Laman Utama

Minggu, 01 Agustus 2010

Buletin al-Hadharah Bil 11-20

BULETIN الحضارة ~*BIL:11/Ramadhan 1429
AL-HADHARAH
MELAKAR SEMULA PERJUANGAN UMMAH
Selamat bertemu kembali kepada semua saudara muslimin sekelian, sembah syukur kepada Allah SWT yang telah memberi keizinanNya kepada kita untuk berbicara lagi dalam keluaran kali ini, tidak dilupakan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya termasuk juga para pejuang-pejuang Islam di sepanjang zaman.

Wahai saudara muslimku seluruhnya, perlukah perjuangan ummah khususnya dalam negara ini dilakarkan semula dengan kata lain melakukan proses tajdid atau islah kepada bentuk serta arah tuju perjuangan sebenarnya ? Sebenarnya proses tajdid atau islah bagi perjuangan Islam dalam zaman mana sekalipun perlu kerana faktor pendokong atau pembawa perjuangan tersebut adalah manusia lebih-lebih lagi semuanya kita adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari mewarisi kelemahan sebagai manusia.

Memang semua pihak maklum bahawa matlamat asal perjuangan Islam iaitu menuju Allah atau mencari redhaNya, tetapi disebabkan manusia yang mendokonginya dari masa ke semasa telah terpengaruh dengan segala hambatan serta faktor-faktor duniawi yang dapat mempengaruhi pendokong-pendokong tersebut, lalu telah menjadikan matlamat asal tersebut tanpa disedari telah mulai menyimpang ataupun mengambil orbit yang lain.

Begitulah sejarah keturunan manusia bani Adam turun temurun, sehingga silih bergantinya para Nabi dan Rasul diutuskan bagi tujuan memberi nafas baru atau memproseskan semula tajdid dan pengislahan perjuangan ummah kepada setiap ummat di sesuatu tempat dan masa tertentu. Sedangkan matlamat asalnya semua sama iaitu mentauhidkan Allah dan membawa ummat menyembahNya sebagai Pencipta dan mengikuti segala peraturanNya sebagai Pentadbir sekelian alam.

Tidak terkecuali kepada kita sebagai ummat akhir zaman ini, lebih-lebih lagi selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki pada sekitar awal tahun 1920an, menjadikan ummat akhir zaman ini bercempera, bagaikan kehilangan nakhoda atau kepimpinan ummat. Lanjutan daripada peristiwa hitam tersebut lebih memeritkan lagi apabila semua wilayah ummat yang luas, dari timur sehingga ke barat telah difaraidkan sesama mereka pihak musuh-musuh Islam dengan memecahkannya kepada wilayah atau negeri-negeri yang lebih kecil sebagai negeri jajahan mereka.

Di peringkat awal lagi, maksud saya selepas kehilangan kuasa pemerintahan khalifah, keadaan ummat telah berpecah atau berbeza pandangan tentang bagaimana seharusnya perjuangan ummah ini dapat diteruskan oleh ummah serta kepimpinan mereka bagi menghadapi realiti atau suasana baru ketika itu. Terdapat beberapa kali usaha dari pengikut setia Sultan atau bekas pemerintah yang terakhir cuba menyusun kembali bala tentera yang terdiri dari pemuda-pemuda Islam serta golongan yang masih kuat semangat dan kesetiaan mereka kepada `Kesultanan Turki`. Malangnya usaha-usaha ini tidak berjaya dan tidak mampu untuk mengalahkan tentera musuh yang dibantu kuat oleh `anak-anak kelahiran ummah` sendiri tetapi mereka telah dididik oleh pihak penjajah barat puluhan tahun lebih awal dari itu lagi, iaitu golongan sekular.

Pengembelengan usaha untuk mendapatkan kembali takhta yang telah dirampas tersebut bukan sahaja bergerak di kalangan golongan yang rapat dengan bekas pemerintah sahaja, malahan turut melibatkan golongan ulama`. Tetapi bukan semua ulama`-ulama` sependapat atau bersetuju dengan segala usaha yang berjalan itu, sebagai contoh ada seorang ulama` yang terkenal iaitu Sheikh Amir Syakib ar-Salan pada suatu ketika apabila di datangi oleh wakil-wakil pemuda-pemuda Islam yang bersemangat untuk berjuang menghapuskan penjajah meminta beliau memimpin dan membangkitkan semangat ummah bagi menentang penjajahan dengan cara mereka, telah menjawab, `Sesungguhnya aku telah letih menghimpunkan angka-angka `kosong` dari kalangan ummat ini untuk digunakan melawan pihak kuffar`.

Ummah secara keseluruhannya seperti `kerasukan` atau tidak sedarkan diri bagaikan orang mabuk, dengan budaya asing atau pengaruh barat dan kebendaan terlebih dahulu lagi, dalam keadaan yang begitulah sebenarnya mereka `kehilangan` kuasa politik tersebut. Keadaan ini menjadikan mereka terpinga-pinga dalam separa sedar mereka menyangka bahawa langkah pertama mereka mestilah mendapatkan kuasa politik itu kembali. Sebenarnya ummah harus menyedari kuasa politik yang hilang itu bukan yang pertama, bukan yang pertama tetapi yang terakhir sekali hilang atau terlepas ke pihak musuh!

Jadi untuk ummah seluruhnya mendapatkan kembali semuanya itu perlulah kita mulai dari titik atau garis permulaan kita yang sebenarnya. Sebagaimana semua permulaan seruan para Nabi dan Rasul kepada ummat mereka dahulu. Seruan mentauhidkan Allah SWT, membina kembali kekuatan ukhuwah dan semua asas-asas kehidupan ummah. Sebab itu ulama`-ulama` terdahulu yang sedar mereka enggan menghimpunkan angka-angka `0` jika banyak mana sekalipun didarabkan `0` = 0 hakikatnya.

Tak hairanlah jika kita selidiki bagaimana al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna berusaha dan memulakan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dahulu telah meyakinkan kita bahawa segala usaha untuk mendapatkan kembali semua khazanah yang hilang tersebut termasuklah kuasa politik mestilah mengikut cara dan tunjuk ajar yang ditunjukkan oleh semua para Nabi dan Rasul. Perjuangan kita adalah suatu perjuangan yang menegakkan atau membina suatu peradaban iaitu hadharah yang tersendiri. Yang berdasarkan serta mengikut acuan yang ditentukan Ilahi. Asas perjuangan kita ialah kesedaran hamba untuk mengabdikan diri kepada Pemiliknya yang Haq.

Berbeza dengan tamaddun barat yang berasaskan kepada pertentangan atau konflik antara wahyu dan ilmu, darah dagingnya adalah konflik, mereka tidak pernah mengenali erti sebenar perdamaian, ketenteraman dan kasih sayang. Budaya konflik ini telah meresap ke dalam seluruh aspek kehidupan serta budaya hidup mereka. Konflik antara manusia dengan kejadian dirinya, konflik antara manusia dengan alam tabie, konflik antara manusia dengan manusia dan kemuncak konflik mereka ialah konflik manusia dengan Tuhannya yang menciptakan mereka. Natijahnya menjadikan mereka begitu rakus mengeksploitasi alam anugerah Ilahi untuk memenuhi kemahuan hawa nafsu serakah mereka. Matlamat kehidupan mereka cuma terhenti kepada tuntutan serta melayani kemahuan duniawinya sahaja.

Saudaraku…! itu adalah mereka.., kita tidak begitu, kita memulakan perjuangan dengan mengenali siapa diri kita, dari mana asal usul kita dan seterusnya ke mana segala jerih payah dan pengorbanan yang kita berikan ini untuk apa serta bila dapat dituai segala hasil mahsulnya. Semua dari kita adalah petani dan peladang serta nelayan gigih yang bekerja bersungguh-sungguh untuk kehidupan sebenar kita yang hanya diyakini oleh kita ummat terpilih yang beriman sahaja, `lakum deenukum waliyadeen` - Bagi kamu cara hidup kamu dan bagi kami cara hidup kami. Sekian, wallahu`alam.Dari - Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة ~*BIL:12/Ramadhan 1429
AL-HADHARAH

UMMAH MEMERLUKAN HARAKAH YANG MEMBINA HADHARAH
Segala puja dan puji bagi Tuhan Pentadbir Sekelian Alam, kepadaNya kita memohon segala pertolongan di atas segala urusan dunia dan akhirat, selawat dan salam buat Rasul al Amin SAW yang telah merintis jalan yang lurus untuk kita lalui,juga buat keluarga Baginda serta para sahabat radhiaLlahuanhum ajmaeen.

Assalamualaikum wrt wbt buat ummah prihatin sekelian,
Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi peluang untuk berbicara tentang topik yang amat besar dalam buletin al Hadharah keluaran yang ke-12 ini.

Hadharah iaitu suatu sistem yang menyeluruh bagi manusia yang meliputi pemikiran, pandangan, amalan dan akhlak dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, pendidikan, politik, ekonomi dan lain-lain
(Sayyid Abul A’la Al Maududi Rahimahullah). Ia terbahagi kepada dua :-

1) Hadharah Islamiyyah ialah himpunan cara hidup meliputi aqidah, pemikiran, pandangan, amalan dan akhlak dalam kehidupan individu , keluarga, masyarakat, pendidikan, politik, ekonomi, dan undang-undang yang ditentukan oleh Allah SWT yang disebut Deenul Islam.

2) Hadharah Jahiliyyah ialah satu cara hidup atau himpunan cara hidup yang meliputi pemikiran, pandangan, amalan dan moral dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, pendidikan, politik, ekonomi, undang-undang yang tidak berpandukan kitab Allah dan sunnah RasulNya.

Dalam membina hadharah, ummah cuma mempunyai dua pilihan sahaja samada memilih untuk membina Hadharah Islamiyyah ataupun membina Hadharah Jahiliyyah. Di sana tidak ada pilihan ketiga dan tidak ada pilihan untuk menjadi pemerhati ataupun berkecuali. Semua individu ummah tanpa kecuali memainkan peranannya serta mengambil posisinya masing-masing dalam pembinaan dan pembentukan hadharah ini.

