Kera-kera sepertimana kera-kera yang ada pada hari ini bersama-sama kera-kera spesis yang selain dari kera luku yang dibawa keluar dari hutan belantara telah mendapat hak keistimewaan `jus soli` berpolitik di negeri Botanical Garden oleh kerajaan beruang.
Setelah semua agenda disusun, maka pada tanggal 31 Ogos 1957 Botanical Garden pun diistiharkan merdeka dengan nama barunya Taman Botanik, tetapi dari banyak segi masih mengekalkan sistem pemerintahan Botanical Garden
`sebiji ` macam dulu juga. Sebab itu nama jolokan `Water Fall` bagi Botanical Garden masih popular dan dipakai oleh kebanyakan penduduk Pulau Mutiara.
Pasca Kemerdekaan
Pejam celik-pejam celik masa telah berubah begitu pantas sedar-sedar lebih setengah abad pertarungan dan perebutan antara keduanya berlaku. Antara Pertubuhan United Kera dan Persatuan Pasu kera luku, walaupun antara kelompok besar ini wujud spesis- spesis lain lagi tetapi sebagai watak-watak pembantu sahaja.
Sepanjang perjuangan yang panjang kedua-dua belah pihak selama lebih 50 tahun banyak memihak kepada Pertubuhan United Kera. Dengan kekuasaan dan segala kemudahan yang ada spesis ini menguasai dan membentuk fikiran khalayak Taman Botanik kepada bentuk dan ke arah yang jenisnya mahukan.
Segala usaha kerja yang bersungguh-sungguh kera-kera dan semua misionari keranya, yang tak kenal jemu-jemu dengan sentiasa memperlihatkan agenda spesisnya diperbaharui dari semasa ke semasa. Padahal walaupun hakikatnya perkara yang lama semuanya, tetapi masih terus mendapat sambutan.
Dari sudut pandangan itu, spesis kera iaitu pemimpin-pemimpin dan pendokong-pendokong fahaman kera tahu apa yang kumpulannya sedang kerjakan. Dengan bergaya spesis ini terus memukul rentak dan menari mengikut tempo irama kera-kera semua.
Apatah lagi spesis ini telah berjaya melahirkan sejenis
spesis baru iaitu spesis beruk makye yang semakin subur membiak seterusnya membentuk minda khalayak muda.
Sehingga habis anak-anak cucu kera-kera dan termasuk juga dari kera luku terikut dan menjadi peminat yang seronok dengan cara hidup beruk makye.
Mana tak seronoknya, beruk-beruk makye telah memberi kumpulan ini `kebebasan` yang sebebas-bebasnya tak ada lagi istilah suku-suku dan fahaman agama yang perlu diikuti. Boleh berhibur, lompat sana-sini, terkinja-kinja, melolong-lolong jantan betina pelbagai spesis, `born to be free`. Bebaslah semau-maunya itulah falsafah kehaiwanan beruk makye, yang namanya begitu digilai…
Secara warasnya mengikut ukuran nilai yang spesis kera pakai, spesis ini telah berjaya dalam perjuangan kera dengan menyambung tugas dari beruang putih lebih 50 tahun dahulu. Keturunan beruang putih boleh tidur lena dengan hasil usaha beruang yang disambung oleh kera-kera selama ini.
Apa Khabar Kera Luku?
Apahalnya yang terjadi dengan saingan kera suatu ketika dahulu yang beriya-iya menentang dan menyanggah segala bentuk penjajahan beruang putih?
Kera Luku telah berjaya menggerakkan Persatuan Tumbuhan Hijau Dalam Pasu atau Pasu. Pasu pun bukan calang-calang persatuan dianggotai oleh segenap lapisan spesis kera luku.
Peringkat awal penubuhannya memanglah kebanyakan anggotanya dari lepasan atau lulusan timur tengah yang banyak terdapat tumbuhan hijau dalam dunia atau lepasan pesantren tumbuhan hijau tempatan.
Masa berlalu Persatuan Pasu pun mengalami pasang surutnya ada ketika mendapat sambutan yang cukup menggalakkan, sehingga dapat memerintah satu negeri di Taman Botanik, ada ketika mengalami krisis dan ada ketika pemimpinnya yang keluar dari Pasu.
Pada suatu ketika Pasu bersekutu dengan spesis Mawa yang baru dipecat dari Pertubuhan Kera dan pembangkang lain hampir-hampir dapat menguasai negara botanik. Namun seperti semua maklum pihak kera-kera semua bukanlah spesis yang mudah mengalah.
Semua sketsa ini sewajarnya menjadikan Persatuan Pasu lebih berkemampuan atau bertambah kecerdikan kawanan ini yang sememangnya lebih cerdik dari spesis lain dalam mengharungi perjuangan yang dimulai oleh pemimpin-pemimpin ulung kawanan ini dahulu. Tapi jangan pula syok sendiri saja, lupa dari mana perjuangan suci spesis
ini warisi.
