika itu, bangun seorang lelaki dengan menghunuskan pedangnya seraya berkata `Ya! jika Khalifah tak betul atau menyeleweng, kami akan perbetulkannya dengan pedang kami ! Apa yang lebih menarik ialah jawapan seorang Khalifah yang sedang memegang kuasa kepimpinan ummah di tangannya. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana masih ada lagi orang yang akan memperbetulkan Umar jika Umar tersalah langkah !

Lihat saudaraku betapa tingginya nilai-nilai kepimpinan dan ummah Islam ketika itu, mereka tidak dibayangi atau dipengaruhi oleh emosi, fanatik, kuasa, sentimen, prejudis, provokasi dan sebagainya. Nilai-nilai keikhlasan untuk mencari keredhaan Allah mewarnai kehidupan mereka.Semoga kedatangan Ramadhan al-Mubarak pada kali ini, ummat Islam bukan sahaja berlumba mempertingkatkan amalan peribadi atau kualiti diri, bahkan kita semuanya insyaAllah akan berusaha mempertingkatkan kualiti kepimpinan ummah untuk mengangkat martabat perjuangan ummah itu sendiri sekian, wallahu`alam! -Dari Ibnu Ramadhan.


``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

BULETIN الحضارة ~*BIL:07/Sya`ban 1429
AL-HADHARAH

MEMERDEKAKAN SEBUAH HADHARAH
Assalamualaikum wbt kepada sidang pembaca sekelian,

Alhamdulillah, selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad SAW yang telah mengorbankan jiwa raganya demi kemerdekaan ummat ini dari penyembahan sesama manusia kepada menyembah Allahu wahdah, dari kegelapan jahiliyyah kepada nur Islam dan daripada kesesatan kepada jalan kebenaran yang lurus, tidak lupa juga salam untuk kaum keluarga Baginda dan para sahabat rhm .

Bersyukur kepada Allah SWT kerana saya pula diberi peluang untuk membicarakan sesuatu yang penting dalam buletin al-Hadharah pada kali ini.
MERDEKA ! MERDEKA !! MERDEKA !!! adalah laungan keramat yang akan bergema pada setiap kali tibanya tanggal 31 hb Ogos 1957 . Ia adalah satu detik bersejarah kepada semua rakyat Malaysia termasuk ummat Islam yang menjadi penduduk di bumi bertuah ini.

Sesungguhnya rasa kasih sayang terhadap tanah air, cinta, mesra dan merasa belas terhadapnya adalah suatu fitrah yang sedia ada dalam diri setiap manusia dimana rasa cinta kepada tanah air ini merupakan suatu perintah Allah di dalam Islam.

Allah SWT telah berfirman: “ Perangilah mereka sehingga fitnah tidak berlaku lagi dan sehingga agama itu hanya untuk Allah semata-mata…” (Al Baqarah : 193)

Islam telah mewajibkan kepada ummatnya untuk bekerja dengan seluruh tenaga dan upaya dalam usaha memerdekakan negara dari tangan perampas-perampas dan penjajah-penjajah kuffar yang zalim. Seterusnya memenuhkan tuntutan kemerdekaan itu dengan membina Hadharah Islamiyyah iaitu sebuah hadharah yang diredhai oleh Allah SWT disamping menanam prinsip keagungan dan kemerdekaan yang sebenar dalam jiwa anak-anak generasi ummahnya. Sebuah kemerdekaan hakiki yang akan membebaskan setiap individu Muslim daripada menyembah, patuh dan takut kepada selain dari Allah SWT kepada penyembahan dan ketaatan hanya untuk Allah Yang Esa serta membebaskan pemikiran dan tindakan daripada segala kongkongan-konkongan jahiliyyah.

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadharah Islamiyyah ?
Hadharah Islamiyyah ialah himpunan cara hidup meliputi aqidah, ibadah , pemikiran, pandangan, amalan dan akhlak dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, pendidikan, politik, ekonomi dan undang-undang yang ditentukan oleh Allah SWT yang disebut Deenul Islam atau cara hidup Islam yang syumul.

Oleh itu membina Hadharah Islamiyyah membawa makna kita bersedia membentuk, menyusun dan mengatur setiap inci kehidupan kita berpaksikan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam tanpa kecuali. Kita tidak boleh mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian, umpamanya kita berusaha menegakkan politik Islam tetapi dalam masa yang sama anak-anak kita dididik oleh pendidikan sekuler / jahiliyyah, kita melaungkan untuk menegakkan undang-undang Islam tetapi hawa nafsu kita begitu rakus
Ya! Matlamat perjuangan ummah bukanlah sekadar membebaskan negara mereka dan seterusnya bekerja memperkuatkan negara itu yang berlegar di sekitar pembangunan kebendaan semata-mata seperti apa yang berlaku sekarang , malah amat menyedihkan pula apabila diisi kemerdekaan itu dengan menghidupkan semula adat-adat jahiliyyah yang telah pupus, seterusnya menegakan kembali kenangan lama yang telah luput, lepas bebas dari ikatan dan pertalian Islam.

Tetapi bagi kita pejuang-pejuang Islam meyakini bahawa tiap-tiap seorang muslim adalah memikul tanggungjawab dan amanah untuk mengisi kemerdekaan itu dengan mengorbankan diri dan hartanya bermujahadah untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat. Seterusnya memberi nur Islam kepada manusia untuk membangunkan kemanusiaannya. Amanah untuk mengibarkan panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi ini dengan tidak mengharapkan ganjaran harta, kemegahan, kekuasaan dari manusia. Sesuatu yang mereka harapkan tidak lain adalah keredhaan Allah dan kebahagian alam sejagat menerusi agamanya yang mulia juga bagi menegakkan kalimah Allah, Allahuakbar ! Allahuakbar! Allahuakbar !

Membangun generasi ummah yang hidup, menghayati kebenaran dan sanggup menyebarluaskannya ke seluruh pelusuk permukaan bumi agar di dunia ini tidak ada cerita lain kecuali cerita tentang kehidupan yang benar.
Dikesempatan ini marilah kita cuba menilai kembali adakah kemerdekaan yang telah kita nikmati selama 51 tahun ini diisi dengan pembinaan hadharah sebenar yang dituntut oleh Islam.


Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak maaf di atas keterlanjuran

رمضان كريم
وكل عام و أنتم بخير
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia.Tel:016 4282156 email:p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kamihttp://sanaabel.blogspot.com/

BULETIN الحضارة ~*BIL:08/Ramadhan1429
AL-HADHARAH

KE MANA UMMAH ?... SATU MUHASABAH
Ehya Ramadhan.. Ramadhan Kareem! Ramadhan Kareem! Selamat datang Ramadhan. Sembah syukur tak terhingga kehadhrat Allah SWT kerana mempertemukan kita semua sekali lagi dengan tetamu agung iaitu bulan yang penuh keberkatan. Selawat serta salam penghormatan kepada junjungan Nabi SAW, kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya. Siapalah kita… tanpa kehadiran mereka !

Putaran masa yang berlalu terasa begitu pantas, sehingga ummah kebanyakannya hilang arah atau gagal mengawal keadaan mereka sendiri, sehingga terpaksa berpaut kepada apa saja untuk terus `hidup` di atas mukabumi ini. Kemana ummah sebenarnya di pentas kehidupan yang fana ini, banyak bergantung kepada kekuatan yang ada pada diri setiap ummah itu sendiri.

Biarpun manusia merupakan kejadian makhluk yang paling sempurna ciptaan Allah, tetapi manusialah yang paling terkedepan dalam kehilangan sifat-sifat manusiawinya. Sedangkan makhluk-makhluk yang lain masih kekal dengan sifat-sifat tabienya masing-masing dalam meneruskan kehidupan makhluk tersebut mengikut ketetapan Rabbul Jalil. Logiknya lembu tidak pernah cuba untuk menjadi singa, supaya nampak lebih gagah, malah ia tetap dengan tabienya menjadi lembu memakan rumput, mengeluarkan susu dan sebagainya. Singa pun tak pernah menabalkan dirinya sebagai raja, bebas berbuat dan membaham sesiapa sahaja, hanya sekadar untuk keperluan dan kelangsungan kehidupan spesisnya sahaja, tidak lebih dari itu.

Sebagai ummah yang bermaruah dan telah dilantik menjadi khalifah oleh Allah SWT perlulah kita mengambil iktibar dari segala kejadian yang berlaku seterusnya menjadikan pengajaran yang berguna, kerana setiap yang berlaku bukanlah sia-sia sebenarnya. Sebagai contoh Allah SWT menganjurkan kepada kita untuk melihat dan memperhatikan akan kejadian lebah, an-nahlu. Keadaan fizikalnya yang kecil lebih kurang lalat sahaja tetapi mempunyai tabiat yang berbeza dan budaya hidup yang berlainan sama sekali.

Ya! Sememangnya kedua-dua makhluk ini boleh terbang, tetapi terbangnya tetap tak sama. Lebah akan terbang mencari madu atau manisan-manisan terpilih yang banyak terdapat pada bunga-bungaan serta tumbuhan. Bukan pula semua lebahnya terbang mencari makanan, ada yang ditugaskan oleh pemerintahnya membina kaloni atau sarangnya, ada yang menjadi pengawal atau tentera ada yang cuma bertelur dan mengawan. Tidak pernah kita jumpa lebah ini berduyun-duyun atau berbondong-bondong mengerumuni bunga atau makanannya tetapi kita akan dapati ribuan atau lebih dari itu lagi di tempat yakni di kawasan pemerintahannya. Hasilnya bukan setakat lebah itu dapat meneruskan survival perjuangan kehidupan lebah, malah manfaat madu yang dibekalkan kepada manusia menjadi khasiat terbaik kepada kita.

Sebagai ummah yang ada ukuran sendiri, tak sepatutnya kita seperti terbangnya lalat hanya tahu mengerumuni dan menghinggapi benda-benda busuk. Timbunan sampah serta bangkai menjadi lokasi puluhan ribu lalat berkerumun, natijahnya berenga dan ulat yang ditinggalkan kepada kita. Ummah yang sedar tak sepatutnya mengikut arus seperti aroma lalat, cepat menghidu dan mendengar dengungan pemanggil. Ummah yang bermaruah ada agendanya sendiri, agenda Rabbani untuk membina tamadun/hadharahnya yang tersendiri.

Apakah bijak ummah menyandarkan perjuangannya kepada tokoh-tokoh peribadi? Sedangkan Saidina Abu Bakar RA telah menegaskan `Siapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu hidup/kekal selama-lamanya`.

Agama Islam adalah agama dari Allah SWT, hatta batang tubuh Nabi SAW yang mulia itu sendiri tidak boleh disandarkan perjuangan Islam kepadanya. Perjuangan Islam ialah perjuangan berasaskan Aqidah, idealisma, konsep bukan perjuangan sambil lewa menumpang sesiapa sahaja. Perjuangan ini bukan perjuangan menagih simpati terpengaruh dengan nostalgia masa lalu pihak-pihak tertentu.

Perjuangan Islam ummah seharusnya dibina di atas keyakinan ilmu dan fakta sejarah bukannya issu-issu. Perjuangan Islam bukan nak berebut kekuasaan untuk dipindahkan kepada penguasa yang lain dengan nama baru, nafas baru yang disukai rakyat. Perjuangan Islam ialah usaha dan kerja nak `mengkebumikan` semua penguasa-penguasa atas nama apa sekalipun untuk diberikan kepada hamba yang paling taqwa. Kita tegaskan sekali lagi supaya semua saudara ummah kita sedar bahawa `Perjuangan Islam ialah usaha dan kerja nak `mengkebumikan` semua penguasa-penguasa atas nama apa sekalipun supaya diberikan kepada hamba yang paling taqwa !`

Perjuangan ini tidak dipengaruhi oleh musim-musim tertentu, ianya sepanjang hayat dan sepanjang zaman sambung menyambung tak pernah berhenti walaupun ummatnya silih berganti. Pemimpin mereka telah menunjukkan contoh tidak pernah kemaruk kuasa atau terdesak dengan masa serta usia untuk menumpang apa saja bahtera samada kapal lanun ataupun bot pelarian di samudera.

Perjuangan ummah bererti membina dan menghidupkan perjuangannya sendiri dengan sumber keimanan dan taqwa bukan terpesona atau lemas dengan pujian dan pengiktirafan orang lebih-lebih lagi musuhnya sendiri. Pejuang-pejuang Islam tidak pernah terkesan dengan pujian dan pengiktirafan musuh tetapi akan mengambil perhatian akan kritikan pihak lawan dan rakan-rakan.

Biar seluruh dunia mencemuh kita bahawa perjuangan membina Hadharah Islam ini salah atau sebagainya insyaAllah tidak mengusarkan kita, kerana kita hanya tahu pengiktirafan Allah yang kita cari cuma. Apa yang kita takutkan ialah apabila kita cuma berusaha untuk mendapat sokongan ramai dari semua pihak `from all` tetapi kosong dalam membina hadharah yang disuruhNya. Mungkin hanya penuh dengan lambang, slogan atau simbolik yang retorik sama seperti pihak musuh jua.

Khalayak ummah seharusnya menyedari perjuangan Para Nabi yang kita warisi dari permulaannya sampailah ke akhir hayat kita mestilah menepati warisan Para Nabi, bukan boleh kerana dah lama, dah letih, dah kurang stamina, mungkin dah jemu atau kehabisan angin, kita mula berubah wajah. Jika pemimpin ummah yang berkeadaan begitu ummah perlu tunjukkan jalan keluar secara hormat kepada mereka. Ummah jangan tertipu dengan pemimpin jenis ini, perjuangan Islam dipermulaannya tetapi macheavelli akhirnya yang dicari.

Keadaan ini berlaku sebahagiannya kerana ulama`-ulama` tradisi tidak memahami ilmu realiti lebih-lebih lagi tentang musuh yang dihadapi dengan segala putar belit terkini, menjadikan mereka terlalu bergantung kepada anak-anak cucu macheavelli. Perjuangan ummah telah cuba dipesongkan oleh pelacur-pelacur politik ini dengan menggunakan nama haraki setelah mendapat restu pemegang cemeti tradisi.

Kemana sebenarnya ummah nak dibawa pergi… jika ummah masih enggan untuk berjalan sendiri?
Bangunlah ! Semoga ramadhan kali ini membawa erti. Sekian - dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

BULETIN الحضارة ~*BIL:09/Ramadhan1429
AL-HADHARAH
`NEGARA ISLAM` - PERJUANGAN SEMAKIN KABUR
Bertemu kembali di persada Ramadhan yang mulia ini. Kesyukuran yang tinggi kita panjatkan kepada Allah SWT, selawat dan salam buat Rasul junjungan SAW, ahli keluarga, para sahabat yang dimuliakan seterusnya kepada semua pejuang-pejuang agama Allah sampailah hari qiamat.

`Negara Islam` telah menjadi tuntutan yang lumrah bagi ummat Islam di mana sahaja, lebih-lebih lagi kepada mereka yang benar-benar beriman dan berpegang teguh dengan tuntutan beragama sebagai satu cara hidup, nizam al-hayat atau `way of life`. Sebaliknya pula bukan semua dikalangan ummat Islam menyedari dan memberi sokongan serta berusaha ke arah matlamat umum tersebut.

Ada yang insyaAllah berusaha bersungguh-sungguh, ada yang bekerja kuat siang malam tapi setakat berpolitik, ada yang ikut angin masa seronok, ada yang sambil lewa kerja `part time`, ada yang ikut belah mana ramai, ada yang kira buat ibadat supaya bagi semua orang jadi baik itulah negaranya , ada yang dah kalut lagi gawat terpaksa beruzlah tapi yang pelek hanya untuk `syok sendiri-sendiri` dan ada juga yang kata tak payah kerana dah `negara Islam` kita diami ini.

Keadaan ummat ketika ini mengingatkan kita akan kisah tiga orang buta mentafsirkan gajah mengikut tempat dan kedudukan masing-masing memegang dan meraba-raba akan makhluk Allah yang besar tersebut. Yang pegang telinga mendakwa gajah macam kipas, yang pegang kaki mendakwa gajah macam tiang dan yang pegang ekor pula mendakwa gajah itu kecil sahaja boleh digenggam macam politik saja…op! maaf tersasul pula bulan-bulan puasa ini! Memang lah betul dia pegang `seekor` gajah tapi ekornya sahaja la yang dipegangnya itu.

Tapi sekarang ini bukan lagi 3 orang buta nampaknya, dah hampir semuanya meraba-meraba tasawwur perjuangan Islam, hanya segelintir sahaja insyaAllah istiqamah memegang panji-panji perjuanganNya biarpun terpaksa menggigit akar dan umbut kayu di pedalaman serta daerah kesempitan lainnya. Ya Allah! Masukanlah kami pejuang-pejuang Islam di akhir zaman ini dalam golongan yang sedikit seperti mana yang telah KekasihMu Muhammad SAW juga pernah berdoa agar dimasukan dalam kelompok yang sedikit tetapi mendapat redha Allah dan keampunan dariNya.

Rupa bentuk atau konsep kenegaraan Islam yang macamana dan bagaimana untuk merealisasikannya sudah jarang diperbincang serta dibahaskan di kalangan ummah. Rata-ratanya menjadi sibuk dengan perkara-perkara sekunder tidak perkara primer. Malah ada yang senang-senang meletak atau menggunakan kaedah fiqh untuk kepentingan kelompok sendiri. `Tidak sempurna yang wajib melainkan dengannya, maka ianya itu sendiri menjadi wajib` Kaedah fiqh di sini adalah merujuk kepada cara berwudhuk atau menyempurnakan wudhuk- membasuh atau meratakan air dari hujung jari sehingga ke siku wajib, jadi untuk memastikan sampai ke siku maka timbullah kaedah iaitu melebihkan/melepasi garisan ukur-lilit siku itu sebagai bukti telah sempurna yang wajib tadi.

Cukup bahaya jika kaedah ini diletakkan pada kedudukan yang lain apa lagi tak tepat. Tidak dapat ditegakkan sebuah Negara Islam melainkan dengan kuasa/politik maka kuasa politik di sini pun dikatakan wajib. Sedangkan pihak tersebut menafsirkan politik cara berpilihanraya sistem demokrasi iaitu membuang undi. Sebenarnya siasah syareiyyah di dalam Islam tidak terikat dengan sistem demokrasi atau apa pun sistem jahiliyyah. Sepatutnya kaedah fiqh tersebut diletakkan pada kedudukan berikut- Tidak dapat ditegakkan sebuah Negara/Daulah Islam melainkan dengan tegaknya sebuah Harakah Islamiyyah terlebih dahulu, maka menegakkan Harakah dan menyempurnakan sebaik-baiknya adalah priority ummah buat masa kini.

Wahai saudara ummah ku nampak dak! Bagaimana jika salah letak sesuatu kaedah itu menyebabkan kita tersalah memberi tumpuan. Kita dah merasa cukup dengan keahlian yang ramai tetapi sebenarnya kita baru cuma harakah ummat Islam, bukan lagi harakah Islam yang menjadi wajib tadi. Samalah dengan Negara-negara ummat Islam (OIC), bukan Negara Islam, kerana Daulah/Harakah Islam dia ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

Saya teringat ada seorang negarawan ada mendakwa Malaysia adalah Negara Islam lalu disanggah oleh seorang tokoh politik pembangkang dengan sindiran sinis iaitu `kalau beca roda tiga nak diletakkan lambang mercerdes, kemudian mendakwa beca tersebut kereta mercerdes juga boleh la… tapi orang ramai akan kata pelawak ` Begitu jugalah saya takut ummah yang sedar akan kata `pelawak` juga jika baru menepati ciri-ciri harakah ummat Islam kita dah mendakwa Harakah Islam.

Berbalik kepada politik berpilihan raya dalam sistem demokrasi yang telah diambil oleh ulama`-ulama` terdahulu sebenarnya adalah sebagai salah satu percubaan atau tajribah/eksperimen sahaja bagi menghadapi realiti baru ketika itu, bukanlah sesuatu kaedah yang hanya satu-satunya sahaja. Saya rasa perlulah ummah dan semua pihak yang diwakilinya membuat kajian semula sejauh mana ianya memberi manfaat dan setakat mana pula ianya diperlukan tanpa mengabaikan tanggungjawab sebenar membina dan membentuk Harakah Islamiyyah yang benar-benar membangunkan Hadharah Islamiyyah.

Nabi SAW berhijrah ke Madinah, jangan hanya dilihat oleh kita bagi sesuai dengan selera nafsu kita sahaja. Ada yang mengemukakan persoalan- Kenapa Nabi berhijrah, kerana nak menegakkan Negara Islam, sebab di Mekah tak boleh laksana undang-undang Islam. Sebab itu wajib katanya kita tegakkan Negara Islam. Memang betul wajib menegakkan Negara Islam, tapi bukan dengan mengikut cara hawa nafsu `musta’jilun`, mestilah mengikut kaedah atau tunjuk ajar Nabi SAW.

Perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah di Madinah telah bermula 13 tahun di Mekah dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan/eksperimen hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Seterusnya mengadakan perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari Madinah pada musim haji dan mengIslamkan mereka lalu menghantar naqib atau murrabi kepada mereka bagi membina hadharah awal di sana. Maaf saya lebih suka menyebut Hadharah Islamiyyah di Madinah bukan Negara Islam Madinah kerana istilah negara itu sendiri telah diberikan oleh generasi kemudian, Lagi pun istilah negara itu menjadikan ummah mudah keliru kerana ummah akan membandingkan dengan negara yang ada pada hari ini. Sedangkan yang Nabi dan para sahabat generasi pertama dulu tegakkan ialah, peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhuwah dan ummah itulah sebenarnya hadharah.

Hadharah menuntut kita membina bersama-sama atau menyemai, menanam, memelihara, menjaga serta mempertahankannya berbeza dengan menegakkan `negara Islam` dengan berpolitik pilihan raya hanya memerlukan sokongan sahaja tak kira dari sesiapa pun, tak mustahil `hantu` pun dapat di terima apabila terdesak!! Sekian, wallahu`alam. Dari – Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia.Tel:016 4282156 email:p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami http://sanaabel.blogspot.com/

- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


BULETIN الحضارة ~*BIL:10/Ramadhan1429
AL-HADHARAH

MENJERNIHKAN PERJUANGAN
-Tanggungjawab Ummah
Kita bersyukur kehadhrat Allah SWT kerana masih lagi diberi olehNya kesempatan untuk menjalani ibadat puasa bersama-sama khalayak ummah sekelian. Selawat dan salam perjuangan kepada Rasulillah SAW, kaum keluarga serta para sahabat baginda yang diredhai Allah semuanya.

Ramadhan, secara sepintas lalu membawa erti membakar, kesukaran, kecekalan atau perjuangan yang tak kenal putus asa. Itulah semangat dan roh ramadhan yang dibawa oleh tetamu agung ini saban tahun kepada kita ummat Muhammad SAW dalam menunaikan misi menyambung tugas mulia memperjuangkan Islam. Bagi ummat Nabi Muhammad SAW perjuangan Islam adalah `kehidupan mereka`, denyut nadi mereka, dan aliran darah merah yang membuluhi setiap sel-sel tubuh mereka. Tanpa perjuangan/jihad bermakna ummah khususnya mereka itu telah mati atau selamat bersemadi sebagai syahid.

Dalam menghadapi realiti perjuangan ummah mutakhir ini, ummah seharusnya akur dengan kewujudan beberapa pihak yang masing-masing bergerak dan berusaha `memperjuangkan Islam` dengan uslub dan cara masing-masing Tetapi setelah melewati beberapa dekad, masa yang berlalu pergi seperti tak berbaloi dengan tahap pencapaian ummah apabila dilihat keadaan pihak masing-masing tersebut dan ummah itu sendiri.

Pihak-pihak tersebut yang masing-masing mendakwa mewakili ummah dan perjuangan mereka seharusnya berkepala dingin meletakkan kepentingan ummah dan Islam bukan kepentingan kelompok sendiri bagi memulakan usaha menggerak atau menjanakan kekuatan ummah yang akan memberi manfaat langsung kepada ummah marhaen, mustada`fin, fuqara wal-masakin.

Ummat bawahan sebenarnya dah muak dan loya dengan sikap hipokrit mereka atau pihak yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi membiarkan ummah bawahan melarat…tak cukup makan, tak mampu nak menyekolahkan anak-anak. Kami bukan nak ditunjukkan dalam akhbar atau diambil gambar apabila sekali sekala pemimpin-pemimpin kamu datang memberi `sumbangan ikhlas`, itu bermuka-muka, itulah yang kami faham sebagai hipokrit walau apa pun alasan pihak kamu.

Kami amat bersangatan merindui pemimpin-pemimpin yang benar-benar menjiwai idealisma perjuangan kami golongan bawahan, marhaen, mustada`fin, yang menjadi khalayak ummah terbanyak penggerak perjuangan Nabi dan para sahabat dahulu. Kami sering mengimpikan `Khalifah Umar` datang menziarahi penderitaan dan keperitan hidup kami langsung tanpa program-program protokol. Sesungguhnya kami benar-benar mencari `Umar Abdul Aziz` yang terlebih dahulu merasai keperitan hidup mendahului kami dan yang paling akhir merasai sedikit `kelapangan hidup` setelah hak-hak kami kerajaan beliau tunaikan. Jika antara khalayak ummah yang berhak diberikan zakat oleh kami kerana kemiskinannya maka `khalifah Umar Abd Aziz` lah orang pertama yang terlebih berhak, kerana beliaulah yang terlebih miskin berbanding kami.

Ya Allah! Oh Ya Allah! Mengapakah semua ini masih jauh atau mungkin hanya mimpi di siang hari bagi kami ummat kini. Perjuangan kami perjuangan Islam, pertubuhan kami Pertubuhan Islam, dasar kami dalam undang-undang tubuh kami, jelas Islam, seruan kami kepada semua khalayak masyaAllah! namaMu yang Agung, Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!...Tetapi mengapa pemimpin kami tidak pun setaraf atau lebih susah dari kami, tetapi mengapa pemimpin kami makannya lebih jenuh dari kami, tetapi mengapa anak bini pemimpin kami suka menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada, sedangkan perut kami dan anak isteri kami merasai kenyang pun sesekali.

Kami letih memikirkan bagaimana nak memberi pendidikan Rabbani kepada anak-anak generasi kami, supaya mereka mendapat tunjuk ajar dari acuan sendiri, tapi pemimpin kami tak kisah pun apa nak jadi kepada anak-anak kami. Mereka selalu mengkritik dasar pendidikan negara melahirkan generasi caca merba, dasar/sistem yang kita punya payah ahli-ahli nak cari dan amat sukar untuk berjumpa dan jika terjumpa pun bukanlah ianya agenda peringkat negara cuma tokoh individu atau pihak tertentu yang memang sukarela. Keadaan ini pun mendedahkan struktur sistem kita pun dua beradik dengan caca merba, sedangkan cawangan kita gah ada di seluruh negara, ahli pula bukan sikit-sikit anak, 2,3 tuu biasa la. Pemimpin kita ingat bela anak macam bela lembu dan kerbau ka? kerat rumput dan bagi air garam, lepas tuu biaq pi kat dia, petang `yong` masuk bangsal atau kandang. Kalau baru sehari dua keadaan macam ni tak la kami orang bawahan ni marah sampai macam ni !!.

Dari tak ada anak, sampai dapat anak, dari kecik sampai dah besar, semua mengaji sekolah yang kita kata sekular tu la juga, tak ada pilihan dan tak disediakan pilihan oleh jamaah, yang ada mahal tak mampu untuk golongan macam kami. Keadaan ini dah berpuluh tahun!...tak sensitif ka!?

Malang benarkah nasib kami, menjadi golongan kelas bawahan, atau kami tersalah memilih medan serta wadah? Setakat kemampuan kami ummah bawahan menilai, ini sajalah yang terbaik yang ada dapat dipersermbah. Cukupkah dengan sedikit bujukan supaya bersabar dan wala’ kepada pimpinan jamaah insyaAllah apabila kita memerintah semuanya akan berubah.

Ya! yang nyata persepsi perjuangan ummah dah mula berubah dari issu-issu kepada kritikan berilmu, dari adu-domba sentimen ummat kepada realiti membina khaira ummah, dari melolong-lolong bersyarah keluar kepada muhasabah diri membina biah tersendiri, dari mengkritik serta mengulas projek dan program orang kepada merancang dan menghidupkan kemaslahatan ummah, dari penganalisa politik sekular kepada pencetus harapan serta keyakinan ummah, dari pengikut-pengikut yang ikhlas disuruh ikut kepada ummah bermaruah yang patuh tak payah disuruh dan yang tegak apabila bercanggah dengan hadharah Islamiyyah, dari macam-macam nama wadah kepada satu matlamat ummah, dari pemimpin-pemimpin yang memperbodoh dan memijak kepala ummah kepada pemimpin-pemimpin yang dilahirkan ummah dan susah senangnya bersama-sama ummah, insyaAllah itulah izzah.

Susah, miskin, hina, ditindas, diperbodohkan, diancam, ditakut-takutkan, diberi gambaran dan tunjuk ajar salah, dipermain, dibuai, digula-gulakan malah ditipu, diperkosa, dirompak dan dibunuh segala hak-hak kita untuk hidup bermaruah, berfikiran hamba yang merdeka hanya sanggup tunduk kepada Yang Maha Pencipta. Semua ini sebenarnya saudara-saudaraku terletak di atas kemahuan kita…Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri berusaha/bergerak untuk mengubahnya.

Semua orang berhak bercakap mengenai perubahan!..Ayuh! ummah! Selangkah ummah yang ikhlas menggerakkan perubahan menuju Allah, sepuluh langkah Rabbul Jalil mendekati dan merahmatimu, sepuluh langkah ummah yang ikhlas terus menghampiriNya, bayangkan seratus langkah Rabbul a`lamin Raja sekelian alam menaungi dan mempermudahkan kamu. SubhanalLah ! sekian dari - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/

Buletin al-Hadharah

BULETIN الحضارة ~~*BIL: 01 / Rejab 1429
AL-HADHARAH
Assalamualaikum wrh..wbth. Segala puja dan puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan Salam Kepada Rasul junjungan Muhammad SAW, ahlul bait, para sahabah dan semua kaum muslimin yang mengikuti mereka sampailah hari qiamat. Saudaraku, salam ukhuwah kuhulurkan sebagai penghubung bicara di antara kita sesungguhnya Allah SWT berfirman di akhir Surah Al-`Asr yang maksudnya;
`` berpesan-pesanlah di atas kebenaran dan berpesan-pesanlah di atas kesabaran``

Sebagai menyahut saranan daripada maksud firman tersebut lahirlah buletin `al-Hadharah` yang cuba mengambil sekelumit dari ruang masa serta tumpuan ummah sekelian, bagi membicarakan hal-hal yang berkaitan kita sebagai `ummah sejagat` khaira ummah. Ummat yang terbaik yang telah pun disandarkan harapannya ke atas bahu-bahu kita sebagai ummat Islam di akhir zaman ini bukanlah suatu rahsia lagi. Bukan pula satu hal atau perkara yang mustahil untuk dicapai.

Semuanya terletak di atas kemahuan atau kesedaran kita sendiri sebagai individu-individu ummah tersebut. Ingatlah saudaraku bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang sedar dan berusaha untuk mengubahnya.

Kesedaran atau perubahan yang dimaksudkan di sini, bukanlah kesedaran atau perubahan yang mungkin difahami oleh sebahagian dari kalangan kita sebelum ini, tapi ianya ialah kesedaran yang betul-betul boleh menimbulkan keyakinan di hati kita untuk berubah ataupun merubahkan keadaan tersebut. Kesedaran ataupun perubahan yang telah diambil oleh ummah maupun pihak-pihak yang mewakilinya sebelum ini mungkin masih belum menepati atau memadai sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT yang menjadi penentu bagi segala yang berlaku dahulu, kini maupun masa yang akan datang.

Walaupun awal abad ini digembar-gemburkan sebagai abad kebangkitan Islam, iaitu ummat Islam di seluruh dunia ini berusaha membebaskan diri serta wilayah masing-masing dari pengaruh penjajah samada timur maupun barat. Memang tidak dinafikan bahawa muqaddimah kesedaran atau perubahan awal ke arah yang dimaksudkan itu telah berlaku malah insyaAllah terus berlaku. Kita sebagai ummat sekarang ini sepatutnya berterimakasih malah bersyukur kepada Allah SWT di atas segala usaha mereka yang telah mendahului kita itu dalam menimbulkan kesedaran setelah ratusan tahun dijajah.

Apa yang cuba dikongsi bersama saudara-saudaraku ialah suasana yang melingkari kita pada waktu ini sebenarnya `jauh berbeza` berbanding saudara-saudara kita sebelum ini. Jika marhalah mereka ialah marhalah menimbulkan kesedaran di kalangan ummah yang lalai… supaya kembali kepada Islam, bangun membebaskan watan dari penjajahan, beramal dengan ajaran-ajaran Islam dan sebagainya.

Maka marhalah atau tahap kita tidak cukup dengan menimbulkan kesedaran fikrah sahaja, kita sebenarnya memerlukan langkah-langkah seterusnya yang menampakkan bahawa kita sememangnya `melangkah` kedepan berani membina hadharah kita dengan tindakan amalan seharian. Sekian lama kita seolah-olah terikat mungkin boleh dikatakan terbelenggu pada issu fikrah semata-mata atau tahap yang sama sahaja. Kita mengharapkan sedikit usaha kita akan menghasilkan perubahan `total` dapat merubah segala, dengan memerintah negara.

Saudaraku, maafkan saya jika saya katakan bahawa gambaran yang disampaikan kepada kita dalam peristiwa Isra` wal Mikraj tentang orang yang diazab oleh Allah SWT nanti ada yang berjalan dengan kepalanya kaki di atas apabila tiba hari kebangkitan atau pembalasan, tidak dengan kakinya sepertimana biasanya. Bukankah ini gambaran mereka yang menggunakan aqal semata-semata, tidak berpijak di bumi nyata? Resolusi fikrah sahaja tidak akan membawa kita kemana-mana, melainkan setelah kita bertindak, iaitu beramal dengan keyakinan tersebut.

Perubahan sebenar saudaraku, setelah ada kesedaran dalam diri individu masing-masing (beriman) ialah perubahan membina `hadharah kecil`, ringkasnya perubahan yang hadir, zahir, timbul, terbit, muncul, terbentuk atau terpancar dari individu atau ummah tersebut manifestasi dari kesedaran dalaman tadi. Perubahan hadharah ini menuntut kita berpakat berusaha saling bantu membantu mengujudkan suasana atau ruang yang sihat untuk hadharah kita yang lebih besar yakni Hadharah Islamiyyah.

Mari kita renung sejenak pernahkah Nabi SAW dan para sahabat meninggalkan atau menangguhkan pembinaan hadharah kecil sekeliling mereka waktu itu? Mereka bukan generasi `dua alam` sekejap bersama-sama bantu-membantu membina hadharah Islamiyyah, pada ketika yang lain bantu-membantu dengan kaum jahiliyyah membina hadharah jahiliyyah pula! Suasana yang kita hadapi kini tidak mengizinkan kita menangguhkan pembinaan `hadharah kecil` sebelum berjayanya mencapai hadharah besar Islamiyyah.

Persoalan ini sebenarnya tidak timbul soal kita menafi atau menidakkan amalan orang tua-tua kita, malah pemimpin ummah terdahulu. Mereka bagi kita telah pun menjalankan tanggungjawab mereka ataupun tajribah/eksperimen mereka untuk suasana mereka, kita pula perlulah melakukan tindakan yang sama dalam suasana yang ternyata `berbeza`.

Kita akur bahawa kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di Turki pada awal abad ini dahulu merupakan satu tragedi pilu ummat sampai saat ini. Seharusnya kita akur juga bahawa hilangnya kuasa pemerintahan Sultan Abd Hamid ketika itu tanda bermulanya zaman `gelap` bagi ummah seluruhnya. Sedarlah wahai saudaraku, keadaan ini bukanlah bermakna apabila kita hilang`sesuatu` yang terakhir itu, maka kita mestilah mendapatkan kembali sesuatu yang terakhir itu terlebih dahulu bagi memulakan usaha pemulihan zaman gelap kita.

Mungkinkah sebenarnya kita terlupa bahawa titik mula kepada kehebatan khilafah-khilafah itu sendiri ialah `pangkalnya` iaitu generasi yang mengharungi tanah tandus Mekah dan Madinah dahulu, generasi sahabah. Generasi yang tidak rela hidup di dua alam, tidak membina retorika tetapi membina hadharah sendiri. Sedangkan khalifah-khalifah terakhir itu cuma `hujungnya` sahaja.

Sebab itu Al-Imam Asyahid Hassan Al-Banna tidak tertipu dengan perubahan sementara ini dan tahu ke mana seharusnya ummah dipandu bagi mengembalikan permata yang hilang itu serta menyusun kembali keizzahan ummah. Beliau membina kembali pemuda-pemuda Islam, pemudi –pemudi serikandi dan individu-individu ummah dalam kelompok-kelompok kecil yang benar-benar faham dan beriman sebagai asas untuk pembangunan semula Tamaddun/ Hadharah Ummah.
`Sesungguhnya pusingan Islam itu ibarat pusingan roda, ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah. Oleh itu hendaklah kamu bersama-sama dengan Islam walau di mana saja ianya berada`
Sekian wallahu`alam- Ibnu Ramadhan-``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit –
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com