Walaupun siapa dia, seorang pemimpin ummah, seorang ulama’, seorang manusia biasa maupun berdarjat, siapa sahaja – samada dia membina hadharah atau hadharah yang akan membina dia. Kerana hadharah yang diertikan sebagai sistem hidup itu akan tetap menempati dan mengambil ruang dalam roh dan jasad diri manusia, di mana ia akan hidup dan berkembang seiring dengan perkembangan manusia itu sendiri. Ia berdenyut bersama dengan denyutan nadi dan jantung manusia, berjalan dalam aliran pemikirannya dan bergerak serentak dengan segala pergerakannya serta berkembang maju mengikut kemajuan pembawanya.

Justeru itu samada kita memilih untuk membina hadharah atau tidak, hadharah akan tetap terbina. Sekiranya ummah memilih Deenul Islam, cara hidup Islam sebagai hadharah yang dibina dalam kehidupan ummah maka akan terbinalah Hadharah Islamiyyah, tetapi sekiranya ummah hanyut dan membiarkan dirinya tidak memilih apa-apa untuk dibina sekalipun maka akan terbinalah hadharah yang mengikut arus deras masyarakat massa yang menguasai segenap kehidupan manusia pada masa sekarang iaitu arus jahiliyyah, arus maddiyyah atau kebendaan, arus kemegahan, ketamakan dan kesombongan, arus tamadun bangkrup yang akan membawa kerosakan di atas muka bumi ini.

Ya! Samada disedari atau tidak, suka ataupun benci sebenarnya hadharah yang terbina dan membudaya dalam kehidupan ummah pada hari ini adalah Hadharah Jahiliyyah. Secara halus, penuh diplomasi dengan menggunakan segala prasarana komunikasi ia telah merebak dan mencengkam ke seluruh sendi-sendi kehidupan ummah dan telah diguna pakai secara meluas tanpa sebarang rasa bersalah dan berdosa oleh ummah yang telah terpisah jauh daripada hakikat atau tuntutan pembinaan Hadharah Islamiyyah. Bagaikan barah menyerang bahagian-bahagian penting tubuh ummah, seperti api dalam sekam membakar peradaban manusia, penularannya hingga ke akar umbi membongkar aqidah ummah yang kealpaan. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam masalah ini ???????

Sesungguhnya ummah secara individu tidak akan mampu untuk melawan arus deras jahiliyyah ini, tidak kuat untuk membina hadharahnya di tengah serangan dan ancaman global hadharah jahiliyyah, sekiranya dia cuba bangkit menegakkan hadharahnya yang mulia itu, samada dia akan terpinggir dipukul oleh gelombang jahiliyyah atau dia akan kalah lantas hanyut dibawa oleh arus yang memukau nafsu. Maka tertinggallah cerita tentang Hadharah Islamiyyah, cara hidup Islam yang sebenar yang diturunkan untuk menyelamatkan ummah dan generasinya hanya menjadi hikayat di dalam kitab-kitab sebagai bahan kajian dan perbincangan, di atas pentas-pentas pidato sebagai bahan petikan lidah atau di kuliah-kuliah pengajian sebagai bahan tesis untuk mendapat kedudukan.

Justeru siapakah yang akan ummah harapkan untuk menyelamatkan keadaan yang gawat ini ? Demi menjauhkannya dari kemurkaan Allah, demi survival anak cucunya supaya tidak terpesong dan tersesat dengan lebih jauh lagi. Siapa…? Siapa…? Tentulah tidak lain tidak bukan kalau bukan satu harakah atau gerakan jamaah yang mengambil tugas ini secara amanah dan bertanggungjawab. Membina, menyusun, mengarah dan memberi tunjuk ajar yang sebenarnya dengan penuh ikhlas dan kasih sayang kepada setiap individu ummah supaya bekerja secara berjamaah, saling bantu membantu, bekerja sama dan saling nasihat menasihati ke arah menghidupkan kembali Hadharah Islamiyyah. Setiap individu, ummah dan jamaah keseluruhannya akan bergerak secara serentak bukan berasingan, membentuk dan menyediakan diri masing-masing sebagai komponen batu-bata ke arah pembinaan hadharah yang dicita-citakan.

Namun sebuah harakah sendiri perlu berhati-hati terhadap perangkap-perangkap massa yang sentiasa tidak melepas peluang di atas kelalaian dan kealpaannya. Di mana perangkap yang paling berkesan sekali mutakhir ini bagi melemah dan menghancurkan harakah ialah perangkap terakhir yang ditinggalkan oleh penjajah iaitu sistem demokrasi berpilihanraya yang menjadi candu atau dadah yang apabila diambil secara berlebihan akan melemahkan sendi-sendi harakah dan memutuskan urat sarafnya. Tetapi sekiranya sesebuah harakah itu bijak dan mengambilnya dengan kadar dos yang bersesuaian mengikut nasihat doktor (Islam) ia akan terus mara ke depan dalam membina hadharah ummahnya insya Allah. Namun sebaliknya harakah akan hanya membuang masa bekerja menimbus lubang-lubang dan mencuci longkang-longkang atau sekadar menjadi penerus agenda yang ditinggalkan oleh Hadharah Jahiliyyah dan segala kuncu-kuncunya. Wallahu a’lam, semoga kita mendapat hidayah dan petunjuk di sepanjang jalan mencari keredhaanNya.

``Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap pengembala (pemimpin) akan disoal tentang gembalaannya (tanggungannya) ``
Sekian, wassalam. Dari -Ummu el Husna.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


BULETIN الحضارة ~*BIL:13/ Syawal 1429
AL-HADHARAH
DEMOKRASI PILIHANRAYA-
POHON DI TEPI PERENGGAN
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Selawat dan salam buat Rasul junjungan SAW, kaum keluarga dan para sahabat Baginda sekelian. Tidak dilupakan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat, selamat bertemu kembali sebagaimana fitrah kejadian kita.

Gema takbir yang berkumandang ketika ummah menyambut Hari Kebesaran atau Kemenangan masih terasa betapa meriah dan syahdu sekali bagi mereka yang benar ucapan dan iktiqad serta amalan sehariannya. Namun masih ramai yang berbaur dengan pelbagai fahaman serta ideologi tanpa mereka sedari turut bergembira bersama-sama ummah seluruhnya.

Pertemuan kita pada kali ini bukanlah bertujuan nak berbincang perihal raya walaupun selepas masing-masing `gembira` berhari raya, sebaliknya pilihanraya dalam sistem demokrasi seperti yang berlaku dalam negara kita ini sebagai bukti atau tanda wujud dan berjalannya sistem demokrasi tersebut di Malaysia. Sebagai rakyat awam Malaysia bukanlah suatu masalah atau persoalan besar kepada mereka, hanya perlu dilalui atau turuti apa saja yang orang ramai dan arus perdana tentukan. Persoalan atau perbincangan kita kali ini ialah bagaimana ummah perlu atau seharusnya terlibat dalam kancah sistem politik berpilihanraya tersebut ?

Sebagai ummat Islam yang benar-benar beriman dengan ajaran Islam, mereka secara zahir atau sembunyi tetap mengatakan negara ini bukan Negara Islam tetapi Negara ummat Islam, dengan kata lain negara sekular. Sebab itu mereka perlu berusaha membebaskan atau mengerakkan segala kerja buat untuk mencapai cita-cita tertegaknya Daulah Islam. Dalam menjalankan gerak kerja inilah berlaku pandangan-pandangan yang berbeza di kalangan gerakan atau harakah yang mewakili pelbagai kelompok ummah tanpa perlu berselindung lagi, mereka bergerak mengikut keyakinan uslub masing-masing selama ini.

Pembahagian besarnya di sini supaya lebih mudah difahami dan senang nampak oleh ummah sekelian ialah menyertai politik pilihanraya atau tidak memasuki politik iaitu `non partisan`. Al-Hadharah kali ini cuba mengajak seluruh ummah sekelian melihat atau mengenal pasti terlebih dahulu di bumi mana kita berpijak dan bergelandangan ini, tentulah negeri sekular yang dirampas atau dijajah dari ummat Islam. Acap kali juga buletin ini selalu sebutkan iaitu Hadharah Jahiliyyah yang perlu kita ambil kembali untuk menjadikannya Hadharah Islamiyyah.

Dalam proses `Harakah Islam` atau Gerakan ummat Islam berusaha membina Hadharah Islam inilah, mereka bertembung dengan suasana terdapat sistem demokrasi berpilihanraya khususnya di Malaysia lalu mereka boleh mengambil manfaatnya. Tetapi seharusnya ummah ingat sistem ini bukanlah sistem Islam, ianya hanyalah ibarat sebatang pokok besar yang terdapat di tepi perenggan yang bersebelahan dengan hadharah kita. Pokok besar ini tetap hak milik Hadharah Jahiliyyah. Disebabkan strategi musuh dari dulu lagi memang sengaja menanam segala pokok besar sistem mereka betul-betul di tepi perenggan dengan hadharah kita supaya segala sumber baja, air dan bahan galian dari wilayah hadharah kita dapat mereka sedut percuma secara halus dari dalam tanah maupun udaranya. Di pihak kita pula tidak menyedari bahawa selama ini ummahlah yang memberi dan membesarkan segala sistem tepi perenggan (perbankan, pendidikan, perundangan, dll) memanglah boleh mengambil buah yang jatuh ke dalam wilayah kita dan mendapat manfaat keteduhan pohonnya yang rendang tetapi apalah sangat yang kita boleh harapkan lebih-lebih, ianya tetap milik jahiliyyah.

Tugas harakah ummah ialah mengusahakan atau menanam pohonnya sendiri dalam wilayahnya sendiri hadharahnya, dengan benihnya sendiri untuk naungan ummatnya sendiri. Nampak sangat kita tak berkerja mengusahakan tanah wilayah sendiri supaya dipenuhi dengan pepohonan Islam tetapi asyik menunggu di bawah pokok demokrasi atau tepi pagar itu sepanjang masa. Apakejadahnya! sampai semua peringkat ahli dari yang setinggi-tinggi penasihat am hingga ahli bawah kerja tunggu buah demokrasi luruh. Kalau setakat budak-budak nakal yang panjat dahannya lepas itu dok goncang segala ranting bagi buah jatuh, tak la nampak pihak kita ni kemaruk sangat buah depa tu, walaupun kita boleh makan sebab adat tepi perenggan, berjiran.

Persoalannya tugas harakah ummah semua bukan nak makan buah tuu atau melangut tepi pagar, buat la kerja ummah sendiri, susun la sistem kerja untuk bagi pulih tanah terbiar yang rang beratus tahun ni.Yang dah mabuk dengan buah kepayang tuu, tak boleh buat apa dah! kita khabar dan beri penjelasan pun tak memberi kesan, maklumlah… mabuk peringkat tertinggi `royal taste`. Yang menjadi harapan kita ummah sekelian dan selalu kita doakan supaya sedar ialah saudara ummah yang masih kuat lagi jatidiri serta urat saraf yang belum rosak, dengan kata lain belum lagi sampai ke peringkat mengalami `mabuk buah kepayang`.

Tetapi jika selalu sangat keluarkan kenyataan `siapa yang memilih buah atau dapatkan buah tepi perenggan itu dapat pahala boleh masuk syurga, sebaliknya siapa yang tak mau pilih dan tak usaha dapatkan buah tersebut masuk neraka` (Nau`zubillah Minzalik). Nampak sangat bebelan orang-orang macam ni jauh tersasar dari melihat kebenaran walaupun perisai pakaiannya menyerupai ulul-albab. Sedangkan tanah pusaka warisan hadharah kita cukup luas dan ummat Islam di Malaysia sahaja pun berpuluh juta. Sepatutnya kita agihkan lah kerja mengikut kepakaran serta kesesuaian masing-masing. Janganlah berhujah macam seekor semut api atau ulat buah yang tak sedar ianya berada di dalam sebuah ladang yang luas.

Wahai ummah sekelian marilah kita bersama-sama membina dan mencari rentak kita sendiri untuk Hadharah Islam. Kita berurusan dengan individu atau pihak lain dari kelompok hadharah kita sekadar sasaran dakwah kita kepada mereka ataupun sekadar untuk mengambil manfaat yang agama kita benarkan sahaja. Bukan tanggungjawab kita untuk semua terjun bergelomiang dengan sistem demokrasi seterusnya mengekalkan atau menjadi kayu sangga supaya berdirinya pokok demokrasi keparat tersebut.

Urusan kita insyaAllah untuk mengembalikan balik tanah wilayah yang dirampas jahiliyyah supaya dapat kita tanam semula pepohonan Islam. Tentunya tugas kitalah untuk mencantas dahan, ranting, dan membongkar serta membongkas keluar segala akar-akar maupun tunjangnya sekali untuk diganti pokok kita. Sekali lagi, dengan bahasa mudah orang kampung lagu ni, kita buat kerja kita sementara pokok tuu tak mampuih lagi, kita ambil dan guna lah mana yang boleh. Jangan kita pula nak dok bedah dan jaga demokrasi. Selalunya ummah yang dok sibuk kerja bedah dan bagi sihat pokok demokrasi itu tak buat kerja membina hadharah ummah, Hadharah Islam.

Sekianlah dahulu untuk perbincangan buletin kali ini, walLahu`alam bissawab! - Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-

BULETIN الحضارة ~*BIL:14/Syawal 1429
AL-HADHARAH
TASAWWUR PERJUANGAN UMMAH Bhg 1
Dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang! Selamat bertemu kembali kepada semua khalayak ummah sekelian, marilah kita bersama mengAgungkan Allah SWT sebagai Yang Maha Esa yang mengaturi setiap langkah kehidupan kita, seterusnya marilah juga kita menyatakan keyakinan serta terimakasih kita kepada Rasul Junjungan Muhammad SAW yang telah menyampaikan semua ajaran Islam ini kepada kita melalui kaum keluarga, para sahabat Baginda dan seluruh generasi selepas mereka yang mengikuti liku-liku perjuangan Islam yang benar itu sampailah hari qiamat.

Pertemuan kita pada kali ini ingin mengajak semua khalayak ummah, terutama yang prihatin untuk menganalisa kembali pengertian `tasawwur perjuangan Islam` yang kita perjuangkan selama ini dalam realiti perjuangan dan pergerakan ummah kontemporari. Sejauh mana erti sebuah perjuangan Islam ummah itu mendasari serta memandu perjuangannya. Ia banyak bergantung kepada kefahaman pendokong-pendokong serta dikuatkan lagi oleh sejauh mana berjaya atau tidaknya pemimpin-pemimpin mereka mengembang biakan makna tasawwur tersebut.

Dari segi bahasanya tasawwur membawa erti `gambaran` atau `pandangan` terhadap sesuatu. Dalam konteks perbincangan kali ini iaitu tasawwur perjuangan Islam membawa maksud gambaran keseluruhan perjuangan Islam ataupun semua ruang lingkup atmosfera perjuangan ummah tersebut sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa al-Islam itu sendiri diturunkan sebagai `Rahmatan lil a`lamin`- sebagai rahmat keseluruhan alam buana ini. Terlebih dahulu kita seharusnya dapat membezakan maksud antara tasawwur Islam dengan tasawwur perjuangan Islam. Tasawwur Islam ialah rupa bentuk ajaran Islam itu sendiri, manakala tasawwur perjuangannya ialah bagaimana segala usaha atau ikhtiari manusia mukmin mengembangkan ajaran tersebut sehingga berjaya menepati tujuan ajaran Islam itu diturunkan. Dalam keadaan-keadaan tertentu kadang kala ianya nampak sekali atau sama.

Apa yang sepatutnya dilihat bersama dalam perbincangan ini ialah sejauh mana atau usaha serta liku-liku yang boleh dilalui oleh pejuang Islam. Dalam `rangka besar` itu setakat mana pula yang menjadi had atau sempadan kepada mujahid-mujahid dalam merealisasikan perjuangan mereka. Peri pentingnya kefahaman pendokong serta kepimpinan gerakan ummah terhadap tasawwur perjuangan mereka sendiri agar mereka terlebih dahulu mempunyai panduan atau `guardline` secara gambaran umum halatuju sebuah perjuangan.

Sementelahan juga supaya mereka tidak mudah `tewas` dengan lakonan-lakonan iblis di sepanjang perjalanan perjuangan Islam. Seterusnya supaya mereka bersama-sama ummah dapat memastikan perjalanan pergerakan ummah sentiasa berada di landasan yang betul dan yang lebih penting supaya mereka sentiasa menawarkan Islam yang menepati perjuangan para Ambiya` kepada keseluruhan khalayak massa. Memanglah mustahil untuk kita mengetahui semua atau dapat melihat keseluruhannya sebagai mana mustahil juga seseorang individu mukmin itu mengetahui segala-galanya ajaran Islam dengan segala selok beloknya secara terperinci. Apa yang perlu dan menjadi tanggungjawab ummah ialah diusahakan supaya gambaran umum secara lakaran plan kasar difahami oleh kebanyakan ummat Islam, dengan tidak menafikan mungkin ada yang akan mengetahui secara lebih khusus dalam sesuatu bidang tersebut. Itu adalah hakikat kelebihan dan kelemahan kejadian manusia yang Allah SWT ciptakan sebagai khalifah fil ard.

Bagi memastikan suasana sihat ini wujud, maksud saya ialah suasana semua ummah menjadi mata dan telinga serta hati nurani kepada perjuangan Islam, kita yang mewakili semua kelompok-kelompok ummah mestilah sentiasa menghidupkan budaya sihat seperti `menjaga tepi kain ummah`, berdailog, bermuzakarah, bertukar-tukar pandangan, mencari ilmu-ilmu yang `hidup` atau mengadakan seminar serta diskusi bukan sahaja sesama kelompok sendiri malah lebih perlu kepada kelompok-kelompok lain yang masing-masing menggerakkan perjuangan ummah. Apa yang penting matlamat kepada semua usaha tersebut mestilah kepentingan serta kebajikan ummah keseluruhannya bukan kelompok sendiri atau `menyelak kain ummah` untuk memenangkan kelompok sendiri, seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Maaf! Ummah hari ini tidak melambangkan mereka mewakili ummah yang sihat atau cerdik kerana rata-rata mereka dibentuk dan dihasilkan oleh penipu-penipu dan penguasa-penguasa yang zalim, yang memang sengaja mahu mengekalkan suasana `kebingungan` ini untuk kelangsungan hayat sistem mereka. Untuk mengembalikan ummah atau rakyat menjadi cerdik tidak dapat tidak, mestilah semua kelompok ummah mengembalikan suasana sihat yang pernah ummah kenali dalam sejarah mereka iaitu suasana pada zaman permulaan serta kegemilangan kepimpinan ummat Islam.Semua kelompok ummah sepatutnya berterusan membina syakhsiah/keperibadian muslim yang beramal dalam apa keadaan sekali pun dan sungguh-sungguh berdakwah, berjihad supaya semua golongan menganut dan menerima Islam… jika boleh!

Ummah akan terus kekal dalam suasana keliru jika gerakan yang mewakili ummah terus-terusan tidak mampu keluar dari kepompong keegoan sendiri. Dalam situasi begini sepatutnya setiap kelompok ummah itu berani mengambil tanggungjawab ummah seterusnya melangkah ke aras yang lebih sesuai dan mendasari perjuangan iaitu paradigma ummah, bukan lagi paradigma kelompok masing-masing. Lebih malang lagi jika sekiranya kelompok ummah yang ada …bukan maju ke depan! Sebagai gerakan yang memimpin ummah… tetapi mundur ke belakang menjadi pengikut puak-puak, cucu-cicit sekular pula…

Gerakan ummah kena sedar yang mana penganut atau pendokong yang kita kena hasilkan dan yang mana pula penyokong sahaja kepada perjuangan kita. Jika di zaman Rasulullah dahulu golongan penyokong ini diwakili oleh Abu Talib yang tidak beriman itu. Bukan tugas Nabi dan para sahabat mencari atau meramaikan penyokong tetapi mereka siang malam menyampaikan Islam supaya orang ramai menerima dan menganut Islam. Disebabkan kepentingan-kepentingan tertentu penyokong itu sendiri, mereka tidak mahu menerima tetapi tidak pula menentang Islam, itu masalah mereka. Tugas kita tetap mengajak supaya mereka beriman dan beramal menjadi seperti golongan beriman insyaAllah. Itulah kesungguhan usaha Nabi SAW kepada Abu Talib hingga ke saat akhir hayat Abu Talib. Nabi tidak pernah menyuruh Abu Talib memimpin ummah bagi menyelamat dan mengembangkan Islam ketika itu.

Berbeza dengan kita pada hari ini cukup keliru…cukup keliru.. apabila hanya berusaha mencari sokongan ramai macam sokongnya Abu Talib, Nak buat apa ? Yang lebih menyedihkan apabila ahli pun dah tak tau nak buat apa, seronok hidup bebas tanpa tugasan dan arahan khusus, maka pakat-pakat jadi penyokong juga! Spesis ni yang banyak menjadi sokong bawa rebah..! Aduhai… malang sungguh nasibmu Gerakan ummah !
Wallahu`alam. Dari-Ibnu Ramadhan. ………bersambung.

``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


BULETIN الحضارة ~*BIL:15/Syawal 1429
AL-HADHARAH
TASAWWUR PERJUANGAN UMMAH Bhg 2
Salam perjuangan diucapkan kepada khalayak ummah seluruhnya. Setinggi-tinggi kesyukuran hamba panjatkan kepada Rabbul Jalallah. Selawat dan salam penghormatan kepada penghulu segala Nabi yakni Nabi Muhammad SAW serta kaum keluarga dan semua para sahabat RA yang dimuliakan.

Bagi menyambung perbincangan yang lalu iaitu perbezaan yang cukup ketara antara penganut, pendokong berbanding penyokong dan simpatisan. Sebagai sebuah gerakan atau harakah ummat kita sebenarnya memikul amanah `kenabian` kepada ummah semasa, sebelum sesebuah hadharah yang bersifat watan terbina atau wujud. Kepimpinan Islam akan bekerja membina ahli muslim serta kepimpinan di bawahnya supaya komited kepada ajaran Islam. Setiap muslim yang menjadi ahli serta dah ditarbiyyah pula akan menjalankan tugasnya membina dan membentuk ahli keluarganya serta masyarakat setempat supaya menerima Islam seterusnya komited pula kepada ajarannya. Itulah agenda tetap yang fundemental sebagai Harakah Islam atau Gerakan ummat Islam zaman mana sekali pun mesti dilaksanakan tak boleh diubah-pinda atau di`kiv`, walau pun melalui muktamarnya.

Fokus gerakan ummah ialah membina dan membentuk hadharahnya bukan sekadar nak ubah landskap politik di halaman rumah orang atau halaman hadharah musuhnya. Sebab itu kepimpinan di dalam Islam bukanlah sepertimana pemimpin-pemimpin politik sekular yang menganut satu fahaman asing jahiliyyah. Mereka berusaha dengan pelbagai cara `by-hook or by-crook` meraih seramai mana yang boleh supaya orang ramai menyokong atau menjadi penyembah toghut. ciptaan mereka. Membeli undi, memberi habuan dunia, memberi khidmat sex, menjanjikan jawatan dan kedudukan, tidak pelek bagi mereka. Memang itu adat jahiliyyah, yang bobrok! Mereka hanya perlu membina `tamaddun` yang berasaskan sokongan-sokongan palsu tanpa roh.

Sebaliknya di pihak kita, asas perjuangan ialah pembinaan hadharah dan perjuangan kita bermula dengan keimanan serta keyakinan yang bersifat roh terlebih dahulu. Itu perbezaan asas antara Hadharah Islamiyyah dengan lain-lain hadharah. Seharusnya atau sewajibnyalah kita bersama-sama kepimpinan ummah bangun di tengah-tengah kebobrokan dan kehancuran segala-galanya tamaddun jahiliyyah sekarang dengan suatu seruan, ajakan, qudwah, mesej yang dipersembahkan secara `live` iaitu hadharah yang asli, fitrah, dan haq seperti yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW bersama generasi awalan. Barulah di ketika itu insyaAllah seruan dan ajakan kita menjadi berguna dan bermanfaat serta menjadi penyelamat kepada mereka yang lemas tersebut. Mana mungkin orang-orang yang lemas macam mereka juga, nak menyelamatkan khalayak massa yang sedang terkapai-kapai itu.

Sebagai kepimpinan dan ahli kepada perjuangan Islam semestinya kita tahu bagaimana dan cara untuk merealisasikan perjuangan kita ke alam nyata yang masih dikuasai Hadharah Jahiliyyah seperti sistem demokrasi dalam negara ini. Sifat sistem sekular atau sistem tepi perenggan yang sengaja membina atau menanam pokok-pokok besar sistem mereka bersebelahan dengan perenggan hadharah kita seperti perbankan Islam, institusi pendidikan dan perundangan serta lain-lain lagi yang diletakkan nama `Islam` adalah untuk mengabui pandangan ummah. Semua cabang-cabang sistem sekular yang hidup subur selama ini hasil dari kekeliruan ummah yang berjaya diperdayakan atau sikap sebahagian ummah yang suka mengambil jalan mudah.

Sikap sebahagian ummah yang suka mengambil jalan mudah tidaklah dapat gerakan atau harakah ummah mengawal sepenuhnya. Persoalannya di sini adalah sikap dan agenda gerakan atau kepimpinan ummah pun tidak ada dalam menyediakan sistem-sistem alternatif kepada ummah. Sepatutnya gerakan ummah melihat semua cabang-cabang sistem Islam itulah agenda kerja kita, bukan sekadar alternatif. Tanggungjawab yang kita kena usaha bagi ada jika sekiranya belum ada lagi. Seterusnya kita urus dan kendalikan mengikut sistem pengurusan Islam, kita jalin dan gabungkan dengan semua pihak yang mahu bersama dengan perjuangan kita. Barulah semua ummah mendapat perkhidmatan yang selaras dan ditawarkan dengan kadar yang paling berpatutan bersesuaian dengan roh Islam membela ummah tertindas.

Agenda pilihan raya dalam sistem demokrasi cuma perlu dilayan seperti kita melayan pohon tepi perenggan yang berbuah apabila tiba musimnya sahaja, itupun dengan cara yang penuh prinsip dan akhlak muslim, kaki dan jasad tetap berpijak dalam wilayah hadharah kita. Sikap ini kerana kita sampai bila pun tidak pernah mengiktiraf hadharah mereka, itulah prinsip bagi mereka yang tahu erti perjuangan Islam.

Ketelanjuran dan pengabaian selama ini akibat kepimpinan ummah kebanyakannya diberi kepada golongan ulama`-ulama` tradisi yang tidak memahami ilmu realiti atau mengenali musuh semasa dengan segala sistem kejahiliyyahannya terutama sistem tepi perenggan. Jahiliyyah dari masa ke semasa sentiasa memperbaharui kaedah atau pendekatan untuk mengelabui ummah yang lemah. Bukan maksud saya mereka tidak berilmu, tetapi kelemahan dan kesilapan mereka ialah tidak mengenali musuh Islam. Disebabkan kelemahan mereka tersebut mereka tidak dapat tidak, perlu bergantung atau bergabung dengan golongan yang disebut`profesional` hari ini. Di situlah terbuka ruang yang luas kepada eksploitasi dari anak cucu macheavelli ke atas kelemahan golongan ulama`-ulama` tradisi sebenarnya.

Kita perlu bersikap realistik dalam menghadapi suasana sebegini, bukan semua golongan `profesional` itu adalah anak cucu macheavelli sebagai mana bukan semua ulama`-ulama` itu warisan para Nabi. Sebab itulah jalan selamat yang insyaAllah mendapat jaminan Allah ialah menghidupkan sistem kepimpinan Harakah Islam seperti mana yang diamalkan oleh generasi awalan kembali. Sebagai satu contoh mudah kepimpinan Islam tidak akan diberi atau diangkat dari mereka yang tidak hidup dengan budaya hidup Islam dalam semua aspek kehidupan peribadi dan keluarga tanggungannya.

Sebenarnya jika kita benar-benar membangunkan Hadharah Islamiyyah, kita akan mula dapat merasai segala nikmat dan kelebihan yang ada dalam ajaran Islam itu sendiri tanpa perlu bergantung sangat dengan cabang-cabang Hadharah Jahiliyyah lagi. Keperluan kita untuk berurusan dengan Hadharah Jahiliyyah pada ketika itu hanyalah untuk menawan atau mengambil kembali hakmilik ummah yang mereka rampas.

Tidak timbul soalan, bolehkah ummah bekerja dengan cabang-cabang sistem sekular yang ada hari ini? Individu ummah yang bekerja dalam sistem sekular macam contoh `Nabi Musa` atau `Masyitah` mestilah dengan kesedaran bukanlah mereka itu nak membangunkan hadharah Firaun tetapi mereka tetap dalam usaha membangunkan Hadharah Islamiyyah sama seperti mengambil manfaat kedudukan pohon tepi perenggan tadi juga. Jika keperluan mereka lebih diperlukan untuk membangunkan Hadharah Islamiyyah berbanding kedudukan mereka kekal mengambil manfaat sistem sekular pada ketika itu keutamaannya ialah membangunkan Hadharah Islamiyyah. Wallahua`lam. Sekian, dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit -


BULETIN الحضارة ~*BIL:16/Syawal 1429
AL-HADHARAH
CARA HIDUP YANG MEMBINA HADHARAH
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan kepada kita untuk bertemu kembali bagi membicarakan persoalan penting dalam pembinaan hadharah kesinambungan kepada perbincangan saya yang lalu -Buletin ke12 yang bertajuk Ummah Memerlukan Harakah Yang Membina Hadharah. Tidak lupa selawat dan salam kepada Rasul Junjungan SAW, kaum keluarga dan para sahabat Baginda sekelian.

Sesungguhnya untuk mencapai kepada sesuatu pembinaan hadharah, ummah bukan sahaja perlu berbeza dengan hadharah lawannya dari sudut ideologi, kefahaman politik, slogan-slogan dan laungan sahaja. Ataupun ianya bukanlah sekadar satu keadaan ummah berperanan hanya menjadi penyokong hadharahnya semata-mata. Sedangkan dari segi cara hidup, gaya, cita rasa dan kemahuan ummah sendiri serta pembentukan generasinya sama sahaja dengan musuhnya, saling bantu membantu membina Hadharah Jahiliyyah. Perlakuan seperti ini amat bertentang dengan tuntutan hakikat keimanan kepada Allah SWT- di mana hakikat Iman bukan sahaja percaya dengan hati kemudian menyatakan dengan lisan tetapi perlu dibuktikan kepercayaan dan kata-kata tadi dengan amalan, tindakan dan cara hidup seharian.

Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini…walaupun siapa dia, seorang pemimpin ummah, seorang ulama`, seorang manusia biasa maupun berdarjat, siapa sahaja - samada dia membina hadharah atau hadharah yang akan membina dia. Kerana hadharah yang diertikan sebagai sistem hidup itu akan tetap menempati dan mengambil ruang dalam roh serta jasad diri manusia…Hadharah akan tetap terbina tetapi malanglah jika ummah tidak memilih dan bersungguh-sungguh membina hadharahnya sendiri, maka terbinalah hadharah sekular seperti hari ini mengikut acuan yang orang ramai tentukan.

Cara hidup ummah yang membina Hadharah Islamiyyah adalah cara hidup yang mengikut syariat Islam dalam ertikata merujuk kepada tuntutan syariat ( berkaitan halal, haram, wajib, sunat, makruh, mubah) terlebih dahulu dalam semua tindakan kehidupannya sebagai individu, keluarga, jamaah, syarikat atau negara. Ia adalah suatu cara atau peradaban hidup yang sederhana dan pertengahan, tidak terlalu mengikat dan tidaklah lepas bebas tanpa batasan. Suatu cara hidup yang tidak keterlaluan di dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah ‘ummatan wasatha’, sederhana, sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan samada soal dunia maupun akhirat. Sesungguhnya ia adalah suatu cara hidup yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Begitulah yang telah dijelaskan oleh firman Allah SWT; “ Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu (ummat Islam), ummatan wasatha (ummat yang adil dan pilihan/pertengahan) agar kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia (tentang yang benar dan salah) dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. – Al Baqarah : 143

Berlawanan dengan cara hidup yang membina Hadharah Jahiliyyah iaitu melampau dalam segala hal walaupun dalam perkara yang dibolehkan oleh Islam, tamak, boros, membazir, sombong, bongkak, menunjuk-nunjuk, berlebihan dalam memuja-muji pimpinan, cintakan dunia melebihi segala-galanya walaupun berselindung disebalik nama Islam.

UMMAH MEMERLUKAN CONTOH YANG HIDUP

Malangnya ummah kini hilang pedoman, sudah tidak tahu budaya dan hala tuju hidupnya. Cara hidup Islam sudah menjadi janggal dan kepelekkan di kalangan ummatnya sendiri , tersisih dari generasinya…jauh dari hati… sirna dari pandangan mata…sedangkan cara dan budaya hidup jahiliyyah semakin dekat di hati … dan semakin menggoda. Kenapa terjadinya perkara sebegini ??????? Di sana terdapat dua faktor penting kenapa ummah tidak dapat gambaran sebenar tentang tasawwur cara hidup Islam:-

Yang pertama ialah faktor luaran iaitu serangan dan asakan dari Hadharah Jahiliyyah yang sememangnya tugas mereka menghancurkan Hadharah Islamiyyah dan mereka sekali-kali tidak akan redha ummah kembali menghayati hadharahnya dalam semua bidang kehidupan. Hadharah ini telah mengeliru dan membingungkan ummah dengan menyelit kekaburan-kekaburan cara dan jalan hidupnya di tengah perjalanan ummah menuju matlamat Islam. Sedangkan di dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara, kerana akibatnya jika kita teliti walaupun niat dan tujuan kita untuk menegakkan Islam tetapi sekiranya cara, cita rasa dan kemahuan mengikut rentak nafsu jahiliyyah pastilah membudayakan cara hidup jahiliyyah yang akhirnya akan membina Hadharah Jahilyyah jua.

Yang pelek dan silapnya kita, dalam menghadapi serangan ini kita asyik dan sentiasa menyalahkan Hadharah Jahiliyyahlah yang menyebabkan ummah dan generasi kita jadi begitu dan begini, sedangkan disedari atau dengan sengaja, malas untuk berjuang dan bertindak. Kita membiarkan cara hidup jahiliyyah itulah juga yang menghiasi perlakuan kita, merelakan anak-anak kita dibentuk mengikut acuan jahiliyyah, meredhakan segala hiburan yang haram masuk ke dalam rumah-rumah kita mencabut akidah serta meruntuhkan akhlak kita dan dalam masa yang sama meninggalkan hadharah kita lompang di sana sini.

Faktor kedua, adalah faktor dalaman sendiri di mana ummah yang umumnya telah terkena sindrom keliru dan bingung tidak punya kekuatan untuk bangun secara individu. Permasalahan ini sebenarnya memerlukan satu harakah atau gerakan ummah yang tersusun yang menunjukkan dan melaksanakan cara hidup Islam bersama-sama dalam kelompoknya sehingga ia membentuk satu budaya hidup ummah yang akhirnya akan membina kembali kekuatan hadharahnya yang tersendiri.

Persoalannya harakah itu apa? Atau harakah itu siapa ? sehingga mampu menunjukkan cara hidup Islam kepada ummah. Harakah itu bukan sesuatu benda bernyawa boleh bergerak dengan sendirinya. Justeru itu jelas kepada kita mereka yang mewakili harakahlah yang terdiri daripada ulama’, pemimpin dan pendokongnya yang sepatutnya mempunyai kefahaman yang jelas tentang hakikat pembinaan Hadharah Islamiyyah, perlu memandu dan menggerakkan harakah mengikut pacuan Islam dan meletakkannya di atas landasannya yang sebenar sebagai Harakah Pembina Hadharah, bukan pengekor dan penyelesai masalah hadharah musuhnya.

Ulama’, pendokong dan penggerak harakah ini hendaklah terlebih dahulu wajib bersungguh-sungguh memainkan peranan menunjuk dan mempersembahkan cara hidup Islam dalam kehidupan peribadi dan pembentukan keluarga mereka kepada khalayak ummah. Mereka juga hendaklah terlebih dahulu sederhana dalam kehidupan, tawadhu’, zuhud, wara’, berasa izzah dengan hadharahnya dan yakin walau sehebat manapun Hadharah Jahiliyyah tidak akan dapat menandingi dan menyamai “selekeh-lekeh” Hadharah Islamiyyah yang mulia itu dan hendaklah sentiasa berwaspada dengan tembakan-tembakan peluru jahiliyyah …wallahu a’lam, semoga kita semua diberi petunjuk oleh Allah SWT. - Dari Ummu el Husna.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة ~*BIL:17/Syawal 1429
AL-HADHARAH
Igauan Ngeri Jamaah Ummat Islam
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. AlhamdulilLah segala puji bagi Zat yang berdiri dengan sendiriNya. Selawat dan salam penuh kasih seorang ummat kepada RasulilLah SAW, ahli keluarga serta para sahabat yang berbangga menuruti segala khazanah Nabinya. Seterusnya setinggi-tinggi penghormatan juga kepada mujahidin-mujahidin di seluruh dunia yang sentiasa bangun memperbetulkan ummatnya pada setiap masa dan ketika.

Keperluan terhadap wujudnya sebuah Harakah Islamiyyah yang menepati ciri-ciri Islamnya di dalam kehidupan bermasyarakat hari ini amatlah aula, lebih-lebih lagi kepada kita di zaman mutakhir ini. Kebutuhan terhadapnya menjadi lebih terasa kesangatan apabila melihat keadaan ummat Islam dan gerakan ummat yang mewakilinya menjadi begitu kerdil di pentas dunia. Khalayak massa hari ini telah benar-benar menyerupai jahiliyyah dengan segala rupa bentuk jelmaannya.

Saudaraku, semua dari kalangan kita rasanya dapat menerima sesebuah gerakan atau harakah yang boleh menyelamatkan ummah itu tidak akan dilahirkan terus matang mempunyai ciri-ciri kesempurnaannya. Setiap dari kita pun dapat juga menerima bahawa untuk mencapai tahap kematangan tersebut memerlukan suatu proses atau usaha yang membawa kepada sesebuah gerakan atau harakah itu mencapai tahap `kesempurnaannya`. Proses ini tentulah mengambil masa, tindakan, persediaan, perancangan, perubahan dan pencapaian tertentu samada dari faktor dalaman sendiri maupun luaran.

Sebagaimana semua pihak ummah bertanggung jawab menzahirkan sebuah gerakan atau harakah ke alam realiti bermasyarakat, begitulah jua semua pihak ummah seharusnya bertanggung jawab memproseskan kematangan tersebut.

Harakah Islam, seperti yang dikatakan sebelum ini ialah harakah yang membina hadharah, membina tamaddun, pejuang-pejuangnya membina peradaban, akhlak mereka ialah, akhlak mereka yang patuh kepada perintah Allah SWT. Biarpun khalayak sekeliling tidak menghiraukan mereka atau hanya melihat mereka dengan pandangan sebelah mata sahaja. Pendokong harakah ummah ini terus berusaha kerana mereka sebenarnya tidak merasa hina dek pandangan orang yang buta kepada makrifah itu, malah bagi mereka pandangan itulah sebenarnya yang hina.

Bagi mereka, tertegaknya sesebuah daulah atau pemerintahan yang menjadikan Islam sebagai asas pembinaan atau perjalanan kerajaannya mestilah dimulai dengan wujudnya terlebih dahulu kelompok asas ataupun terasnya sebagai projek perintis / pilot project. Kelompok asas dan teras ini adalah anggota-anggota Harakah Islamiyyah. Mereka ini merupakan peneroka-peneroka awal yang terlebih dahulu sedar, insaf, malah yakin dengan Islam itu sendiri sebagai asas pembinaan hadharah termasuk kehidupan peribadi mereka.

Mereka memahami bahawa - `Iqamatid deen wasiyasatud dunyabih` menegakkan Agama dan mentadbir dunia dengannya yakni dengan Agama sebagaimana generasi awalan dahulu iaitu menegakkan Agama itu ke dalam diri dan kehidupan sekeliling mereka terlebih dahulu dengan pentadbiran atau suruhan Agama. Berasaskan kesedaran luhur ini, anggota harakah akan bersungguh-sungguh menjanakan lebih banyak kesedaran kepada khalayak sekeliling dan terdekatnya. Mereka memastikan segala kerja buat ini tidak berlalu atau terbengkalai begitu sahaja, kerana mereka bukan membina istana pasir di tepian pantai. Gerak kerja mereka bertapak di bumi pemukiman mereka. Mereka bersama-sama mencorakkan biah di dalam usaha menjernihkan waqi yang dihadapi. Mereka tidak meninggalkan waqi dan disebabkan keutuhan iman, mereka tidak dilarutkan oleh waqi, mereka yang memandu khalayak massa, bukan khalayak yang membawa mereka. Malah ingatan-ingatan sebegini selalu disanubari mereka:-

“ Harakah hendaklah diukur berdasarkan hukum-hukum syara` dan kepentingan cita-cita perjuangan bukan semata-mata kerana memenuhi runtunan perasaan yang sementara atau tunduk kepada semangat-semangat orang awam / khalayak massa dan hawa nafsu golongan tertentu.”

“ Jangan taksub (fanatik) kepada individu tetapi hendaklah berpegang kuat kepada prinsip dan dasar, kepada isi bukan kepada bentuk lahirnya, kepada perjuangan bukan kepada kumpulan, kepada apa yang dinamakan bukan kepada nama.” - Dr Yusuf Qardhawi.

“ Dari itu janganlah melampau dalam menilai kebolehan sendiri, samada dengan membesar-besarkannya, sehingga tertipu atau dengan mengecil-ngecilkannya lalu timbul sikap putus asa. Orang yang dikasihi Allah itu ialah orang yang mengetahui batas-batasnya di mana tempat dia seharusnya berhenti.” - Al - Qardhawi.

Oleh itu sebagai peringatan pula kepada semua kelompok ummah kini jika menyukai atau mengkagumi sesuatu janganlah berlebih-lebihan atau kalau membenci sesuatu jangan pula melampaui batas. Jangan disanjung orang yang disukai itu setinggi malaikat, dan jangan dipandang orang yang dibenci itu seburuk syaitan, sehingga yang pertama seolah-olah tidak ada langsung kejahatannya dan yang kedua tidak pula ada langsung kebaikannya. Sikap melampau dalam semua perkara yang tak sepatutnya, boleh merosakkan.

Ingatlah pesanan Nabi SAW “ Anda jaga-jagalah sikap melampau, sesungguhnya beberapa ummat sebelum kamu telah dibinasakan oleh sikap melampau itu.”

Di sebalik segala kemelut dan keresahan ummah mutakhir ini sebenarnya mereka itu mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar dari kepimpinan ummah yang ikhlas supaya menunjuki mereka ini akan jalan pulang sebagai ummah yang bermaruah ada harga diri ada iman yang tersemat di lubuk hati. Mereka tidak rela dan sanggup untuk melihat ummat Islam diguna dan diperkuda lagi !

Cukup…cukup…cukup! Selama ini ummah tidak pernah merampas hakmilik sesiapa ataupun menyekat peluang sesiapa. Mengapa pula harus ummah memberi hakmilik dan peluang ummah kepada mereka? Sejak dahulu ummah tidak pernah pun menzalimi atau mengkhianati `bintang` sesiapa pun. Malah ummah dan perjuangannyalah terus-terusan dizalimi malah dikhianati oleh anak didiknya sendiri. Mengapa pula ummah dan perjuangannya yang perlu menebus segala dosa yang pihak lain lakukan ke atasnya dengan memberi layanan kelas pertama kepada pengkhianat itu. Apakah kepimpinan ummah telah melayani semua anak-anak ummahnya setaraf VIP, jangan kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.

Bukan sifat perjuangan ummah mendendami atau menzalimi ketika seterunya telah lemah tetapi bukan pula kewajipan kita merawatinya dari segala kifarat bahana musibah tetapi menyerunya bertaubat kembali daulatkan Agama Allah. Wahai saudaraku dan wahai kepimpinan ummah.. Betulkah tapak pemikiran kamu ketika memandu perjuangan ummah atau landasan pemikiran ummah yang tersasar tidak mampu menuruti kamu ? Siapa yang bermimpi.., siapa yang mengigau..? - Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة ~*BIL:18/Syawal 1429
AL-HADHARAH
Memerangi Pemikiran Eksklusif Khurafat Bhg 1
Maha suci Allah dari segala sifat yang tidak selayaknya bagi Allah SWT, selawat serta salam buat Rasul Junjungan Muhammad ibni Abdullah SAW, seterusnya penghormatan yang sepatutnya buat kaum keluarga Baginda dan para sahabat seluruhnya RidwanulLahuanhum ajmaen.

Bertemu kembali saudaraku semoga kita semua diberi keampunan dan kekuatan oleh Allah SWT untuk menjalani kehidupan sebagai ummat Islam yang patuh serta taat kepada segala ajaran Islam yang mulia itu. Semua Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada ummat manusia di sepanjang sejarahnya adalah untuk menyeru supaya ummat manusia itu kembali menyembah Allah yang Esa dan mengkufuri thoghut.

Penyembahan terhadap Allah SWT dalam semua segi kehidupan tidak akan sempurna tanpa tindakan mengengkari thoghut. Thoghut dalam ertikata yang sepatutnya difahami oleh ummat Islam hari mi ialah perkara atau pihak-pihak yang berlawanan serta bertentangan dengan suruhan dan tegahan Allah SWT. Pendek kata untuk mengenali dan menyembah Allah dalam kehidupan seharian, kita juga amat perlu mengetahui dan mengenali thoghut dengan segala sifat-sifatnya supaya kita tidak mudah terjerumus ke dunia
eksklusif thoghut yang fitnahnya begitu sofistikated sekarang. Dua pihak yang bertentangan, yang senantiasa memerlukan kita cukup teliti atau berwaspada samada beriman kepada Allah dan mengengkari thoghut atau mengikut thoghut lalu terpisah dari rahmat Allah (NauzubilLah).

Fitnah thoghut yang paling besar dewasa ini ialah kejahilan pemimpin tidak mengenali thoghut / kekufuran lalu mereka menjadi ikutan dan panduan kepada orang ramai iaitu khalayak kebanyakan kerana rakyat akan mengikut agama pemimpin mereka. Kepercayaan bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pemimpin menjadikan sebahagiannya begitu taasub terus menerimanya sedang setiap dari kita mempunyai aqal yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat nanti.

Antara contoh pemikiran-pemikiran khurafat yang bertaraf eksklusif ialah yang paling masyhur :-
Versi `A` - `politik suku agama suku`, agama (bersih) tidak boleh dicampurkan dengan politik (kotor).
Versi `B` -`Agama tidak boleh dipisahkan dengan politik, siapa memisahkan agama dengan politik, kufur`.
Versi `A` merupakan versi klasik yang telah lama terpakai dan diwarisi oleh perjuangan kebangsaan dan sekular daripada pendidikan penjajah barat. Umumnya pemikiran politik satu hal yang lain dan agama satu hal yang lain sedang mengalami zaman gelapnya. Persoalannya hari ini zaman gelap versi `A` terus diganti oleh versi `B` palsu + sekular yang terus diterima bulat-bulat oleh ummah bawahan tanpa membuat sedikit pun penelitian. Sekali pandang seperti tidak ada cacat celanya versi `B` di atas apabila dicanang oleh kepimpinan ummah, tetapi apabila kita berfikir lebih sedikit InsyaAlLah akan nampak kelemahannya. Bagaimana??

Ungkapan `Agama tidak boleh dipisahkan dengan politik dan siapa yang memisahkan agama dengan politik boleh terkeluar dari Islam` adalah salah. Sepatut dan sebetulnya ungkapan itu sendiri mestilah begini - `Politik tidak boleh dipisahkan dengan Agama dan siapa yang memisahkan politik dengan Agama boleh terkeluar dari Islam`. (NauzubilLah Minzalik) Apa bezanya? Politik itu adalah satu juzuk dari kesyumulan ajaran Islam yang luas. Untuk memudahkan kefahaman saudara-saudara begini, politik itu salah satu bilik dari sebuah bangunan yang besar dan tinggi. Ia akan nampak janggal jika kita berkata bangunan tidak boleh dipisahkan dari bilik, sepatutnya kita berkata bilik tidak boleh dipisahkan dari bangunan, kerana bila ia dipisah, ia telah menjadi bangunan yang lain tetapi kecil. Bukan pula bermakna Agama tidak perlu kepada politik, kerana dia besar dan politik kecil, jika politik tidak ada pun tak apa, tidak menjejaskannya yang besar itu. Ini pun satu lagi kefahaman yang salah, kerana Islam yang kita faham itu syumul lengkap, tidak boleh terkurang atau dikurangkan sifatnya.