Jika diimbau sejarah pemimpin kawanan ini dahulu sanggup terkeluar dari kelompok kera mempertahankan makanan asasi kelompok luku yakni tumbuhan hijau, supaya tak dicampur dengan bahan beracun yang kebanyakannya dari budaya beruang.
Loteri untuk kebajikan seluruh masyarakat botanik disanggah oleh pemimpin-pemimpin kera luku. Undang-undang rimba dipaksakan kepada rakyat spesis ditentang. Semuanya atas dasar atau sebab tumbuhan hijau keramat itu lah.
Pengikut bawahan yang tak berapa beramal sangat memakan tumbuhan hijau, tetap menjadi bersemangat menentang atau bersama-sama pemimpin kelompok dalam menyanggah pemerintahan kera.
Lain halnya keadaan kepimpinan dan spesis kera luku la ni. Apa yang spesis ini `mantekedarah`? Rasanya bukan lagi tumbuhan hijau sebab kalau benar tumbuhan hijau `shit` dan segala isinya tak akan bersepah atas jalan, tengah halaman dalam markaz dan sebagainya.
Zaman dulu ketika spesis kera luku tak terdedah dengan gaya hidup atau ukuran nilai spesis lain, kawanan ini taat dan hanya tahu mengukur menggunakan neraca tumbuhan hijau semata-mata. Spesis kera luku benar-benar penyantun, bertimbang rasa dan tidak gelojoh.
Tapi sekarang bila mana Persatuan Pasu dibanjiri oleh spesis-spesis entah dari mana keturunannya pun tak tahu, tetapi semua mengisi borang mengaku spesis kera luku.
Keadaan menjadi tak terkawal, cha-cha merba, haru-biru.
Jika kera dengan projek maju-jaya, maju-ikan, maju-ternak dan semua yang maju-maju belaka, akhirnya spesis marhaen tetap ditinggalkan kemajuan. Yang maju ialah maju menggadai tanah, maruah malah agama spesis.
Tak kurang hebat di pihak kera luku, semua untuk kepentingan dan kebaikan bersama ko-siswazah, ko-sabit,
ko-qamar, ko, ko, ko walhasil semuanya jadi asam-ko.
Kalau dikira dengan skim-skim yang macam-macam nama, senarai panjangnya mungkin 3 muka setengah, masih kurang sikit dengan kera yang 4 muka penuh.
Ambil 1 - Yang Lain Tak Payah
Post-mortem demi post-mortem pimpinan Pasu buat, tapi tak nampak keberhasilan tindakan selepasnya pun. Cuba kita analisis tengok apa yang kawanan ini post-mortemkan. Oo..bila kalah atau selesai pilihanraya ada post-mortem la.
Ah! Bunyi pun dah kenal jantan ka betina haiwan itu, bahasa beruang putih. Apa tak cocok ka guna muhasabah? Muhasabah baru ada nilai, tanggungjawab, keterikatan dengan tumbuhan hijau yang diperjuangkan.
Cuba sebutan Pasu tengok, tak usah dipanggil dengan Persatuan Pasu tapi `united kera luku` tentulah canggung malah semangat dan roh beruang putih lah yang akan mengalir masuk ke dalam perjuangannya.
Muhasabah apa yang kelompok ini bincangkan sampai berkali-kali tetapi tetap tiada penyelesaian tuntas. Betul-betul buang masa, buang tenaga, buang duit dan buang segala-galanya.
Lagi-lagi tajuk politik yang dibincang dan penyelesaian politik yang disyorkan. Sampai bila? Sampai qiamat ka Persatuan Pasu kera luku ini nak bermain politik?
Awat! Bila buat kerja politik yang lain tak payah ka?
Pertubuhan kera pandai bermain politik dan bersandewara tak apa, sebab spesis ini dah pastikan kerja buat lain atau agenda lain telah siap sedia, ada pihak-pihak yang memainkan peranannya bagi pihak perjuangan united kera.
Yang aneh lagi ajaib dan teramat takjub! Di pihak yang nak berlawan dengan spesis kera iaitu kera luku ni, tak ada susunan program, tak ada agenda program yang kemas pun yang selain dari politik, yang dilakukan oleh kawanan ini atau pun pihak-pihak yang spesis ini amanahkan untuk melaksanakan bagi pihak front kera luku pula.
Jika sekadar agenda politik, spesis mawa yang tak berapa kerat tak berapa ekor tu lebih tersusun dan beragenda. Spesis ini wujud di dunia akibat percaturan politik yang ada, sejak hari pertama kelahirannya. Di situlah dunianya dan di situ jualah akhir hidup spesisnya.
Semua ahli kera luku yang dah berjuta ekor tu terkena kenan kera ka atau berjangkit dari mawa? Dengan tingkatan-tingkatan yang berbeza dok pikiaq kerja politik tak habis-habis, duduk sesama kawanan bincang politik, buat seminar sesama spesis luku pun bincang politik, ceramah tak berapa dapat sambutan pun cerita politik, kenyataan akhbar pun politik, bagi bantuan dan sumbangan pun politik juga.
Sampai ahli-ahlinya dah tak tahu nak layari hidupnya macam mana tanpa ceramah dan isu-isu politik. Agenda dan minda kelompok ini dah dekat-dekat nak tepu 100%.
Dapat seketul batu yang burok pun politik, tak tahu lah kalau dapat mutiara atau batu geliga.
Untuk menyampaikan mesej dakwah dan memberi maklumat serta membentuk fikrah khalayak spesis maka akhbar Habaqkah? (perlu disebut dengan ada tanda soal) pun dikeluarkan sebagai saluran media kepada persatuan luku.
Sedari mula keluarannya Habaqkah? Telah memecah kesunyian dan dapat memberi kelainan serta sedikit sebanyak telah memberi pilihan kepada khalayak mendapatkan sumber maklumat yang bermanfaat.
Setiap keluarannya begitu ditunggu-tunggu oleh peminat terutamanya di kampung dan di desa. Liputan berita dan isi keluarannya cukup bagi menampung selera pelbagai lapisan spesis luku maupun lainnya.
Ia mengandungi berita kegiatan persatuan, fikrah persatuan, maklumat, kesihatan, pendidikan, politik, dunia global, skop spesis betinanya dan berbagai lagi menjadikan ramuannya segar walaupun sekadar akhbar dwi mingguan.
Perkembangan ini turut dicemburui oleh spesis kera, sehingga menyebabkan tindakan telah diambil mengharamkan penerbitan Habaqkah?. Kekosongan telah berlaku buat seketika, namun apabila keizinan diberi semula lama-kelamaan perubahan padanya mulai terasa.
Akhbar rasmi spesis luku ini `Habaqkah?` telah menjadi wajib setiap keluarannya mesti tajuk besar depan atau belakang, cerita politik atau skandal pihak kera. Seolah-olah selama bertahun-tahun kebelakangan ini politik kera terloncat-loncat itulah sumber utama rezekhi berita bagi kera luku.
70 ke 80% berita dalam pun habaq yang sama, fikrah atau minda yang sebagaimana lidah resmi luku ini nak terapkan kepada khalayak spesis? Percayakah khalayak dengan dakwaan nak Membangun Bersama Tumbuhan Hijau?
Macamana akhbar seperti ini nak hidup jika tak ada kera dan segala dunia kera? Isu apa yang kelompok ini nak habaq? Nak cerita pasal tulisan khat, nak tulis pasal tasbih besar?
Sayang..! spesis ini tak diajak dan digalakkan meneroka atau `explore` dunia sendiri iaitu spesis luku tumbuhan hijau, sebab itu kawanan ini tak sedar kebesaran sebenar tumbuhan hijau dan segala kehebatannya.
Persatuan Pasu kera luku yang pada awal-awal dulu bergerak bertentangan atau saingan kepada spesis united kera, entah bila pula sedar-sedar rupanya, menjadi regu yang setia kepada politik kera tanpa disuruh pun oleh kera.
Habaqkah?.. hanya menjadi tempat kencing dan berak spesis kera bukan wadah untuk menggilap dan menggerakkan ketamaddunan tumbuhan hijau.
Apa bala yang telah menimpa suku sakat kera luku ini, tak tahu la? Sehingga minda dan penglihatan spesis ini menjadi tak jelas, kelam hanya boleh nampak melalui pintu ataupun lubang politik sahaja.
Ketuk Kepala
Ooi kera luku semua! Nak bagi hangpa semua tau, bahawa- kerja politik sahaja! kerja politik sahaja! tanpa buat kerja yang lain, macam kerja yang sedang united kera dok buat la ni tu, adalah kerja haiwan yang malas, penyegan, tetapi nak hidup senang.
Oleh itu jadilah spesis ini suka menindas dan memperhambakan haiwan lain, dengan kuasa yang ada padanya ia boleh arah pihak lain tunduk kepada segala kemahuannya. Sesuailah kerana ia ialah makhluk haiwan yang zalim, fasiq dan sebagainya.
Yang hangpa semua pula luku, bukan kera, janganlah jadi zalim, malas juga macam depa. Tak mau pikiaq kerja dan tanggungjawab lain sama. Semua nak ambil yang senang dan glamour saja, memilih zon selesa. Yang susah, yang tanggungjawab berat sapa nak buat, nak suruh malaikat dan jin ka?
Jika selama ini hangpa semua tak sedar tak apa, itu urusan Allah SWT. Tetapi kalau dah tau buat-buat tak tau juga, hangpa lah sebenarnya makhluk haiwan yang lebih zalim dari spesis kera sendiri. Sebab hangpa guna nama tumbuhan hijau, nama agama. Macamana patut hangpa tak mau ambil tanggungjawab atau risiko agama.
Cuba sekelian ahli Persatuan kera luku renung sejenak sapa lagi atau pihak mana yang patut pikul amanah agama ini? Nak suruh individu-individu luku atau biarkan terus agensi-agensi kerajaan kera juga yang ambil tanggungjawab dan amanah itu. Sapa spesis ini dan apa yang agensi ini mampu buat?
Masyarakat yang punah dari semua segi kehidupan seperti sekaranglah yang spesis ini telah buat dan hasilkan. Pemimpin dan semua spesis kera luku nak tunggu dan tengok apa lagi, nak tunggu bagi semua sekali musnah, pupus?
Sekali lagi, fikir molek-molek dengan kepala dingin bukan dengan kepala angin. Kepala angin bagi menghasilkan ribut dan taufan boleh la.
Persatuan Pasu dulu ditubuhkan kerana tak bersetuju dan tak redha dengan penjajah beruang serta anak didiknya pertubuhan united kera. Persatuan Pasu nak bawa atau nak bina Negara Taman Botanik dengan dasar tumbuhan hijau, united kera nak kekal dengan acuan beruang putih iaitu sekular.
Macamana pula sekarang anak-anak ahli dan pemimpin kera luku boleh dibiarkan terus diluku, dididik, ditarbiyyah malah didoktrinisasikan oleh musuhnya sendiri iaitu spesis kera.
Pusat-pusat atau sekolah-sekolah yang mencetak 100% ajaran kera menjadi kebanggaan pimpinan dan ahli kera luku juga. Sebahagiannya pun berebut-rebut mengisi borang untuk menghantar anak-anak luku ke sekolah dan institusi kera supaya besar esok boleh jadi kera dan dapat kerja tak senonoh dengan kerajaan kera.
Persatuan luku tak ada siapa nak kerja atau buat kerja bagi pihaknya. Biarkan saja kepada kelompok yang tak berapa ada dan lemah segala, padanlah kawanan ini cuma spesis luku kelas ketiga. Anak-anak pimpinan kelas pertama dari awal lagi pastikan asrama penuh belaka.
Hasilnya dari semasa ke semasa penganut-penganut dan pengamal-pengamal fahaman sekular seperti yang dianuti oleh beruang putih bersama kera semakin bertambah. Apa yang spesis ini mahukan ke atas spesis lain sejak dahulu semakin mendapat tempatnya dalam masyarakat khalayak.
Spesis kera dan yang sebangsa dengannya mengalami perkembangan pesat yang mendadak. Kenapa? Kerana spesis ini ada pelbagai jenis kilang yang kelompoknya agendakan untuk mengeluarkan produk-produk baru bagi industri spesis bangsat itu.
Industri-industri itulah yang bernama tadika, pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, asrama penuh, bestari, sekolah agama dan yang terbaru ialah sekolah kluster termasuk juga kolej, universiti, PLKN serta banyak lagi kursus-kursus yang tak tersenarai dan tak mudah juga untuk mengenalinya bagi sibuta, tapi tak lah susah sangat kepada sicelek.
Penganut dan pengamal fahaman tumbuhan hijau yang berada di atas kebenaran nak bertambah atas kapasiti apa atau menggunakan mekanisma mana?
Walhasilnya, hanya melalui ceramah politik, kuliah agama yang menjadi kuliah isu politik dan yang ringan-ringan seperti yang ada sekarang, lalu selebihnya tunggu perubahan dalam pilihan raya 5 tahun sekali.
Agenda hanya tinggal agenda, telah menjadi adengan yang ingin spesis luku lihat, mungkin hidayah dari Allah SWT akan diberikan kepada makhluk yang bertuah.
Penganut dan pengamal fahaman tumbuhan hijau yang akan menyambung perjuangan Pasu akan bertambah dan bercambah dari mana jika tiada usaha untuk produktiviti tersebut? Jika ada pun tak sampai ke mana, macam Tunas-Tunas Pasu yang di tanam untuk dimakan ulamnya sahaja. Sampai bila spesis ini nak serius untuk mengeluarkan buahnya?
Muassasah dah nak menjadi maha-susah dengan pertelingkahan titik bengik. Begitu juga Institut Ahlam semakin tak mendapat ilham, lama kelamaan semakin menjadi kelam.
Dari mana akan datangnya sumber keahlian baru spesis ini? Dari anak-anak pemimpin dan ahli-ahli serta penyokong kuat spesis ..?
Anak-anak pemimpin, ahli dan penyokong kuat pun lebih ke depan bergayut ke sana ke mari belajar dan mencari rezekhi dengan kandang-kandang hadhari spesis kera tersebut.
Khalayak Spesis Menjadi Sama
Dari apa yang ada di depan mata hari ini, menunjukkan bermula dengan sebanyak-banyak dan sebesar-besar percanggahan serta perbezaan yang ketara suatu ketika dulu antara kera dengan kera luku, tiba-tiba sekarang telah menjadi hampir- hampir sukar nak dibezakan antara kedua-dua spesis tersebut.
Khalayak sebenar dah menjadi sama atau bercampur `mix together`. Sekali lagi saingan telah menjadi pasangan regu yang berkesan dalam satu sistem `demo & kawe mau kerusi` bukan amanah dan tanggungjawab. Sebab jika amanah dan tanggungjawab sekarang lagi spesis ini telah berusaha bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab sesama spesis luku dahulu atau sesama penganut fahaman tumbuhan hijau.
Perebutan kepimpinan di pelbagai peringkat, dalam Pertubuhan kera telah semua maklum betapa panas, ganas dan hebatnya lobi yang berjalan setiap kali pemilihan diadakan.
Perebutan kedudukan di pelbagai peringkat juga tak kurang hebat serta tangkasnya dalam Persatuan Pasu dengan lobi dan kempennya rancak berjalan.
Yang berbezanya hanyalah kedudukan division macam liga bola sepak, kalau kera `top level` division satu, maka kera luku `top level` juga division dua. Unsur cantas sana-sini, sepak terajang, pakai seluar pendek, tarik baju, `off side` semua ada belaka cuma yang perbezaan kecilnya macam disebut tadi hanyalah kedudukan division sahaja.
Tak mustahil jika masa spesis luku pula yang menguasai kerajaan dan perbendaharaan Taman Botanik, maka kera luku pula akan duduk `top level` division satu dan pihak lain pulalah ambil alih kedudukan division dua. Ini kerana budaya dan pengalaman yang sedang dok `warm up` pihak luku pun dari `syllabus` yang sama.
Kecenderungan nak memperlihatkan imej mewah, stail bourjois, liberal moderat, sama macam perangai spesis kera memang telah lama berlaku, jika kera dengan mercerdes mata belalangnya, luku pun mercerdes juga biarpun secondhand tanggung riba bukan masalah besar masalah kecil peribadi sahaja, guna pandangan yang bagi boleh bila darurat.
Bila kera buat persidangan atau seminar di hotel besar-besar, golongan kera luku pun berhempas pulas nak tunjukkan kepada khalayak bahawa spesis luku pun hebat juga tapi cuma levelnya sahaja, sikit bawah.
Nak bincang sesama pimpinan perihal Dokumen Negara Tumbuhan Hijau pun tempah bilik persidangan hotel 4 bintang 5 bintang, padahal suasana `taik`bintanglah yang terpalit atas serban dan jubah pimpinan kera luku.
Yang selama ini pihak suku kaum luku perbesar markaz perelok, bagi cantik sana-sini dengan pungut derma ke hulu-ke hilir, anjurkan wakaf tanah serta lantai bangunan, kononnya nak berlumba-lumba buat kebajikan. Bila buat program yang hebat sikit, berprestij kononnya (otak kera) pilih hotel-hotel atau dewan-dewan yang berbayar ribuan ringgit.
Sikit pun spesis jenis ini tak rasa bersalah dan bertanggungjawab terhadap suku kaumnya yang masih lagi tergadai haknya (marhaen) untuk memenuhi keperluan asas kehidupan yang paling minima di kampung, desa dan daerah-daerah kesempitan lainnya. Spesis mana yang nak membantu menebus gadaian spesis marhaen ini?
Fiqh aulawiyyat, fiqh seerah, amal jamae, uruf perjuangan semua duduk di dada belaka. Letih tokoh-tokoh ilmuan kawanan ini mengajar dan bersyarah supaya spesis yang baik mesti hidup sederhana, tawadhuk, tidak melakukan zalim, meletak sesuatu sesuai di tempatnya. Selalu berkorban mengutamakan kawanan yang lemah lebih-lebih lagi suku kaum sendiri.
Ilmu-ilmu tersebut untuk kelompok mana melaksanakan dalam kehidupan, untuk kasta kelas bawahan sahaja atau untuk pihak kera dan beruk makye yang praktikkan? Kasta spesis brahmin terkecuali atas nama politik-siasah syarieyah? Buat apa pun tak apa, ada alasan logik. Tak semestinya benar dan menepati syara`, yang penting dapat menundukkan aqal yang lemah serta dapat menjamu selera nafsunya.
Penganjur-penganjur program sonsang ini ada mewakafkan lantai bangunan hotel-hotel 5 bintang dan dewan-dewan canggih itu kut? Jadi berganda-gandalah pahala serta keberkatan melimpahi penganjur dan program tersebut. Nak sembur minyak wangi sekali atau dua kali di tepi maupun dalam longkang agar keharuman semerbak sepanjang masa bukanlah langkah yang melambangkan kecerdikan seseekor pejuang.
