Laman Utama

Sabtu, 31 Juli 2010

Buletin al-Hadharah

BULETIN الحضارة ~~*BIL: 01 / Rejab 1429
AL-HADHARAH
Assalamualaikum wrh..wbth. Segala puja dan puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan Salam Kepada Rasul junjungan Muhammad SAW, ahlul bait, para sahabah dan semua kaum muslimin yang mengikuti mereka sampailah hari qiamat. Saudaraku, salam ukhuwah kuhulurkan sebagai penghubung bicara di antara kita sesungguhnya Allah SWT berfirman di akhir Surah Al-`Asr yang maksudnya;
`` berpesan-pesanlah di atas kebenaran dan berpesan-pesanlah di atas kesabaran``

Sebagai menyahut saranan daripada maksud firman tersebut lahirlah buletin `al-Hadharah` yang cuba mengambil sekelumit dari ruang masa serta tumpuan ummah sekelian, bagi membicarakan hal-hal yang berkaitan kita sebagai `ummah sejagat` khaira ummah. Ummat yang terbaik yang telah pun disandarkan harapannya ke atas bahu-bahu kita sebagai ummat Islam di akhir zaman ini bukanlah suatu rahsia lagi. Bukan pula satu hal atau perkara yang mustahil untuk dicapai.

Semuanya terletak di atas kemahuan atau kesedaran kita sendiri sebagai individu-individu ummah tersebut. Ingatlah saudaraku bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang sedar dan berusaha untuk mengubahnya.

Kesedaran atau perubahan yang dimaksudkan di sini, bukanlah kesedaran atau perubahan yang mungkin difahami oleh sebahagian dari kalangan kita sebelum ini, tapi ianya ialah kesedaran yang betul-betul boleh menimbulkan keyakinan di hati kita untuk berubah ataupun merubahkan keadaan tersebut. Kesedaran ataupun perubahan yang telah diambil oleh ummah maupun pihak-pihak yang mewakilinya sebelum ini mungkin masih belum menepati atau memadai sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT yang menjadi penentu bagi segala yang berlaku dahulu, kini maupun masa yang akan datang.

Walaupun awal abad ini digembar-gemburkan sebagai abad kebangkitan Islam, iaitu ummat Islam di seluruh dunia ini berusaha membebaskan diri serta wilayah masing-masing dari pengaruh penjajah samada timur maupun barat. Memang tidak dinafikan bahawa muqaddimah kesedaran atau perubahan awal ke arah yang dimaksudkan itu telah berlaku malah insyaAllah terus berlaku. Kita sebagai ummat sekarang ini sepatutnya berterimakasih malah bersyukur kepada Allah SWT di atas segala usaha mereka yang telah mendahului kita itu dalam menimbulkan kesedaran setelah ratusan tahun dijajah.

Apa yang cuba dikongsi bersama saudara-saudaraku ialah suasana yang melingkari kita pada waktu ini sebenarnya `jauh berbeza` berbanding saudara-saudara kita sebelum ini. Jika marhalah mereka ialah marhalah menimbulkan kesedaran di kalangan ummah yang lalai… supaya kembali kepada Islam, bangun membebaskan watan dari penjajahan, beramal dengan ajaran-ajaran Islam dan sebagainya.

Maka marhalah atau tahap kita tidak cukup dengan menimbulkan kesedaran fikrah sahaja, kita sebenarnya memerlukan langkah-langkah seterusnya yang menampakkan bahawa kita sememangnya `melangkah` kedepan berani membina hadharah kita dengan tindakan amalan seharian. Sekian lama kita seolah-olah terikat mungkin boleh dikatakan terbelenggu pada issu fikrah semata-mata atau tahap yang sama sahaja. Kita mengharapkan sedikit usaha kita akan menghasilkan perubahan `total` dapat merubah segala, dengan memerintah negara.