Saudara-saudara sekelian permasalahan ini bukan persoalan bahasa semata-mata tetapi persoalan landasan atau asas berfikir ummah. Berbalik kepada perkara yang dibincangkan jika kita berkata atau berfikir dari asas `agama tidak boleh dipisahkan dengan politik` kononnya untuk menyanggah fahaman sekular dengan bertindak keluar dari pintu hadapan tetapi kita tidak sedar diseret semula masuk melalui pintu belakang sekular juga. Keadaan ini berlaku dengan begitu mudah sekali apabila antara kepimpinan ummah mula memikirkan semua perkara-perkara agama melalui jendela politik sahaja, dari sekecil-kecil perkara sehingga yang sebesar-besar perkara semuanya mesti mengambil kira kepentingan politik.

Sebagai satu contoh, saya ulang sekali lagi walaupun pernah disebut dalam Bil: 09-kaedah fiqh untuk kepentingan politik kelompok sendiri, `Tidak sempurna yang wajib melainkan dengan’nya’, maka `nya` itu sendiri menjadi wajib`. Cukup bahaya apabila kaedah ini diletakkan pada kedudukan yang tidak tepat, seperti `Tidak dapat ditegakkan sebuah Negara Islam sekarang ini melainkan dengan kuasa / politik maka kuasa politik itu sendiri menjadi wajib`. Sedangkan kelompok tersebut mentafsirkan politik cara berpilihanraya sistem demokrasi. Sebenarnya keterlibatan dalam sistem demokrasi hanya satu eksperimen atau tajribah yang diijtihad oleh harakah sebelum ini. Siasah syareiyyah di dalam Islam tidak terikat dengan sistem demokrasi atau apa pun sistem jahiliyyah.

Sepatutnya kaedah fiqh tersebut diletakkan pada kedudukan berikut; `Tidak dapat ditegakkan sebuah Daulah Islam melainkan dengan tertegaknya sebuah Harakah Islamiyyah, maka menegak dan menyempurna sebuah Harakah Islamiyyah menjadi wajib yang priority sekarang`. Tetapi disebabkan pemimpin ummah sendiri keliru, semua sudut pandangan cuma dilihat melalui jendela politik sekular, mereka berhempas pulas nak berebut ruang dunia sekular itulah juga dengan mengabaikan tuntutan memperlengkapkan ciri-ciri Harakah Islamiyyah. Jika mereka mula berfikir dari tapak pemikiran Islam yang ada di dalamnya siasah atau politik sudah tentu mereka akan meletakkan kaedah fiqh tadi pada tempat yang selayaknya. Maka kita akan dapat lihat kesungguhan dan halatuju ummah ini ke mana yang mereka akan arahkan sebagai pemimpin.

Satu lagi contoh bahayanya fitnah dan akibat apabila kepimpinan ummah yang memulakannya. Kenyataan `Kita adalah sebuah parti politik dalam masa yang sama kita juga adalah Jemaah Islam`. Maaf saudara-saudaraku, bagi saya inilah sebahagian rawasib atau saki baki pemikiran sekular yang ada dikalangan kepimpinan ummah yang mesti diperbetulkan jika kita ingin melihat perjuangan ummah untuk menegak Islam itu berjaya. Ini bukan cerita syampo rambut 2 in 1 atau pegangan gila ajaran Kristian 3 dalam 1, 1mewakili 3.

Tapak kita sebagai Jemaah Islam atau Parti Politik perlu jelas, dua entiti zat yang berlainan dan asing. Kita kena jelaskan dan tahu membezakan antara zat dan sifat. Zat kita ialah sebagai Jemaah Islam yang mempunyai segala sifat-sifat yang selayaknya sebagai sebuah Jemaah Islam merangkumi usaha-usaha politik. Oleh itu landasan berpijak dan landasan berfikir serta landasan bertindak mestilah bermula dari landasan kita sebagai sebuah Jemaah Islam. Bolehkah Jemaah Islam menganjurkan jamuan hari raya Aidil Fitri bersama Deepavali dan pelek atau tidak hubungan `silaturrahim` dijalinkan antara berbilang agama? Tetapi itulah yang berlaku di Malaysia sekarang bila asas kepada semua pemikiran mereka ialah meraih keuntungan politik bukan mardhatilLah……………bersambung. - Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة~*BIL:19/Zulqaedah 1429
AL-HADHARAH
Memerangi Pemikiran Eksklusif Khurafat Bhg 2
Tunduk, sujud hamba kepada Al-Malik, Raja sekelian alam yang telah mengizinkan untuk kita bertemu kembali dalam meneruskan perbincangan `memerangi pemikiran-pemikiran thoghut` laknatulLah yang mengganggu kesucian perjuangan Islam kini. Selawat dan salam perjuangan kepada RasululLah SAW, kaum keluarga serta para sahabat Baginda yang menjadi generasi contoh unggul hadharah kita, InsyaAlLah. Seterusnya tak dilupakan kepada penyambung-penyambung perjuangan ini dari dahulu sampailah ke hari perhitungan.

Kecelaruan fikrah atau pemikiran bukan sahaja dialami oleh ummah kebanyakan malah turut menghinggapi kepimpinan ummah yang merupakan suatu malapetaka kepada ummah seluruhnya.

` Fenomena ini wujud berpunca daripada kealpaan dan kelalaian manusia daripada tugas dan fungsi mereka yang utama iaitu sebagai hamba kepada Allah dan dalam masa yang sama sebagai khalifahNya untuk memakmurkan bumi ini `

` Akibat daripada salah faham terhadap tuntutan-tuntutan Islam itu sendiri, ramai di kalangan ummat Islam di serata dunia pada hari ini terkeliru mengenai fenomena ini. Ummat Islam terseret jauh ke dalam kancah kegawatan tamaddun barat ini yang telah membawa kepada kehancuran ummat Islam itu sendiri. `

` Kita tidak rela Islam dijadikan tempelan untuk memperbaiki kerosakkan yang terhasil dari kegagalan sistem masyarakat materialis yang menguasai politik Negara pada masa kini.`
- Al-Marhum Dato` Hj Fadzil Mohd Noor ( Masyarakat Madani Alaf Baru)

Kekeliruan ini seperti yang saya sebut dahulu iaitu apabila pegangan mereka masih berbolak-balik antara zat dan sifat, harakah Islam atau parti politik. Apabila tapak berpijak mereka adalah parti politik maka asas berfikir dan landasan bertindak mereka tentulah politik juga yang akan terpisah dengan landasan Islam.

Kesilapan yang nyata ini telah memberi kesan yang cukup ketara kepada ummah masa kini apabila Islam diterima dan diperjuangkan dengan meninggalkan tuntutan atau kewajipan membina hadharah, persis ajaran sekular/ Kristian. Kepentingan atau kesedaran terhadap membangunkan hadharah telah dilupakan hatta oleh kepimpinan gerakan dan harakah ummat Islam sendiri. Mereka melihat hadharah sebagai sesuatu yang `asing` dan terlalu `jauh` dari kehidupan ummah seharian. Mereka melihat hadharah dari kaca mata dunia sekular melihat `tamaddun`. Mereka mengkaji serta mengkagumi kesan-kesan atau hasil seni dan senibena ummat Islam zaman empayar dahulu. Sedangkan `hadharah` itu tidak wujud sekarang yang tinggal hanya kesan-kesan atau bekas sebagai bukti `hadharah ummat Islam dahulu` pernah berkembang di bumi nyata.

Islam tanpa hadharah sebenarnya seperti roh tanpa jasad, seperti manis tanpa perlu hadirnya gula atau tebu dan seperti lemak tanpa kehadiran bahan-bahan yang membawa lemak. Mana mungkin perkara-perkara yang mencarik adat ini akan boleh berlaku jika sunnatulLah sendiri menetapkan bahawa perlu bahan-bahan tersebut hadir dahulu atau dihadirkan. Di sinilah peranan serta tanggungjawab setiap mukmin dahulu, sekarang atau masa akan datang. Fenomena ini tidak akan dapat dilihat oleh orang bukan Islam dari posisi mana sekalipun secara jelas seperti orang-orang beriman melihat dan memahami hadharah. Kerana asas atau tapak berfikir keduanya berbeza, yang satu beriman dan yang satu kufur. Orang-orang beriman melihat kesan-kesan tinggalan hadharah tersebut dengan penuh iktibar serta keazaman mengembalikan segala kegemilangan saudara mereka dahulu menjadi realiti kehidupan kini, kerana tanggungjawab mukmin dahulu sama dengan tanggungjawab mukmin sekarang.

Sebab itu saudaraku, Islam yang kita anut mestilah sekurang-kurangnya menggerakkan kita supaya menumbuhkan atau menghadirkan penampilan-penampilan `hadharah kecil` dalam kehidupan peribadi, keluarga serta kelompok terdekat kita supaya dapat digabungkan dengan `hadharah kecil` saudara Islam kita yang lain pula bagi menjayakan Hadharah Islamiyyah. Hadharah bagi ummat Islam ialah satu ruang serta suasana yang tersendiri yang `dihadirkan` oleh individu atau kelompok ummah yang akan membentuk habitat atau environment yang sihat terhadap perkembangan dan pertumbuhan Islam serta ajarannya. Itulah tugas dan kerjasama setiap individu ummah yang sepatutnya digerakkan oleh pimpinan jemaah sebagai penyelaras yang memegang amanah kepimpinan ummah.

Sebagai contoh di samping tugas asasi membina Hadharah Islam, kita kena membebaskan diri kita dari bekerja membina hadharah musuh iaitu seperti terlibat dengan riba, arak, maksiat dan sebagainya yang ditegah syara`. Kita tidak boleh cenderung atau merasa selesa berbakti di bawah naungan hadharah jahiliyyah melainkan terpaksa atau sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan diri dari belenggunya. Anak-anak termasuk diri kita mestilah diusahakan supaya mendapat pendidikan dari acuan Hadharah Islamiyyah dan cuba semampu mungkin mengelak dari diracuni oleh pendidikan hadharah jahiliyyah.

Tetapi jika mereka beranggapan bahawa ummah tak perlu lagi membina hadharahnya sendiri kerana belum dapat menguasai pemerintahan negara. Ataupun kita buat ala-kadar sahaja supaya ada juga hujah untuk menutup suara-suara yang menuntutnya, tetapi semua ini bukanlah sepadan sebagai mana mereka menggerakkan kerja politik yang secocok dengan selera nafsu puaknya. Ini adalah alasan atau eskapisme yang nampak logik di atas landasan berpolitik dengan ummat bawahannya.

Sedangkan penguasaan politik yang dikecapi oleh mereka selama ini pun sekadar menjadi penerus agenda kepada kerangka sekular yang didakwa sebagai musuhnya jua. Mungkin dengan sedikit tokok-tambah dan beberapa `adjustment` supaya nampak berbeza dengan `permukaan hadapan` wajah sekular, biarpun sebenarnya mengambil posisi `wajah belakang` thoghut (sekular) dengan harapan mereka supaya ummah tidak akan menyedarinya. Kita peringatkan kepada mereka ini wahai kepimpinan ummah! `Mungkin kamu boleh menipu atau mengelabui semua orang dalam satu masa tetapi kamu tidak boleh menipu atau mengelabui pandangan semua orang dalam semua masa.`

Kita merasa dipermainkan oleh pihak tertentu (bukan Islam) apabila nak menjalankan polisi `amar maaruf nahi mungkar` dan menganjurkan jalinan `silaturrahim` antara pelbagai agama. Apakah pengertian ‘amar maaruf nahi munkar’ dan kepada siapakah ia dituntut ? Apakah agama kita mengiktiraf perlakuan baik tanpa perlu beriman kepada Allah ? Tidakkah mungkar yang paling utama itu tidak beriman kepada Rabb-Pentadbir sekelian alam ? Perlu diperjelaskan oleh pihak yang beramanah dengan agamanya jangan sampai dijadikan bahan politik murahan. Lebih mendukacitakan lagi apabila kepimpinan ummah seperti `mengiyakan` saja segala kenyataan dan perbuatan pihak musyrikeen tersebut, boleh tersenyum lebar dalam majlis mereka menganjurkan jamuan `Aidil Fitri` Agama kita. Sampai sebegitu sekali mereka mempolitikkan Agama kita! Apakah kamu juga bersekongkol bersama musuh mempolitikkan kesucian Agama kami? (Pertanyaan khusus kepada kepimpinan ummah) – Dari Ibnu Ramadhan.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-


BULETIN الحضارة~*BIL:20/Zulqaedah 1429
AL-HADHARAH
MEMPERTAHANKAN AQIDAH UMMAH
Alhamdulillah, selawat dan salam buat Rasul Junjungan Muhammad SAW, kaum keluarga, para sahabat dan mujahidin-mujahidat yang telah mengorbankan diri demi keagungan Islam dan kemuliaan aqidahnya. Bertemu kembali sidang ummah yang dikasihi sekelian semoga di dalam rahmat Allah.

Aqidah adalah asas utama yang akan mengikat sekumpulan manusia muslim mukmin ke arah membentuk satu kesatuan yang kukuh bagi pembinaan Hadharah Islamiyyah. Hadharah yang bertunjangkan kepada aqidah tauhid ini akan mewujudkan unsur persaudaraan kerana Allah yang merentasi sempadan perkauman dan segala kepentingan, yang akan membawa kepada kebebasan sejagat yang sebenar serta penegakkan keadilan yang tiada had dan diskriminasi. Di mana ummat yang berpegang teguh kepada aqidah adalah ummat yang meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat kehidupan mereka dan mampu membebaskan diri dari menjadi hamba kebendaan duniawi.

Oleh kerana beriman kepada aqidah tauhid sahajalah yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat, maka pergantungan hendaklah kepada aqidah tadi (Iman dan Islam) yang mana ianya perlulah diletakkan lebih penting dari segala kepentingan yang lain samada kepentingan politik, ekonomi, keluarga, bangsa dan tanah air, hatta kepentingan nyawa mereka sendiri. Walaupun tidak dinafikan bahawa kepentingan yang lain juga mesti dipertahankan tetapi Iman dan Islamlah yang akan memastikan akan keselamatan segala kepentingan yang lain tadi. Apabila beriman kepada Allah SWT itu menjadi punca atau asas aqidah yang sebenar maka itulah sahaja ramuan yang dapat memperbetulkan segala tindak tanduk manusia secara individu, jamaah dan masyarakat.

Namun apa yang kita lihat suasana yang melingkari ummah sudah menyimpang dan membelakangi aqidahnya sendiri, demi menuruti dan meraih sokongan massa, demi mendapat kuasa politik murahan, aqidah ummah boleh dikesampingkan. Sedangkan Allah SWT telah berpesan di dalam firmanNya yang bermaksud :
“ Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang ada di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Tiadalah yang mereka turut itu melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat daripada jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang mendapat petunjuk. (Al An’am 116-117)

Apa ertinya dan untuk apa kita mendapat kuasa sekiranya aqidah ummah digadai ???????

Persoalan akhir yang ditinggalkan oleh rakan saya Ibnu Ramadhan dalam Buletin-19, (3 isu dalam akhbar tabloid) amat mendera perasaan saya. Permasalahannya adalah permasalahan yang berkaitan dengan aqidah, asas dan tunggak kehidupan seorang muslim mukmin. Berkenaan ibadat Hari Raya yang Allah anugerahkan kepada hambanya yang Muslim / Mukmin sebagai suatu rahmat untuk disyukuri telah dipolitikkan sebegitu rupa sehingga orang yang bukan Islam tanpa malu dan segan turut sama menganjurkan majlisnya.
-Apakah ini bukan suatu permainan politik ? Adakah begitu murah nilai ibadah Hari Raya yang dianugerahkan oleh Allah ?? Senilai jamuan untuk mengisi perut-perut yang buncit…begitu murahnya aqidah ummah yang mereka biarkan hanya boleh dibeli dengan jamuan-jamuan rumah terbuka hari raya ?? Di pihak ummat Islam `oportunis` pula berlumba-lumba memberi sumbangan sempena perayaan agama lain malah ada yang menganjurkan perayaan bersama (Aidil Fitri-Deepavali). Apakah mereka telah melupai di antara perkara yang membatalkan syahadah apabila melakukan ibadat atau upacara ibadat yang lain daripada Islam dan melupai amaran Rasulullah SAW: “ Jauhilah kamu daripada musuh Allah pada hari raya mereka” – Riwayat Al Baihaqi (Muqaddimah Aqidatul Muslimin – Hj Abd. Hadi Hj Awang).

Jabatan Mufti Negeri Perak pada 22 Okt 2004 juga telah mengeluarkan fatwa bahawa orang Islam adalah dilarang sama sekali yakni haram merayakan perayaan agama lain dalam apa bentuk, secara bersama atau menghadiri perayaan tersebut.

Begitu juga dengan tugas mulia yang telah dianugerahkan Allah kepada khaira ummah, tugas “amar ma’ruf nahi munkar” boleh dibiarkan menjadi bahan politik orang bukan Islam, di manakah maruahmu wahai ummah ? Sedangkan tugas tersebut Allah amanahkan kepada ummah yang beriman kepadaNya, tugas yang terikat dengan Iman kerana sekeji-keji kemungkaran adalah syirik kepada Allah, firman Allah yang bermaksud: “ Kamu (wahai ummat Muhammad) adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi (faedah) ummat manusia, (kerana) kamu berbuat amar ma’ruf dan nahi munkar, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). -(Ali Imran : 110)

Demikianlah kemuliaan dan keistimewaan yang telah diberikan oleh Allah Taala kepada ummat Muhammad SAW selagi mereka tetap setia menjalankan tiga dasar Islam yang utama itu, iaitu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah Azzawajalla dengan sebenar-benarnya.

Manakala isu “silaturrahim antara agama” amat mengelirukan sekali. ‘Silaturrahim’ adalah hubungan kasih sayang yang akrab kerana Allah, kasih sayang atas dasar aqidah di mana Ar Rahim adalah salah satu dari Nama Allah Al Husna, sesungguhnya Allah SWT telah melarang perkara tersebut dalam firmanNya yang bermaksud : “ Janganlah orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali ( pemimpin, pelindung, penolong, teman akrab) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa yang berbuat demikian nescaya lepaslah ia dari Allah,… (Ali Imran : 28 )

Ini bukan bermakna ummat Islam tidak boleh menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak yang berlainan agama dengannya. Di sana ruang kerjasama antara agama yang boleh diterokai tanpa mengusik paksi-paksi agama dan membangkitkan persoalan sensitif yang melibatkan aqidah ummat Islam adalah lebih luas. Kenapa mereka tidak memberitahu rakan bukan Islam bahawa agama ini (Islam) ada had yang tidak boleh dicampuri sewenang-wenangnya.Sepertimana yang disyorkan oleh Prof. Yusuf Al Qardhawi empat perkara iaitu:
1-Memberi tumpuan kepada nilai-nilai universal yang ada pada Islam dan agama-agama lain,
2-Bekerjasama menghadapi golongan tidak beragama, golongan penggalak kebebasan mutlak dan golongan penyebar kerosakan seperti penyebar homoseksual, lesbian dan hiburan yang melampau yang banyak merosakkan remaja kita,
3-Bekerjasama membela keadilan dan mereka yang tertindas atas dasar kemanusiaan,
4 -Bekerjasama menyebarluaskan sifat toleransi, lemah lembut dan hubungan baik kemanusiaan antara agama, bukan kekasaran,fanatik dan kekerasan.

Aqidah itu dicarik-carik oleh tangan-tangan yang dahulunya menjalin dan menyimpul kemas dihati ummah.
Apakah perasaan kamu tidak terdera dek melihat realiti ummah sedang dihina? Cubalah mencari penyelesaian kepada masalah ini… saya cukup terharu apabila mengingati khutbah Si cilik johan Ihtifal PASTI Peringkat Kebangsaan baru-baru ini, katanya “Islam diinjak-injak, ummahnya dihina di mana-mana, tidak adakah di sana ‘lilin’ yang sanggup membakar dirinya demi aqidah yang mulia ini”. Dari- Ummu el-Husna.
``qulil haq walau kana murron``
-katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit-
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami: http://sanaabel.blogspot.com/