Ukuran atau kefahaman beginikah yang dinilai oleh kera luku sebagai perjuangan? Jika beginilah nilaian piawai serta kecenderungan fikrah spesis ini, jika ditakdirkan oleh Allah SWT menang sekali pun dalam waktu terdekat ini, dikhuatiri ianya akan membawa fitnah yang lebih berat lagi kepada ummat tumbuhan hijau seluruhnya.
Apa tidaknya syllabus sama, imej dan kecenderungan sama, sistem nilai piawai sama, citarasa sama dan khalayak spesis masing-masing pun banyak dah yang sama lalu membinalah kehidupan peribadi dan keluarga secara usaha sama dengan spesis kera dan juga mawa.
Politik `Real-lah`
Cubalah berfikir secara realistik dan waras, Negara Taman Botanik yang ada sekarang ini pun bukan ditegakkan dengan konsep `kun fayakuun` oleh beruang putih dan penyokongnya. Tok nenek beruang buat kajian dan cukup teliti susun agenda, patutlah kelompok ini boleh bertahan fahaman sekularnya sampai sekarang!
Biasanya spesis kera dengan agendanya akan sibuk buat jamuan rumah terbuka Hari Raya setiap tahun di sana sini pada setiap peringkat, kerajaan, pertubuhan, pusat, negeri, kawasan parlimen, dun, cawangan-cawangan dan macam-macam status spesis lagi.
Patutkah spesis ini berbuat begitu sesama keranya? Ya! memanglah patut sebab kerja dia begitu, kenjah benda makan, kemudian buat taik laa merata… haiwan katakan!
Spesis kera luku yang berkulit cerah, berbulu lebih putih, penyantun dan lebih bertimbang rasa. Sejarah silamnya membawa perjuangan dari langit, memberi harapan kepada yang tertindas dan lemah, tentulah tiada terlintas untuk berkelakuan tak senonoh seperti kera tadi.
Bagi luku setiap sen yang nak diisi ketemboloknya, lebih berhak sen-sen tersebut bagi yang lemah dan tertindas memenuhi keperluan asas kehidupan kelompoknya. Itulah nilai sebuah perjuangan bagi luku yang menyedari bahawa spesisnya mempunyai idealisma perjuangan.
Adakah idealisma ini menjadi harapan kelompok spesis yang lemah dan tertindas seterusnya tinggal harapan jua..?
Melihat spesis politikus-politikus menjaja-jaja keperitan dan kesusahan marhaen tapi tiada pun dalam citarasa serta tindakan kehidupan sebenarnya.
Terbentang di depan mata, spesis luku sama naik, sama banyak, sama-sama bergelut bertindan-tindih menganjurkan rumah terbuka pada setiap peringkat untuk mengisi tembolok-tembolok yang telah pun kenyang. Inilah latihan-latihan amali untuk pejuang-pejuang kebenaran sebelum spesis ini pula mentadbir Taman Botanik.
Senonohkah berkelakuan begitu ? Patutkah diulangkan saban tahun bagi spesis perjuangan golongan bawahan, golongan yang tak cukup makan ..?
Tidak Kenal Musuh Sebenar
Spesis luku ahli Persatuan Pasu banyak membuang masa dan membuat kerja yang sia-sia disebabkan tidak mengenali musuhnya yang sebenar. Bertahun-tahun menembak dan menghalakan senjata ke arah sasaran `jadi-jadian` yang diciptakan oleh musuhnya sendiri.
Pertubuhan united kera dan kerajaannya secara zahir bukanlah musuh bagi perjuangan tumbuhan hijau, yang perlu dihalakan semua perhatian ke arahnya sehingga terlepas pandang serta tumpuan kepada musuhnya yang sebenar.
Musuh sebenar seluruh dunia bagi tumbuhan hijau selain daripada yang termaklum (iblis) ialah beruang putih dan kembarnya beruang yahudi. Beruang putih dan beruang yahudi ini secara fizikalnya jarang berhadapan secara `body contact` tetapi melalui fahaman-fahaman, sistem-sistem, budaya, hiburan, pendidikan, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi.
Fahaman-fahaman atau medium ini mereka eksport melalui berbagai-bagai cara yang amat berkesan, apatah lagi musuh jadian seperti spesis kera dan kaum yang sewaktu dengannya merupakan proksi atau bidak-bidak catur beruang belaka.
Yang terlebih parah dan amat memilukan apabila pejuang-pejuang yang bersemangat nak menegakkan tumbuhan hijau, rupa-rupanya musuh jadi-jadian ciptaan beruang putih dan beruang yahudi juga.
Musuh dalam selimut inilah munafiq luku-jiwa, citarasa, stail, budaya hidup, sistem muamalah, pendidikan untuknya dan anak-anak serta macam-macam lagi tindakan hidupnya semuanya cara kera juga, tetapi zahirnya ia mengaku spesis luku.
Ini yang dikatakan banyak membuang masa spesis luku, kerana ia berperang dengan musuh yang ia tak kenal, sedangkan musuh itu ada dalam tubuhnya sendiri ataupun dekat dengannya. Ia hanya perlu buang atau bersihkannya terlebih dulu, `by hook or by crook`.
Malangnya disebabkan kebanyakkan spesis luku tidak kenal malah tidak nampak, makhluk jadi-jadian ini juga telah membiak dengan pesat sekali dalam keluarga spesis luku, anak-anak pimpinan, ahli-ahli bawahan, spesis muda, spesis betina, malah ada yang sampai ke peringkat membuat dasar dan polisi Persatuan Pasu.
Sebab itu jangan hairan apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tiada langsung program atau agenda untuk memerangi fahaman atau musuh sebenar ini.
Jika ada pun sekadar untuk melepaskan batuk di tangga kandangnya sahaja, sebagai berpolitik. Jauh sekalilah untuk membina atau menegakkan asas-asas kekuatan perjuangan tumbuhan hijau yang boleh menjadi penyambung kepada perjuangan masa depan oleh zuriat dan bakal zuriat spesis luku.
Agenda tarbiyyah dan pendidikan yang formal dan berterusan akan terkeluar dari carta senarai tindakan. Aktiviti ekonomi atau muamalah tanpa riba nampak macam terangkat taklifnya, buat masa sekarang semua spesis hanya perlu menjadi pengguna atau pemangkin kepada ekonomi yang sedia ada. Khalayak spesis pengguna bersama-sama kera dan yang sewaktu dengannya.
Candu Perjuangan
Semua khalayak spesis digula-gulakan dengan kemenangan dalam pilihanraya akan terubatlah segala duka nestapa. Seolah-olah itulah ubat yang ada dan hanya satu tanggungjawab sahaja, iaitu memastikan kemenangan dalam pilihanraya.
Inilah candu terakhir ditinggalkan penjajah beruang untuk spesis jajahannya yang menyebabkan sekarang spesis ini seolah-olah tenggelam punca. Perjuangan menegakkan tumbuhan hijau sudah beralih menjadi mabuk kuasa, spesis mawa pun dilihatnya boleh membawa ke syurga.
Lalu ditabalkanlah penasihat mawa sebagai pimpinan negara jika ia beroleh kuasa. Sedangkan mawa pun lebih kurang kera, dari keseluruhan pohon dinampak olehnya hanya buah sahaja. Bahagian-bahagian pohon yang lain bukan tanggungjawabnya untuk mengawal selia. Tugas itu selayaknya buat kera luku saja. Spesis itu ada tanggungjawab syurga, dunia hanya sementara.
Bagi mawa dunia adalah segala, sebab itu mesti ada hubungan dengan rangkaian beruang dunia yang diiktiraf semua negara bangsa. Agama padanya hanya untuk bagi mudah berbicara sesama keluarga spesis yang ada terutamanya dalam urusniaga kurma.
Keadilan baginya ialah apabila buah diberi kepadanya untuk diagih dijaga tentulah mengikut acuan rangkaian beruang dunia.
Perjuangan menegakkan hukum Pencipta hanya pengalaman singkat semasa muda lela, sebab itu nadanya pun dah jauh berbeza, mungkin masa itu khazanah dunia belum lagi terbentang di depan mata.
Gagasan atau gesaan kepada khalayak supaya tumbuhan hijau dijadikan sebagai `the way of life` telah tenggelam entah di perairan mana pun tak diketahui. Sudah lama ianya tak kedengaran dan diperingatkan sebagai satu cara hidup.
Lebih mustahillah untuk dijadikan dasar ataupun polisi pergerakannya yang terdiri dari pelbagai spesis, pelbagai khalayak dan pelbagai rupa.
Belajar Dari Sejarah
Sejarah spesis kitul mudah dilupa oleh kebanyakan spesis luku, spesis ini pandai mengambil peluang di ketika hampir berjaya. Kesultanan Pohon Melaka hancur dek angkara pengkhianatan si kitul.
Negara jiran Taman Botanik yang terkenal dengan bung-bung, neng-neng dan kiyai-kiyai mengulangi kesilapan kerajaan Pohon Melaka. Bung yang petah memetik lidah diberi kepadanya kuasa, kiyai-kiyai sedari mula mencetuskan perjuangan menghalau beruang ayam belanda akhirnya umpama gurkha, mengumpul tenaga segala spesis ummat untuknya belaka.
Punca kemuliaan dan kemegahan yang ada pada spesis kera luku tak tahu nak diguna dan digali sebagaimana sepatutnya. Sebab itu tumbuhan hijau dilayan sebagai simbol dan lambang persatuan sahaja tidak membawa makna yang sebenar tumbuhan itu diturunkan.
Yang sering diperdengarkan sekarang dan diwar-warkan berkali-kali ialah khalayak mesti memberi sokongan atau undi kepada Persatuan Pasu, kerana ia adalah satu-satunya yang berjuang menegakkan tumbuhan hijau.
Malahan dengan nada yang begitu jauh sekali dari kemegahan dan kemulian katanya -`berilah tumbuhan hijau satu peluang`. Bagaikan melukut di tepi gantang menagih simpati sesuka sahaja.
Sedangkan ketika mana tumbuhan hijau sering diperingatkan supaya menjadi satu-satunya cara hidup suatu waktu dulu, maka ramailah khalayak mengambilnya sebagai makanan asasi. Kemegahan dan kekuatanlah yang terpancar di ketika itu lalu terbina dan membentuklah kelompok mithali.
Pada waktu tumbuhan hijau dipungut hanya sebagai bahan meraih kasihan belas serta simpati semata-mata, di ketika itulah spesis ummatnya dihina tanpa ada yang akan memberi simpati malahan akan terus dibenci.
Tanggungjawab dengan penuh amanah untuk menyemai, menanam, menyirami, membajai, dan menjaga benih tumbuhan hijau hak milik ummah, adalah urusan persatuan. Pasu tidak sepatutnya menganggap belum sampai masa atau bukan urusan persatuan.
Apatah lagi tugas untuk mengawal dan memastikan tiada penyakit serta menghalang makhluk perosak terhadap tumbuhan hijau, adalah bukan masalah individu spesis itu sendiri, masalah bersama.
Janganlah sampai terjadi semangat dan kelebihan berpesatuan bagi spesis kera luku sekarang, hanyalah dalam erti kata melayani selera dan kemahuan sekelompok spesis luku yang mabuk politik akibat ketagihan candu.
Spesis parasit yang tidak dapat memenuhi kemahuannya dalam dunia kera di mana saingannya adalah saingan kelas pertama mengalih pandangan dan usaha kepada spesis luku yang masih mengamalkan budaya saingan kelas kedua…mungkin ketiga, mungkin…entah ke berapa?
Catatan sepetang di Taman Botanik, November 2007.
Oleh:
Hang NADIM (Pulau Mutiara).
Tambahan dari penulis:
Semoga mimpi ngeri yang selalu terbayang tidak akan berlaku… tapi dengan perkembangan selepas 8 Mac 2008 menampakkan ianya semakin hampir malah mudah baginya zahir sekiranya Ummah terus terlena……
diulit mimpi.
(17 hb Mei 2008)
Biodata Penulis
Nama : Hang Nadim Pulau Mutiara.
No Kp : A 030*7*4.
Dikenali sebagai: Pak Ndak di kalangan kaum keluarga.
Tarikh lahir : 12hb Ramadhan1385.
Tempat lahir : Kediaman ayahanda dan bonda di Qaryah Daeratul Maarif.
Keturunan : Nabi Adam sebelah bapa, Hawa sebelah ibu.
Kedudukan dlm keluarga : Anak ke 5 dari 6 adik beradik.
Status : Berkahwin, mempunyai seorang isteri, dikurniai 7 orang cahaya mata.
Pengajian : Minal mahdi ilal lahdi.
Pengalaman : Masih kurang dan memerlukan timba baru.
Pekerjaan tetap : Pembantu kepada Agama Allah.
Pekerjaan sambilan : Pembantu warung & Bersawah.
Hobi : Yang bermanfaat tapi tidak lagha.
Saat paling sukar dilupakan: Melihat Islam diperdagang dan dikagumi sejarah silamnya tanpa menegakkan di alam realiti.
Cita-cita atau impian: Ingin menjadi warga `Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafuur`.
Kediaman sekarang : Penjara bagi orang-orang mukmin ( negara sekular).
Falsafah hidup : Tidak ada `falsafah` lagi selepas mati.
……….. SAJAK / KAJAS
DAERAH SEKANGKANG
Semua rakyat Daerah Segenting Kera
terkejut beruk melihat gelagat
kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.
Bergayut ke sana, bergayut ke sini macam kera terloncat-loncat bagai kera kena belacan.
Hang si monyet untuk panjat kelapa
kadang kala mencari kutu di kepala.
Kera pun pandai sayangkan anaknya.
Manusia pula dah lupa asal usul kejadiannya.
Akibat cinta monyet
jiwa dan raga boleh masuk periuk kera.
Bila dihinggapi kenan monyet,
bertukar beruk dengan kera.
Di rumah beraja-raja di rimba berberuk-beruk,
semua baginya boleh belaka,
seperti monyet berkepala hitam.
Musim kera jatuh pokok katakan,
bengkak beruk pun jadi bengkak cantik.
Apo nak dikato? Malas memikir… Mabuk kerana beruk berayun,
semua pakat setuju belako…
Bagai beruk diberikan cermin saling tak tumpah
seperti beruk mendapat bunga.
Dek kerana segan bertindak, berhakimkan beruk, bersaksikan orang utan.
Di atas tanah sekangkang kera anak cucu merana…
Nukilan: Tun Teberau Ibni Almarhum Baba Melaka.
Disember 2007.