Saudaraku, maafkan saya jika saya katakan bahawa gambaran yang disampaikan kepada kita dalam peristiwa Isra` wal Mikraj tentang orang yang diazab oleh Allah SWT nanti ada yang berjalan dengan kepalanya kaki di atas apabila tiba hari kebangkitan atau pembalasan, tidak dengan kakinya sepertimana biasanya. Bukankah ini gambaran mereka yang menggunakan aqal semata-semata, tidak berpijak di bumi nyata? Resolusi fikrah sahaja tidak akan membawa kita kemana-mana, melainkan setelah kita bertindak, iaitu beramal dengan keyakinan tersebut.

Perubahan sebenar saudaraku, setelah ada kesedaran dalam diri individu masing-masing (beriman) ialah perubahan membina `hadharah kecil`, ringkasnya perubahan yang hadir, zahir, timbul, terbit, muncul, terbentuk atau terpancar dari individu atau ummah tersebut manifestasi dari kesedaran dalaman tadi. Perubahan hadharah ini menuntut kita berpakat berusaha saling bantu membantu mengujudkan suasana atau ruang yang sihat untuk hadharah kita yang lebih besar yakni Hadharah Islamiyyah.

Mari kita renung sejenak pernahkah Nabi SAW dan para sahabat meninggalkan atau menangguhkan pembinaan hadharah kecil sekeliling mereka waktu itu? Mereka bukan generasi `dua alam` sekejap bersama-sama bantu-membantu membina hadharah Islamiyyah, pada ketika yang lain bantu-membantu dengan kaum jahiliyyah membina hadharah jahiliyyah pula! Suasana yang kita hadapi kini tidak mengizinkan kita menangguhkan pembinaan `hadharah kecil` sebelum berjayanya mencapai hadharah besar Islamiyyah.

Persoalan ini sebenarnya tidak timbul soal kita menafi atau menidakkan amalan orang tua-tua kita, malah pemimpin ummah terdahulu. Mereka bagi kita telah pun menjalankan tanggungjawab mereka ataupun tajribah/eksperimen mereka untuk suasana mereka, kita pula perlulah melakukan tindakan yang sama dalam suasana yang ternyata `berbeza`.

Kita akur bahawa kejatuhan Khilafah Othmaniyyah di Turki pada awal abad ini dahulu merupakan satu tragedi pilu ummat sampai saat ini. Seharusnya kita akur juga bahawa hilangnya kuasa pemerintahan Sultan Abd Hamid ketika itu tanda bermulanya zaman `gelap` bagi ummah seluruhnya. Sedarlah wahai saudaraku, keadaan ini bukanlah bermakna apabila kita hilang`sesuatu` yang terakhir itu, maka kita mestilah mendapatkan kembali sesuatu yang terakhir itu terlebih dahulu bagi memulakan usaha pemulihan zaman gelap kita.

Mungkinkah sebenarnya kita terlupa bahawa titik mula kepada kehebatan khilafah-khilafah itu sendiri ialah `pangkalnya` iaitu generasi yang mengharungi tanah tandus Mekah dan Madinah dahulu, generasi sahabah. Generasi yang tidak rela hidup di dua alam, tidak membina retorika tetapi membina hadharah sendiri. Sedangkan khalifah-khalifah terakhir itu cuma `hujungnya` sahaja.

Sebab itu Al-Imam Asyahid Hassan Al-Banna tidak tertipu dengan perubahan sementara ini dan tahu ke mana seharusnya ummah dipandu bagi mengembalikan permata yang hilang itu serta menyusun kembali keizzahan ummah. Beliau membina kembali pemuda-pemuda Islam, pemudi –pemudi serikandi dan individu-individu ummah dalam kelompok-kelompok kecil yang benar-benar faham dan beriman sebagai asas untuk pembangunan semula Tamaddun/ Hadharah Ummah.
`Sesungguhnya pusingan Islam itu ibarat pusingan roda, ada kalanya di atas dan ada kalanya di bawah. Oleh itu hendaklah kamu bersama-sama dengan Islam walau di mana saja ianya berada`
Sekian wallahu`alam- Ibnu Ramadhan-``qulil haq walau kana murron ``
- katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit –
Diterbitkan oleh: Penerbitan Sanaabel No 1504, Lorong Hj Abdullah Lebai Mat, Pongsu Seribu 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com

Tidak ada komentar: